BudayaGaya Hidup

Covid-19: KFC Hentikan Penggunaan Slogan “Finger Lickin’ Good”

Francais makanan terkenal, Kentucky Fried Chicken menangguhkan penggunaan slogan iklan ikoniknya “It’s finger lickin’ good” yang bermaksud “sedap hingga menjilat jari” kerana dikatakan tidak sesuai dalam situasi pandemik Covid-19 semasa di mana kebersihan diri menjadi keutamaan untuk mengekang penularan.

Di era ketika pelitup muka dan mencuci tangan sudah menjadi kebiasaan dan pegawai kesihatan mengesyorkan orang untuk berhenti menyentuh wajah mereka, KFC mengatakan slogan itu “tidak bersesuaian dengan keadaan”.

Slogan itu, yang digunakan oleh francais yang dimiliki oleh Yum Brands Inc selama 64 tahun, akan dihentikan sementara dalam iklan di seluruh dunia mulai 24 Ogos dan akan muncul kembali apabila tiba waktunya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan media.

Rangkaian restoran tersebut melancarkan klip video pendek di saluran YouTube KFC UK dan Ireland pada 24 Ogos dengan mengaburkan slogan “Finger Lickin” dari kapsyennya.

Iklan kemudian diakhiri dengan slogan “That thing we always say? Ignore it. For now” yang bermaksud “Slogan yang selalu kita sebut? Abaikan. Untuk sekarang”.

Langkah itu dilakukan setelah francais KFC menurunkan salah satu iklannya di UK yang menampilkan slogan itu dengan gambar orang menjilat jari mereka setelah memakan ayam.

Iklan itu, yang disiarkan pada bulan Mac, dikritik secara meluas di media sosial kerana mempromosikan tingkah laku yang dapat meningkatkan penyebaran Covid-19 dan Penguasa Piawaian Iklan UK menerima sekurang-kurangnya 150 aduan, menurut Drum.

Ini juga merupakan contoh lain dari syarikat besar yang dipaksa untuk memikirkan semula jenama dan slogan, berikutan reaksi media sosial kerana tidak peka atau tidak bersesuaian dengan keadaan semasa.

Syarikat barangan pengguna Unilever baru-baru ini menukar jenama krim kulit “Fair & Lovely” berusia 40 tahun, sementara pembuat soda PepsiCo merancang untuk menukar nama campuran kek Bibi Jemima setelah mendapat tekanan dari media sosial berikutan isu Black Lives Matter.

“Kami berada dalam situasi yang unik – mempunyai slogan ikonik yang tidak sesuai dengan keadaan semasa,” kata ketua pegawai pemasaran global KFC, Catherine Tan-Gillespie, dalam satu kenyataan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close