Isu SemasaSains

Nama Ungka Dalam Bahasa Inggeris Rupa-Rupanya Datang Daripada Bahasa Orang Asli Malaysia

Ungka merupakan nama tempatan bagi spesies monyet bertangan panjang dalam Bahasa Melayu tetapi dalam Bahasa Inggeris, ia dipanggil ‘gibbon‘ hampir sama dengan sebutan oleh orang asli Batek iaitu ‘kebon‘.

Menyedari terdapat persamaan sebutan di antara dua nama ini, Dr Teckwyn Lim, pensyarah tambahan dari Universiti Nottingham Malaysia telah mengkaji asal usul perkataan ‘gibbon‘ tersebut.

 

Mempelajari Bahasa Orang Asli Sejak 10 Tahun Lalu

Dr. Lim Teckwyn. Sumber Imej: MESYM.com

Lim yang juga merupakan Pengarah Urusan dan Pengasas Bersama untuk perundingan alam sekitar Resource Stewardship Consultants Sdn Bhd sejak 2004 ini mula berkecimpung dalam bidang ini sejak menjadi sukarelawan projek pemuliharaan harimau di Taman Negara, 10 tahun yang lalu.

Ketika itu beliau rajin bertanya kepada Orang Asli yang menjadi pemandu mereka di dalam hutan untuk mengajarnya beberapa perkataan dalam Bahasa Batek.

Pemandu mereka ketika itu bernama Yam @ Latif dari suku kaum Batek telah mengajarnya beberapa perkataan seperti bek (harimau), gagok (gajah) dan telabas (beruang).

Lim pun mencatat nama tersebut dalam sebuah buku nota dan berharap pada satu hari nanti dia akan berkongsi ilmu tersebut dengan orang lain.

 

Baru Menyedari Persamaan Tersebut Baru-Baru Ini

“Hanya baru-baru ini saya menyedari sesuatu pelik sewaktu sedang menulis nota kajian saya: nama Batek untuk ungka hampir sama dengan nama Inggeris mereka,” katanya kepada TheStar.

Ia telah menyebabkan dirinya tertanya-tanya sama ada bahasa Inggeris telah meminjam perkataan tersebut daripada suku kaum orang asli Batek atau tidak.

“Saya mencari perkataan ‘gibbon‘ dalam Oxford English Dictionary dan mendapati perkataan tersebut telah digunakan sejak kurun ke-18 tetapi asal usulnya tidak diketahui. Ini telah membuat saya lebih ingin mengetahui tentangnya dengan lebih mendalam sama ada adakah ianya mungkin bahasa orang Batek menjadi Bahasa Inggeris,” jelas Lim.

 

Kajian Tidak Memakan Masa Yang Lama

Ia mengambilnya masa lebih kurang sebulan untuk menyelesaikan kajian yang bermula Mac 2019 ini.

Dengan hasil gabungan kajian bahasa, zoologi dan sejarah, Lim mula melakukan kajian dengan mencari beberapa perkataan tempatan ungka untuk memastikan perkataan kebon adalah perkataan terdekat dengan ‘gibbon‘.

Setelah itu, Lim memeriksa spesies ungka yang pertama diperihalkan oleh saintis Barat.

Terakhir, Lim memeriksa sama ada terdapat kebarangkalian untuk perkataan ini diambil dari perkataan Batek, 250 tahun yang lalu.

Pada peringkat awal kajian Lim, dia telah mendapati kemungkinan besar ‘gibbon‘ itu berasal daripada perkataan ‘kebon‘ adalah benar perkataan asal gibbon.

Ini kerana perkataan ‘gibbon‘ telah muncul di Eropah sejak tahun 1755 bersamaan dengan penemuan ungka jantan di Kedah.

 

Rakyat Malaysia Harus Berbangga Memiliki Ungka

“Saya berharap penemuan kajian saya ini akan membuka lebih banyak ruang untuk orang ramai mengkaji tentang ungka dan menghargai fakta bahawa terdapat ungka liar di Malaysia. Adalah sangat menakjubkan apabila terdapat ungka di hutan berdekatan Kuala Lumpur seperti di Bukit Cherakah, Hutan Simpan Ampang dan Hutan Simpan Kuala Langat.

“Saya juga berharap habitat ungka ini akan terus dilindungi,” ujar Lim yang risau dengan kebanyakan hutan sekarang ini ditebang untuk pembangunan.

Lim juga mencadangkan untuk pihak berwajib mengadakan jambatan bagi haiwan liat ini supaya hutan yang terfragmentasi akibat pembangunan dapat disambung semula melaluinya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close