Isu SemasaSains

Kelawar Membawa Virus Corona Tetapi Tidak Sakit. Mungkinkah Mereka Menjadi Kunci Untuk Melawan Covid-19?

Dari awal mulanya berita tentang penyakit virus corona ini, kelawar telah dipersalahkan menjadi asal usul ke semua virus corona.

Namun, atas alasan tertentu haiwan ini tidak sakit walaupun membawa virus tersebut.

 

Kelawar Pegang Kunci Rahsia Melawan Covid-19?

Bagi dua penyelidik dari Bucknell University, mereka merasakan haiwan ini memiliki rahsia tersembunyi di dalam kod genetik mereka.

Bemula Julai 2020, pasangan ini telah melakukan kajian ke atas 240 sampel tisu kelawar di makmal kampus Lewisburg yang terletak di Pennsylvania, Amerika Syarikat.

Sampel ini dikendalikan dengan bahan kimia untuk menyahaktif sebarang virus didalamnya. Ia kemudian diekstrak dan bahan genetiknya disuling untuk dianalisis menggunakan komputer super.

Kesemua sampel ini tidak mengandungi virus yang menyebabkan Covid-19 tetapi mereka berharap ia mengandungi virus korona yang lain di mana pada kebanyakan kes yang lain, terdapat lebih dari satu variasi virus tersebut.

Namun, walaupun kelawar memiliki virus tersebut di dalam tubuh mereka, haiwan mamalia ini masih hidup dan sihat tanpa sebarang keradangan ataupun bengkak seperti yang dirasai oleh ribuan manusia yang terkena jangkitan virus corona.

“Untuk kelawar ini, ia adalah seperti virus corona adalah sebahagian daripada mikrobiom mereka,” kata Ken Field, salah satu penyelidik kajian ini.

“Kami sedang menggunakan kelawar ini sebagai alat untuk memberitahu kami ‘bagaimana mereka boleh hidup?'”, jelas DeeAnn Reader kepada The Philadelphia Inquirer.

 

Penyelidikan Bernilai Hampir RM1Juta

Menurut kedua pengkaji ini, idea ini telah bermula di akhir April yang lalu apabila mereka mendapat tahu bahawa Yayasan Sains Kebangsaan Amerika Syarikat sedang mengedarkan geran penyelidikan untuk kajian berkaitan Covid-19.

Mereka telah mengambil peluang ini dengan menghasilkan kertas cadangan bernilai US$200,000 (RM852,000) dan mendapat kelulusan dalam hanya masa seminggu.

Pasangan ini yang keduanya merupakan pensyarah di bahagian biologi Universiti Bucknell memulakan kajian dengan mengambil seorang pembantu makmal dan dua penyelidik sarjana muda.

Menurut para penyelidik, virus korona tidak menyerang paru-paru kelawar seperti yang berlaku pada manusia. Akan tetapi, virus ini boleh menyerang saluran gastrousus dalam kedua-dua spesies.

Oleh yang demikian, mereka bermula dengan mengambil kesemua sampel usus dari sampel yang mereka miliki dalam makmal.

Mereka mendapati kemungkinan mengapa virus ini menyebabkan keradangan pada manusia dan tidak pada kelawar ialah apabila keradangan berlaku pada pesakit Covid-19, mereka diberikan steroid. Namun ia merupakan ubat yang juga menyebabkan pengurangan aktiviti sistem imunisasi tubuh manusia dan kemungkinan besar akan menyebabkan keadaan menjadi teruk jika pesakit sedang melawan jangkitan.

Berlainan yang berlaku di dalam tubuh kelawar. Tubuh mereka akan mengeluarkan sesuatu yang boleh menyebabkan keradangan tersebut surut sekaligus menyebabkan mereka boleh mengawal virus tersebut.

 

Dua Penyelidik, Dua Teori Tetapi Satu Matlamat

Analisis genetik yang dilakukan oleh penyelidik ini telah mendapati dua perkara iaitu virus yang terdapat pada sampel kelawar dan “laluan” mana yang diaktifkan untuk membolehkan keradangan ini dalam keadaan terkawal.

Jika manusia berkongsi jalanan yang sama seperti kelawar ini, kajian ini boleh menjadi panduan untuk rawatan penyakit ini.

Namun begitu, kelawar adalah sangat berbeza. Salah satu teori mengapa mereka mampu memiliki pelbagai virus tanpa mendapat sebarang jangkitan ialah kerana “demam terbang” yang mereka selalu jalankan.

Kelawar ini akan terbang untuk berjam lamanya di waktu malam dan mengeluarkan banyak tenaga sehingga suhu badan mereka meningkat dan ini mungkin menyebabkan virus tersebut tidak mampu menyerang sistem tubuh mereka.

Oleh sebab itu, untuk membolehkan kelawar terbang lama, mereka juga perlu memakan serangga dengan jumlah yang sama berat dengan tubuh badan mereka, jelas Reeder.

Namun begitu, Field tidak pasti sama ada demam terbang ini merupakan jawapannya. Beliau rasa kelawar ini telah berevolusi bersama dengan virus korona ini sejak beribu tahun lamanya dan virus ini melalui pemilihan kendiri serta “mencari” hos yang sesuai untuk mereproduksi. Jika kelawar ini mati, virus ini juga tidak boleh tersebar.

“Kedua-dua patogen dan hos beradaptasi dengan satu sama lain dan apabila virus ini mula melompat dari kelawar ke hos lain yang belum pernah berevolusi bersama dalam sejarah, maka sistem imunisasi bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya,” kata Field.

 

Teori-Teori Para Saintis Tentang Jangkitan Virus Corona Pada Manusia

Seperti yang terjadi pada manusia. Para saintis masih tidak tahu lagi bagaimana virus tersebut boleh berjangkit tetapi merasakan ia telah berjangkit melalui hos peralihan.

Teori asalnya ialah ia berasal daripada sebuah pasar yang menjual haiwan di Wuhan. Walau bagaimanapun, perkara ini sudah tidak boleh disahkan kerana antara pesakit terawal di China telah mendapat penyakit tersebut tidak memiliki sebarang hubungan dengan pasar tersebut.

Reeder menspekulasi bahawa ia mungkin telah terjadi di pasar lain.

 

Manusia Sebenarnya Yang Menyebabkan Semua Ini Berlaku?

Namun, Reeder tidak menyalahkan kelawar untuk menyebarkan penyakit tersebut. Beliau menyalahkan manusia sendiri kerana berinteraksi dengan haiwan tersebut.

“Apabila limpahan berlaku, ia selalunya berlaku kerana aktiviti manusia. Limpahan adalah masalah manusia dan bukannya haiwan,” ujar Reeder.

Terdapat juga kejadian di mana manusia khuatir dengan kelawar sehingga mereka mula membunuh haiwan tersebut tetapi perkara ini telah menyerang kembali manusia apabila keadaan menjadi lebih teruk sehingga jangkitan pada manusia menjadi lebih tinggi.

Kejadian tersebut telah membawa kepada persoalan yang lebih besar kerana kelawar juga memainkan peranan penting dalam menyeimbangkan ekosistem. Mereka memakan serangga dan bantu dalam pendebungaan.

Kelawar ini adalah sahabat alam sekitar dan manusia. Jika kajian Field dan Reeder berjaya, ia berkemungkinan besar boleh membantu mengajar kita bagaimana untuk menangkis pandemik seterusnya.

Show More

Related Articles

Back to top button