Sukan

Pemain Legenda Golf Negara Ini Memiliki Tuah Di Badan Sehingga Pernah Terselamat Tiga Kali Daripada Maut

Bagi peminat sukan golf, nama M. Ramayah merupakan pemain legenda Malaysia kerana kehebatannya dalam sukan tersebut pada tahun 1990an.

Beliau yang kini berusia 65 tahun mengimbau kembali perjalanan kerjayanya dalam sukan golf dan juga nasib baik yang membolehkan dirinya “lari” daripada malaikat maut bukan hanya sekali malah tiga kali!

Pertamanya terjadi semasa beliau berusia 28 tahun.

Beliau yang sedang dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbangi Changi, Singapura setelah selesai pertandingan Maruman Golf Classic apabila MH684 mendarat dua kilometer sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Subang dan terhempas di kawasan paya pada 18 Disember 1983.

Namun semua penumpang dan krew penerbangan ketika itu selamat sebelum api yang marak menjilat pesawat yang terhempas itu.

Kejadian tersebut sempat meninggalkan fobia untuk dirinya menaiki kapal terbang dan beliau akan mengelak untuk menaikinya kecuali sangat memerlukan.

 

Terlibat Dalam Kemalangan Jalan Raya & Hampir Ditembak Mati

Enam tahun kemudian, M. Ramayah terlibat dalam kejadian kemalangan jalan raya apabila beliau terlanggar pembahagi jalan dan kereta yang dipandunya itu terbalik dan rosak teruk (total loss).

Beliau selamat daripada kemalangan tersebut dengan hanya luka di kepala.

Kejadian ketiga pula berlaku pada tahun 1993 apabila Ramayah tidak sengaja hampir ditembak oleh rakan yang fikir pistol yang dipinjam daripada rakan polis semasa sedang makan malam tidak diisi peluru.

“Ketika itu saya berada di Kelantan untuk pertandingan tempatan dan saya mengikuti rakan golf yang lain untuk merentasi sempadan Thailand untuk membeli-belah dan makan malam di sana.

“Saya sedang sibuk berbual apabila salah satu rakannya memanggil nama saya. Sebaik sahaja saya pusing, dia menembak pistol ke arah saya. Saya sangat bernasib baik apabila ia tidak mengena sasaran dan mengenai dinding di belakang saya. Semua orang terkejut.

“Pemain golf itu memohon maaf dan berkata dia tidak tahu bahawa pistol itu berisi peluru. Saya sangat bersyukur tidak ada sesiapa yang tercedera ketika itu,” cerita M. Ramayah kepada TheStar.

 

Memulakan Kerjaya Sebagai Pemain Golf Sejak Usia 14 Tahun

Kejadian demi kejadian itu juga tidak menghalang kejayaannya apabila beliau mendominasi posisi no. 1 di MPGA Order of Merit dari tahun 1976 hingga 1997.

M. Ramayah yang pernah bergelar pemain golf no. 1 negara dan mewakili Malaysia di Piala Dunia sebanyak 13 kali ini juga sangat bertuah kerana memulakan kerjayanya sebagai caddie sebelum menjadi pemain golf pada usia hanya 14 tahun!

Pada usia 18 tahun, beliau menjadi pemain profesional dan mengalahkan pemain handalan lain setahun setelah itu di Kejohanan PGA.

Pada tahun 1979, Ramayah mewakili Malaysia di Piala Dunia bersama Nazamuddin Yusoff dan berakhir di tempat ke-13 dan bagi acara individu, Ramayah juga mendapat tempat ke-13.

Kejayaan di pentas dunia tertinggi ialah pada Piala Dunia 1994 di Dorado Beach Resort, Puerto Rico apabila beliau berganding bersama mendiang P. Gunasegaran dan berjaya memasuki pusingan terakhir di tempat ketiga tetapi berakhir di tempat ke-9.

 

Pernah Bermain Dengan Tiger Woods

Pada tahun 1999, Malaysia berjaya menjadi tuan rumah Piala Dunia dan M. Ramayah bertuah dapat bermain bersama Tiger Woods.

Namun, kenangan yang lebih tidak dapat dilupakan M. Ramayah ialah ketika Tiger Woods sangat kesal dengan penonton yang tidak menghormati pertandingan yang sedang berlangsung dan tidak mematikan telefon bimbit ketika menyaksikan acara terbabit secara langsung.

“Beliau merupakan pemain No.1 dunia jadi sudah pasti ramai mahu menyaksikannya. Pada satu ketika, saya bermain dengan baik dan berada di kedudukan lebih tinggi daripada Tiger sehingga beliau melakukan pukulan birdy di lubang-lubang terakhir.

“Pada lubang ke-16, telefon bimbit salah seorang penonton berbunyi sebaik sahaja saya ingin melakukan pukulan dan ia telah menyebabkan saya hilang fokus.

“Tiger bersuara ‘mereka ini bodoh’. Kejadian tersebut berlaku sekali lagi di lubang ke-18 sebaik sahaja saya melakukan pukulan ‘backswing‘. Tiger menunjukkan dari mana arah bunyi itu berlaku dan berkata ‘mereka ini tidak belajar,'” kenang Ramayah.

 

Masih Aktif Bermain & Memasuki Pertandingan Golf Pada Usia 65 Tahun

M. Ramayah ketika Kejohanan Senior Asia. Sumber Imej: Asian Senior Masters Golf

Sehingga kini Ramayah yang pernah memenangi kejuaraan Marcos Invitational di Filipina pada tahun 1981, masih bergiat cergas dalam sukan golf dan mengajar orang bermain sukan itu.

Ramayah masih mengikuti kejuaraan terutamanya dalam kategori senior.

“Saya masih sihat dan mampu bersaing dengan mereka yang muda. Saya boleh pergi sehingga 457 meterĀ  (500 yards) dalam dua pukulan, oleh itu saya terus bertanding selagi mampu,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button