Bisnes & EkonomiIsu SemasaTempatan

Impian Tinggal Di Malaysia Untuk Golongan Kelas Menengah Dari China Kabur

Pada tahun 2017, ribuan pelabur kelas menengah dari China telah membeli hartanah di Malaysia dan menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka di luar tanah kelahiran dengan program Malaysia My Second Home (MM2H) yang dilancarkan pada tahun 2002.

Mereka yang mengambil program MM2H ini boleh mendapatkan visa tinggal jangka masa panjang sehingga 10 tahun tetapi ia bukanlah tertumpu hanya pada orang dari China. Ia merupakan program untuk sesiapa sahaja yang bukan berwarganegara Malaysia dan ingin membeli hartanah serta tinggal di Malaysia.

 

Mengapa Orang Dari Tanah Besar Memilih Johor?

Beberapa daripada mereka telah melabur besar-besaran di Johor kerana Johor dipasarkan sebagai negeri yang paling dekat dengan Singapura dan projek pembangunan yang ditumpukan untuk orang China yang mahu membuat pelaburan di luar negara dan menerapkan gaya hidup baharu di luar negara.

Sejak 2011, pemaju Country Garden yang berpangkalan di Guangdong mengatakan bahawa ia telah melabur hampir RM20 bilion (USD $4.83 bilion) di Malaysia dan mewujudkan lebih dari 1,500 pekerjaan.

Salah seorang pembeli kediaman di Malaysia ialah Patricia Li yang berasal dari Yunnan.

Li membuka sebuah rumah teh di Johor yang ditujukan untuk komuniti China yang sedang berkembang di sana.

 

Daya Tarikan Untuk Membeli Hartanah Di Malaysia

Menurut Li, sekolah antarabangsa telah menjadi salah satu antara elemen yang membuat dirinya tertarik untuk tinggal di Malaysia.

Empat tahun lalu, apabila pertama kali dirinya melawat Johor untuk “lawatan pelaburan” secara percuma bersama beberapa orang yang lain untuk melihat hartanah di Johor, negeri ini kelihatan sangat sempurna untuk merealisasikan impian memiliki rumah di luar negara dan membolehkan anak mereka mendapat pendidikan antarabangsa.

Pada ketika itu, pelaburan luar negara China masih berkembang pesat di antara syarikat serta individu kaya dan kelas menengah.

Selain Li, sebilangan besar warga kelas menengah China tertarik dengan persekitaran tropika dan udara bersih Malaysia.

Ramai yang meletakkan wang di rumah baharu semasa perjalanan pertama mereka ke Johor, terutama setelah mengetahui bahawa harga purata hartanah di sana adalah lebih kurang suku dari harga di pusat bandar Beijing.

Bukan hanya mereka melihat aset itu akan membawa keuntungan buat mereka dalam jangka masa panjang tetapi mereka mereka juga tertarik dengan persekitaran tropika yang dilihat kondusif untuk membina sebuah keluarga yang dekat dengan China dan Singapura.

 

Perubahan Berlaku Sejak Koronavirus & Ketidaktentuan Geopolitik

Walau bagaimanapun, pelbagai perubahan telah berlaku dalam jangka masa singkat terutamanya sejak pandemik koronavirus merebak serta keadaan geopolitik yang berubah-ubah.

Perkara ini telah membuat ramai pelabur China berwaspada, dan tamparan terbaharu datang bulan lalu ketika Malaysia memutuskan untuk menangguh program MM2H, sejajar dengan keputusan kerajaan untuk melarang orang asing untuk masuk ke Malaysia di tengah pandemik tersebut.

Akibat ketidaktentuan ini juga ramai yang mengidamkan untuk tinggal di Johor terpaksa berfikir semula tentang perancangan mereka.

Ramai telah memilih untuk meninggalkan Malaysia akibat pandemik.

 

Menjual Rumah Dengan Harga Rugi

Mereka juga tidak pasti sama ada boleh kembali ke Malaysia dan ada yang mengambil langkah drastik untuk menjual rumah mereka di Malaysia pada harga lebih murah daripada harga mereka beli.

“Ia sangat menyedihkan melihat post di media sosial apabila ada yang menjual apartment 517 kaki persegi mereka pada harga 600,000 yuan (RM370,000). Saya sudah menghabiskan lebih daripada 1 juta yuan (RM612,000) untuk unit yang sama pada tahun 2016,” kata Li yang merujuk kepada rumah tehnya, yang terpaksa ditutup ketika ramai orang China meninggalkan Johor, sehingga pelanggannya semakin sikit.

Sama ada perlu menjual hartanah di Johor pada harga rugi telah menjadi topik yang merisaukan Li dan rakan-rakannya yang telah membeli hartanah di Malaysia sejak beberapa tahun yang lalu.

“Saya fikir aset di sini akan berkembang maju dan kafe teh akan menjadi penuh dengan peningkatan kedatangan orang China. Tetapi ia sangat berlainan daripada jangkaan saya,” katanya kepada South China Morning Post.

 

Tiada Lagi Orang China Yang Ingin Melabur Di Malaysia?

Wendy Wu, dari Beijing juga telah melabur di sebuah hartanah di Johor risau dengan keadaan pasaran hartanah di sana.

“Tidak ada pelabur baharu dari China akan datang membeli hartanah di Malaysia jika tidak dapat visa untuk tinggal dengan lebih lama,” kata Wu yang masih berada di Johor.

Di antara 2002 hingga 2018, program MM2H telah meluluskan 43,943 permohonan visa daripada 131 negara dan 30% daripada mereka adalah daripada China.

Namun, kini program ini telah ditangguhkan dan tidak ada siapa tahu bila ia bakal dibuka semula.

 

90% Visa Program MM2H Tidak Diluluskan Sejak September 2019

Menurut Perunding Persatuan MM2H, 90% permohonan yang dikemukakan di antara September hingga November 2019 sebelum kecemasan koronavirus berlaku telah ditolak tanpa sebarang alasan dan justifikasi.

Wu berkata pandemik dan hubungan yang tidak baik di antara China dan beberapa negara telah membuat timbul rasa keraguan atas keselamatan untuk tinggal di luar negara.

Ramai pelajar China yang belajar di sekolah antarabangsa Johor juga telah kembali ke China akibat wabak koronavirus.

Kebanyakan pelabur individu China tidak bersedia secara kewangan mahupun psikologi tentang risiko melabur di luar negara.

Membeli rumah di luar negara dilihat sebagai jalan singkat untuk mendapat kehidupan yang lebih baik bagi keluarga dari China akan tetapi kini semuanya kabur.

 

Show More

Related Articles

Back to top button