Isu SemasaTempatan

Kes Positif Melonjak, Rakyat Luah Kemarahan Kepada Pemimpin

Dengan jumlah 287 kes positif baru, ini merupakan angka harian tertinggi sejak novel koronavirus melanda negara awal tahun ini.

Semua 287 kes adalah tempatan, dengan Kedah mengatasi Sabah kerana negeri utara mencatat 129 kes baru. Sementara itu, Sabah mencatat 113 kes baru.

Kes Covid-19 melonjak semakin teruk sejak pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini. Data perubatan menunjukkan bahawa sejak 20 September, 119 kes telah dikesan dari mereka yang kembali dari Sabah.

Namun untuk memenuhi kehendak sesetengah pihak, kerajaan hanya melakukan ujian swab dan mengarahkan perintah tinggal di rumah (HSO) tanpa mewajibkan kuarantin selama 14 hari seperti yang dilakukan sebelumnya.

Ini adalah keputusan yang mengecewakan. Ujian swab tidak mencukupi kerana koronavirus memerlukan masa untuk dikesan, biasanya sehingga 14 hari.

Oleh itu, tempoh kuarantin dua minggu masih perlu diwajibkan kerana beberapa tempat di Sabah adalah kawasan merah.

 

Semua Seharusnya Patuh Dengan Syarat 14 Hari Kuarantin Diri

Peristiwa kluster Sivagangga di Kedah seharusnya dijadikan iktibar dalam hal ini.

Tidak ada yang boleh dikecualikan daripada kuarantin jika pulang dari tempat terjejas, walaupun ujian pertama menunjukkan keputusan negatif.

Dan rakyat Malaysia kini sedang memerangi ahli politik yang sanggup menyisihkan kebimbangan terhadap wabak demi merebut kuasa.

Di laman sosial twitter, posting kebencian dan makian terhadap menteri dengan tanda pagar #KlusterMenteri sohor kini sejak dari semalam.

Rakyat berhak berasa ditindas. Mereka telah mematuhi setiap SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKPP berlangsung sejak Ogos lalu namun usaha mereka seperti disia-siakan dengan ketamakan pemimpin yang merebut kuasa di Sabah.

Kita hampir menang melawan Covid-19 tetapi pemimpin leka dan tidak mendengar jeritan suara rakyat.

 

Salah Siapa?

Berikutan peningkatan kes secara mendadak, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini meminta semua institusi pengajian tinggi menangguhkan pendaftaran fizikal untuk pelajar baru dan lama.

Kementerian dalam satu kenyataan hari ini mengatakan bahawa semua proses pendaftaran pelajar perlu dilakukan melalui dalam talian.

“Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilakukan secara dalam talian secara dalaman, serta aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baru mengenainya dibuat,” katanya.

Seperti menambah api ke bara, warga maya hari ini meluahkan ketidakpuasan hati terhadap KPT kerana mengeluarkan arahan di saat akhir sehingga tanda pagar #MenteriKPTSilaLetakJawatan turut sohor kini di Iaman Twitter.

Keputusan saat akhir itu didakwa menyusahkan para pelajar yang telah membuat persediaan untuk kembali ke universiti masing-masing.

 

#RakyatJagaRakyat

Susulan itu, naratif KITA JAGA KITA serta-merta berubah menjadi RAKYAT JAGA RAKYAT. Sesetengah warga maya bekerjasama untuk membantu siswa yang terjejas dengan memberikan saluran untuk pengumpulan derma, tempat berteduh dan pengangkutan untuk mereka yang tertindas oleh keputusan tidak cekap pemimpin.

Sekiranya kita tidak berhati-hati, lonjakan kes di Sabah dan kes-kes di semenanjung yang berkaitan dengannya akan membawa gelombang ketiga dan rakyat juga tidak sanggup menempuhi PKP sekali lagi kerana ramai yang bakal terjejas teruk.

Kerajaan perlu bertindak pantas untuk menutup “pintu” jangkitan, kata ahli epidemiologi Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, seorang profesor di Universiti Malaya.

 

Saranan Langkah-Langkah Perlu Dilakukan Segera

Walaupun sulit untuk menentukan berapa lama “pintu” itu akan tetap terbuka, jangka waktu dua minggu mungkin tidak terlalu jauh.

Pertama, Kementerian Kesihatan perlu mengasingkan semua kes dengan cepat dan meletakkannya di hospital yang ditetapkan kerajaan.

Kedua, perlu ada penjejakan kontak yang agresif terhadap orang yang berkaitan dengan kes-kes tersebut.

Seterusnya, kementerian mesti mewajibkan semua orang yang kembali dari Sabah dikuarantin selama 14 hari di pusat-pusat kuarantin yang ditetapkan oleh kerajaan.

Ini tidak seharusnya menjadi masalah kerana terdapat lebih daripada 400 pusat tersebut sejak pertama kali ia diwartakan. Tidak ada yang boleh dikecualikan kerana virus itu tidak mengenal pangkat dan darjat.

Akhir sekali, seperti yang dicadangkan oleh ahli epidemiologi lain kepada NST pada hari Rabu, larangan perjalanan ke dan dari Sabah perlu dilaksanakan.

Sekiranya kita mahu mengasingkan virus, kita mesti terlebih dahulu perlu mengasingkan diri.

Show More

Related Articles

Back to top button