Bisnes & EkonomiTips Kewangan

Perlu Potong Bajet Bulanan Untuk Jimat Poket? Ini Dia Beberapa Idea Untuk Anda

Mungkin terdapat di antara kita yang terpaksa melalui pemotongan gaji akibat pandemik Covid-19 ataupun ada juga yang mahu berjimat-cermat kerana ekonomi tidak menentu tetapi merasakan tidak tahu bahagian mana dalam bajet bulanan yang perlu dipotong?

Antara perkara yang boleh dipertimbangkan semula dalam bajet bulanan kita ialah:-

1. Petrol dan tol

Jika terdapat rakan kerja yang duduk berdekatan dengan anda, cuba berbincang untuk pergi kerja bersama bagi menjimatkan petrol dan tol masing-masing.

Selain daripada itu, cuba lihat penggunaan pengangkutan awam memandangkan kerajaan telah melancarkan My30 – di mana pas bulanan pengangkutan awam dikeluarkan dengan harga serendah RM30 yang boleh digunakan untuk MRT, LRT, Monorail serta bas di daerah Lembah Klang.

Pas bulanan ini dijual sehingga hujung tahun ini.

2. Tabiat di jalanraya

Beberapa daripada kita harus berhati-hati dengan tabiat pemanduan melulu kerana sering tergesa-gesa di jalanraya. Perkara ini tidak mengira jantina.

Tabiat buruk di jalanraya selalu akan menyebabkan pelanggaran kereta dan juga kos pengeluaran memperbaiki kereta yang boleh dielakkan.

Terdapat juga orang yang suka meletakkan kenderaan di tempat tidak sepatutnya sehingga saman yang dikenakan lebih tinggi daripada kos parking yang sepatutnya dibayar.

3. Produk insurans

Ramai yang merasakan mereka tidak memiliki pilihan insurans yang sesuai tetapi ramai tidak sedar bahawa terdapat juga pilihan insurans yang rendah dan tidak memerlukan kos yang sangat tinggi. Jadi periksa semula pelan insurans yang telah anda langgan.

4. Penggunaan elektrik

Dengan diskaun yang diberikan oleh Tenaga Nasional Bhd sehingga hujung tahun ini, adalah baik kita lihat semula penggunaan tenaga elektrik di rumah.

Pastikan lampu dan kipas di ruang yang tidak digunakan ditutup. Ia adalah tabiat baik yang seharusnya diamalkan selalu.

5. Membeli stok makanan keperluan

Lihat semula isi peti ais anda dan hanya beli barangan yang perlu sahaja.

Kurangkan barangan yang mudah rosak seperti sayur dan bahan segar yang lain kerana jika ia tidak dimakan atau dimasak dengan segera, ia terpaksa dibuang dan pembaziran sudah berlaku.

Terdapat juga orang yang lebih gemar membeli bahan makanan di pasaraya dan bukan di tempat yang lebih murah. Cuba bandingkan harga bahan makanan di pasar basah dan juga pasaraya dan usahakan untuk membeli barangan di pasar basah yang jauh lebih murah.

6. Keahlian gim

Carilah alternatif untuk bersenam yang tidak perlu mengeluarkan wang. Contohnya senaman di rumah ataupun di taman berdekatan.

7. Aktiviti hiburan dan makan di luar

Aktiviti hiburan seperti karaoke dan makan di luar selalunya menyebabkan pengeluaran wang yang banyak. Cuba lihat semula kos pengeluaran anda dan cuba untuk menyediakan makanan di rumah dan bawa ke pejabat untuk jimatkan kos.

Bagi yang merokok, adalah baik untuk cuba menghadkan pembelian rokok dan sekaligus mengamal gaya hidup lebih sihat.

8. Pembelian atas talian

Pembelian atas talian ini secara tidak langsung adakalanya membuat anda terbeli perkara yang tidak sepatutnya. Namun dengan norma baharu ini, pembelian atas talian sangat memudahkan anda untuk membeli tanpa perlu ke kedai.

Oleh sebab itu, cuba beli barang keperluan sahaja dan setelah selesai melakukannya, hapuskan aplikasi tersebut untuk elak pembelian barang tidak perlu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close