Bisnes & Ekonomi

Ini Dia Perbezaan ‘Serviced Apartment’ Dan ‘Condominium’ Yang Anda Patut Tahu

Walaupun kedua-dua pembangunan ini secara kasarnya dilihat sebagai perkara yang sama namun sebenarnya terdapat perbezaan yang ketara di antara pangsapuri perkhidmatan (serviced apartment) dan juga kondominium.

Pangsapuri perkhidmatan ini sebenarnya dibina di atas tanah berstatus komersial dan secara umumnya yuran penyelenggaraannya adalah lebih tinggi berbanding kondominium.

Ini juga termasuk bil air, pembentungan dan elektrik. Semuanya adalah lebih kurang 25% hingga 30% lebih tinggi berbanding kondominium.

Cukai tanah dan juga cukai pintu untuk kediaman pangsapuri perkhidmatan juga adalah lebih tinggi.

Maksud pangsapuri perkhidmatan sebenarnya ialah kediaman yang disertakan dengan perkhidmatan hampir sama dengan sebuah hotel.

Walau bagaimanapun, di Malaysia perkhidmatan seperti ini tidak berlaku tetapi tidak dinafikan terdapat beberapa pangsapuri perkhidmatan di pusat bandaraya yang memiliki perkhidmatan hotel di dalam kediaman tersebut.

Tetapi Mengapa Ia Masih Dikategorikan Sebagai ‘Serviced Apartment’?

Apabila sebuah syarikat pembangunan membeli tanah komersial ataupun menukarkan tanah tersebut menjadi tanah komersial, mereka akan membina pangsapuri perkhidmatan ini.

Ini berlaku kerana menurut TheStar, di antara hotel, pusat membeli-belah, pangsapuri perkhidmatan atau SoHo (Small Office Home Office), pangsapuri perkhidmatan merupakan pembangunan yang paling mudah untuk dijual.

Pihak pemaju hanya perlu mencari sebuah pengendali pusat membeli-belah ataupun orang yang boleh memajukannya, dan mereka pun lepas tangan.

 

Lebih Ramai Gemar Beli ‘Serviced Apartment’ Kerana Banyak Kemudahan?

Sama seperti blok untuk pejabat, dengan adanya projek pangsapuri perkhidmatan dimasukkan ke dalamnya, mereka akan pasti mendapatkan lebih banyak pembeli.

Ini kerana pangsapuri perkhidmatan selalunya dibina dalam kawasan kecil di antara 400 kaki persegi hingga 800 kaki persegi. Walaupun kecil, ramai yang membelinya.

Pangsapuri perkhidmatan ini juga dikatakan lebih menguntungkan berbanding membina kondominium.

 

Perbezaan Sebenar Serviced Apartment Berbanding Kondominium Untuk Pihak Pemaju

Pangsapuri perkhidmatan dibina berdasarkan nisbah plot yang dikawal oleh pihak pembangunan manakala tanah untuk membina kondomonium yang memiliki status kediaman adalah berdasarkan kepadatan penduduk.

Jika sebuah pemaju membeli tanah komersial dengan keluasan satu ekar ataupun 43,560 kaki persegi dan diberi plot dengan nisbah 10 oleh pihak berkuasa tempatan, mereka boleh membina pembangunan 10 kali ganda dari keluasan tanah tersebut. Ini bersamaan dengan pembangunan yang berjumlah keseluruhan 435,600 kaki persegi.

Tetapi mereka perlu mengambil sedikit keluasan untuk membina saluran air dan juga tempat pejalan kaki dan sebagainya yang mungkin mengambil 20% daripada 435,600 kaki persegi. Setelah itu mereka memiliki 348,480 kaki persegi untuk pembangunan.

Mereka pun memutuskan untuk membina pangsapuri perkhidmatan dengan luas kawasan 600 kaki persegi setiap unit.

Dengan 350,000 kaki persegi, mereka boleh membina sebanyak 580 unit.

 

Bina Kondominium Tak Banyak Untung Untuk Pemaju?

Sebuah projek kondominium pula dibina berdasarkan kepadatan penduduk iaitu berapa banyak orang yang boleh tinggal dalam satu ekar tanah.

Di Malaysia, kebanyakan isi rumah akan memiliki empat orang. Oleh sebab itu Dewan Bandaraya telah meletakkan had untuk kepadatan penduduk dalam satu ekar ialah 400 orang sahaja.

Dalam sebuah isi rumah yang memiliki empat orang, ini bermakna hanya 100 unit boleh dibina.

Jika dibandingkan dengan tanah komersial yang memiliki keluasan yang sama, pihak pemaju boleh membina lebih banyak unit berstatus pangsapuri perkhidmatan di atas tanah komersial berbanding kondominium yang berstatus kediaman.

Oleh sebab itu, jika anda yang sedang mencari rumah baharu, fikir-fikirkanlah jenis kediaman yang bagaimana anda inginkan. Kondominium yang kurang padat tetapi tidak ada pusat komersial seperti pusat membeli-belah ataupun pangsapuri perkhidmatan yang padat tetapi memiliki pusat membeli-belah ataupun pejabat?

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close