Gaya HidupKesihatan

Daripada 14 Jenis Pelitup Muka, Saintis Menemukan Yang Satu Ini Paling TIDAK Efektif

Persoalan pelitup muka yang mana paling efektif untuk menghentikan penyebaran Covid-19 telah pun berjaya dijawab oleh para saintis dari Universiti Duke di Carolina Utara.

Sumber Imej: Science Advances

Mereka telah menjalankan kajian ke atas 14 jenis pelitup muka termasuk N95 yang mempunyai injap udara dan juga yang tidak mempunyai injap udara, pelitup muka pembedahan, pelitup muka dua lapisan pelbagai jenis bahan, bandana (kain) dan kain leher.

Pelitup Muka Paling Efektif

Para pengkaji telah mendapati bahawa N95 yang tidak mempunyai injap udara adalah paling efektif untuk mengekang risiko penyebaran Covid-19. Manakala pelitup muka yang paling tidak efektif ialah penggunaan kain leher.

Pelitup Muka Paling Tidak Efektif

Malah kain leher ini didapati boleh meningkatkan risiko terjangkiti virus apabila mencatat pecahan transmisi titisan 110 peratus.

N95 tanpa injap udara yang digunakan oleh pekerja perubatan barisan hadapan merekodkan pecahan transmisi titisan hanya 0.1 peratus.

 

Hasil Kajian Mengejutkan

Kajian yang telah diterbitkan di jurnal akademik, Science Advances telah membandingkan titisan yang dikeluarkan oleh peserta sewaktu mereka bernafas dan mengenakan 14 pelitup muka tersebut serta sebuah ujian kawalan yang mana mulut mereka terdedah sepenuhnya.

Contoh kain leher. Sumber Imej: LiveaClassicStyle

“Kami sangat terkejut dengan hasil kajian ini yang mendapati jumlah bilangan zarah yang diukur pada kain leher sebenarnya melebihi jumlah zarah yang diukur tanpa memakai topeng,” kata pengkaji di Universiti Duke, Martin Fischer.

“Kami mahu tekankan bahawa kita sangat menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka tetapi kami juga mahu mereka memakai pelitup muka yang benar-benar berfungsi dengan baik,”jelasnya kepada kepada CNN.

Bandana adalah kedua paling tidak berkesan sebagai pelitup muka walaupun ia tidak meningkatkan risiko jangkitan manakala ketiga paling tidak berkesan ialah pelitup bersulam.

 

Adakah Pelitup Muka Kain Berfungsi Dengan Baik?

Pelitup muka pembedahan dilihat berkesan setelah N95 manakala pelitup muka polipropilene berada di tempat ke tiga berkesan setelah pelitup muka pembedahan.

Perbezaan pelitup muka polipropilene dan pelitup muka pembedahan. Sumber Imej: SmartAir

Pelitup muka yang diperbuat daripada kain kapas yang semakin popular sejak kebelakangan ini juga didapati berkesan membendung penularan Covid-19 apabila ia berjaya mengekang jumlah titisan sewaktu seseorang bercakap.

Pelitup muka fabrik. Sumber Imej: UtusanBorneo

Cara Kajian Dijalankan

Fischer menjelaskan kepada CNN bahawa dia dan pasukannya menggunakan kotak hitam, laser dan kamera telefon bimbit di mana titisan daripada nafas peserta akan tersebar melalui cahaya laser sewaktu mereka bercakap menggunakan salah satu pelitup muka.

Telefon bimbit digunakan untuk menangkan titisan respitori di mana ia akan dikira menggunakan algoritma mudah di dalam komputer.

“Kami juga telah mengesahkan bahawa setiap kali orang bercakap, sejumlah kecil titisan akan terkeluar dari mulut. Oleh itu penyakit akan mudah merebak sewaktu bercakap walaupun tidak batuk ataupun bersin.

“Kami juga boleh melihat beberapa pelitup muka yang boleh mengekang partikel lebih baik berbanding yang lain,” ujar Fischer.

 

Inspirasi Eksperimen

Eksperimen ini dijalankan setelah seorang profesor daripada sebuah universiti perubatan terkemuka mahu membantu sekumpulan warga tempatan untuk membeli pelitup muka dalam kuantiti yang banyak bagi yang memerlukannya.

Profesor tersebut mahu memastikan pelitup muka yang mereka beli itu adalah efektif untuk membendung wabak Covid-19.

Menurut Sky News, salah seorang penulis kajian ini, Eric Westman, memakai pelitup muka merupakan cara mudah untuk mengurangkan jangkitan Covid-19.

“Lebih daripada setengah jangkitan berlaku datangnya daripada mereka yang tidak menunjukkan sebarang simptom dan kebanyakan daripada mereka tidak tahu mereka telah pun terjangkiti.

“Mereka boleh dengan tidak sengaja menyebarkan virus tersebut dengan batuk, bersin ataupun hanya bercakap.

“Jika semua orang mengenakan pelitup muka, kita dapat membendung sehingga 99% titisan air tersebut sebelum ia sampai ke orang lain.

“Dengan ketiadaan vaksin ataupun ubat anti-virus, ia merupakan satu-satunya cara yang terbukti mampu melindungi diri sendiri mahupun orang lain,”kata Westman.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close