Bisnes & Ekonomi

Didakwa Guna Buruh Paksa Uighur, H&M Putuskan Hubungan Dengan Pembekal China

Syarikat pakaian gergasi dari Sweden, Hennes & Mauritz AB (H&M) memaklumkan bahawa ia mengakhiri hubungannya dengan pengeluar benang China atas tuduhan “buruh paksa” yang melibatkan etnik dan agama minoriti dari Provinsi Xinjiang China.

Peruncit fesyen itu menyatakan bahawa ia tidak bekerjasama dengan kilang pakaian di rantau ini dan bahawa ia tidak akan lagi mendapatkan kapas dari Xinjiang, yang merupakan kawasan penanaman kapas terbesar di China.

 

Pendedahan Hasil Laporan Institut Dasar Strategik Australia

Sebuah laporan oleh kumpulan pemikir Institut Dasar Strategik Australia, yang diterbitkan pada bulan Mac, menunjukkan H&M sebagai salah satu penerima manfaat program pemindahan tenaga buruh paksa melalui hubungan mereka dengan kilang pengeluar benang celup, Huafu Fashion Co Ltd di Anhui.

Namun, H&M mengatakan dalam sebuah pernyataan bahawa mereka tidak pernah mempunyai hubungan dengan kilang di Anhui, atau operasi Huafu di Xinjiang.

H&M mengakui bahawa ia memiliki “hubungan bisnes tidak langsung dengan satu syarikat” di Shangyu di Provinsi Zhejiang, milik Huafu Fashion.

 

Tidak Ingin Terlibat Dengan Buruh Paksa, H&M Menghentikan Hubungan Dengan Segera

“Walaupun tidak ada bukti untuk kegiatan buruh paksa di syarikat Shangyu, kami telah memutuskan untuk menghentikan hubungan perniagaan tidak langsung kami dengan Huafu Fashion, tanpa mengira unit dan provinsi dalam tempoh 12 bulan.”

Syarikat itu juga mengatakan telah melakukan “penyelidikan di semua kilang pembuatan pakaian yang kami bekerjasama di China dengan tujuan untuk memastikan bahawa mereka tidak menggunakan program pemindahan tenaga kerja atau skema pekerjaan yang meningkatkan risiko buruh paksa.”

 

China Semakin Tertekan Akibat Wilayah Xinjiang

Tekanan antarabangsa terhadap Parti Komunis yang berkuasa di China atas tindakannya di wilayah Xinjiang, semakin meningkat dan pada hari Isnin, Kesatuan Eropah menekan China untuk membiarkan pemerhati bebas memasuki Xinjiang agar perjanjian perdagangan dan pelaburan masa depan dengan Beijing tidak melanggar hak asasi manusia di Xinjiang.

Kumpulan hak asasi mengatakan lebih dari satu juta orang Uighur menderita di kem pendidikan semula politik, yang digambarkan oleh Beijing sebagai pusat latihan vokasional di mana pendidikan diberikan untuk mengangkat penduduk keluar dari kemiskinan dan menjauhkan diri dari radikalisme Islam.

China mengatakan kritikan terhadap Xinjiang bermotifkan politik dan berdasarkan pembohongan semata-mata.

Pada hari Isnin, kastam AS mengatakan akan melarang sejumlah produk China termasuk kapas, pakaian dan produk rambut, dari Xinjiang kerana bimbang mereka dibuat menggunakan buruh paksa.

China pada hari Selasa mengecam tindakan AS sebagai “buli” dan menolak tuduhan buruh paksa sebagai “palsu”.

Show More

Related Articles

Back to top button