Sukan

Pasukan & Kelab Liga M Kini Boleh Mula Berlatih Semula Dengan Beberapa Syarat Ini

Sewaktu pengumuman tentang Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan Ahad lalu oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beberapa jenis sukan dan rekreasi akan dibuka semula dengan pematuhan kepada SOP.

Ini termasuk latihan persediaan pasukan permainan sukan, aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti bowling, badminton, memanah, menembak dan lain-lain.

Namun aktiviti seperti pertandingan sukan atau permainan yang melibatkan perhimpunan penyokong atau penonton yang ramai seperti di stadium, sukan renang dan kolam renang awam, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bola sepak, bola keranjang dan hoki masih tidak dibenarkan.

Menteri Belia & Sukan Benarkan Jalani Latihan Bola Sepak Bersyarat

Walau bagaimanapun, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah mengeluarkan kenyataan semalam (8 Jun 2020) untuk membenarkan semua sukan berpasukan dan sukan tempur memulakan latihan bermula 15 Jun ini.

Semua sukan itu dibenarkan berlatih tanpa sentuhan badan dengan melakukan penjarakan sosial tiga hingga lima meter.

Ini termasuklah latihan untuk semua pasukan dan kelab Liga Malaysia (Liga M) dan kelonggaran ini juga termasuk buat skuad bola sepak kebangsaan dan skuad B-19 kebangsaan.

Jika FAM Mahu Jalani Latihan Penuh Perlu Jalani Kuarantin

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga disaran menggunakan pendekatan kuarantin sekiranya mahu memulakan latihan penuh yang melibatkan sentuhan buat skuad Harimau Malaya dan bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pendekatan itu digunakan oleh kem latihan pusat Road To Tokyo (RTT) yang memulakan latihan penuh di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara dan Langkawi sejak 1 Jun lalu.

“Kalau mereka (FAM) mahu mulakan latihan tanpa sentuhan, mereka boleh mulakan serta-merta. Namun, untuk latihan penuh, mereka mungkin boleh laksanakan pendekatan yang digunakan program RTT.

“Untuk menjalani latihan penuh termasuk sentuhan fizikal, keselamatan atlet perlu diberi keutamaan. Sebab itu, kita menggunakan pendekatan kuarantin bagi program RTT bagi menjamin bahawa ketika melaksanakan latihan, keselamatan mereka terjaga.

Jika FAM Mahu Jalani Latihan Penuh, KBS Akan Bantu Bawa Perkara Ini Ke MKN

“Sekiranya skuad kebangsaan mahu menggunakan pendekatan seperti itu, mungkin saya boleh pertimbangkan untuk membawa perkara berkenaan kepada MKN (Majlis Keselamatan Negara) selagi mana kita mendapat SOP (prosedur operasi standard) yang sama dengan RTT,” kata Datuk Seri Reezal Merican.

Berdasarkan SOP pendekatan kuarantin yang digunakan, semua yang terbabit dengan program latihan pusat RTT tidak dibenarkan keluar atau bertemu dengan orang luar sepanjang tempoh sebulan latihan.

Pertandingan Pasukan Kebangsaan Negara Tidak Lama Lagi

Skuad Harimau Malaya perlu melakukan persiapan bagi menghadapi aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang menyaksikan Malaysia akan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai pada 8 Oktober sebelum bertemu Vietnam di laman sendiri lima hari selepas itu.

Skuad B-19 pula akan menghadapi Kejohanan AFC di Uzbekistan pada Oktober depan.

Jawapan FAM Tentang Kem Latihan Pusat..

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, badan induk itu akan menyediakan SOP bagi kem latihan pusat dengan pendekatan secara kuarantin yang akan dihantar kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam masa terdekat berpandukan SOP Sektor Sukan dan Rekreasi Fasa 2 dikeluarkan KBS.

“Bagi aktiviti bola sepak secara sosial dan riadah, FAM akan mengeluarkan satu garis panduan cadangan untuk diikuti oleh semua yang terlibat bagi menjamin kesihatan dan keselamatan semua agar tidak terdedah kepada kemungkinan terjadinya penularan semula pandemik Covid-19,” jelas Stuart.

Sehubungan itu, katanya, FAM berharap semua yang terlibat dalam bola sepak dapat mengekalkan disiplin diri untuk mengikut segala SOP serta ketetapan agar kelonggaran yang telah diberikan kerajaan dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesihatan dan kelangsungan sukan bola sepak di negara ini.

Show More

Related Articles

Back to top button