Sukan

Antara Atlet Yang Memperjuangkan ‘Keadilan Untuk George’

Solidariti terhadap George Floyd bukan sahaja telah menyebar luas di Amerika Syarikat tetapi seluruh dunia apabila di media sosial muncul posting #blackoutTuesday sebagai tanda sokongan terhadap pergerakan anti-perkauman.

Perkara ini juga berlaku di arena sukan dengan beberapa solidariti terhadap George Floyd yang meninggal dunia akibat sesak nafas ketika hampir sembilan minit bertahan ketika salah seorang pegawai polis menekan lehernya dengan melutut.

Antara aksi solidariti yang ditunjukkan oleh para atlet dunia ialah:-

1. Floyd Mayweather, Petinju

 

Beliau telah mengutuskan cek bernilai 70,000 pound (RM375,275) untuk majlis pengebumian George Floyd, yang meninggal dunia pada 27 Mei pada usia 46 tahun.

“Kita melakukan perkara berbeza dengan bermacam cara, jadi pasukan kami memberi sumbangan dengan cara ini.

“Ia datang daripada kami semua, sebagai satu pasukan. Sumbangan kami untuk masyarakat.

“Akan ada tiga, mungkin empat majlis, tetapi saya sanggup tanggung kos kesemuanya,” kata Mayweather.

Upacara pengebumian George Floyd dikatakan akan berlangsung pada 9 Jun di Houston.

“Pada hari Sabtu, akan ada upacara peringatan di North Carolina, tempat dia dilahirkan, pada jam 1:00 hingga 3:00. Dan kemudian pada hari Selasa, 9 Jun, pengebumian akan dilakukan di Houston, Texas pada jam 11 pagi,” kata peguam Ben Crump, yang mewakili keluarga Floyd.

 

2. Coco Gauff, pemain tenis

Gauff memuatnaik video TikTok di Twitter miliknya, dengan mempersoalkan adakah dia akan menjadi mangsa yang seterusnya.

Gauff yang baru berusia 16 tahun juga telah memberi ucapan sewaktu tunjuk perasaan diadakan di kawasan tempat tinggalnya Delray Beach, Florida.

“Saya rasa sedih bahawa saya berada di sini untuk membantah perkara yang sama yang dilakukan (oleh nenek saya) 50 tahun yang lalu.

“Oleh itu saya mahu memberitahu anda semua bahawa kita perlu menyayangi antara satu sama lain tidak kira apa pun.

“Saya telah menghabiskan masa sepanjang minggu dengan mengadakan perbualan serius dan cuba memberitahu rakan-rakan saya yang bukan berkulit hitam bagaimana mereka boleh membantu gerakan ini. Keduanya, kita harus bertindak,” kata Gauff yang dipetik oleh USA Today.

 

3. Weston McKennie, Pemain Bola Sepak Schalke

Pemain Schalke kelahiran Amerika Syarikat dilihat memakai lilitan ‘Keadilan untuk George’ sebagai sebahagian daripada memprotes kematian George Floyd.

“Saya menggunakan platfrom ini untuk menarik perhatian masalah yang sekian lama terjadi,” kata McKennie yang berusia 21 tahun selepas pasukannya tumpas kepada Werder Bremen 1-0.

Pemain itu berkata, mereka harus memperjuangkan apa yang dirasakan betul dan dia percaya sudah tiba masanya masalah mereka didengari.

Rakan sepasukan McKennie dalam skuad Amerika Syarikat, Jozy Altidore, yang beraksi untuk FC Toronto, memuji tindakan pemain Bundesliga itu dengan menyatakan tabik hormat kepadanya di Twitter.

 

4. Colin Kaepernick, Pemain NFL

Colin Kaepernick, tengah

Colin Kaepernick pernah menunjukkan protest pada Ogos 2016 apabila beliau melutut sebelum perlawanan bermula dan ketika nyanyian lagu kebangsaan Amerika Syarikat.

Pada ketika itu beliau berkata,”Saya tidak akan berdiri dan berbangga pada bednera negara yang menindas orang hitam dan juga orang kulit berwarna. Bagi saya ini adalah isu yang lebih besar daripada football dan ia mungkin akan kelihatan mementingkan diri sendiri untuk melihat keadaan pada sudut yang berlainan tetapi terdapat mayat di jalanan dan orang dapat cuti berbayar dan terhindar daripada terkait dengan pembunuhan.”

Kaepernick juga berani untuk berdepan dengan pengambilan tajaan kerana beliau percaya apa yang dilakukannya adalah betul.

Namun beliau berkata dirinya tidak anti-Amerika dan sangat menyayangi negara tersebut. Oleh sebab rasa sayangnya itulah beliau melakukan perkara itu dan berharap boleh membuat Amerika lebih baik.

Kaepernick juga memberi sumbangan USD1juta daripada gajinya.

Aksi berlututnya itu telah digunakan oleh pasukan Liverpool sebagai simbol memerangi sifat perkauman yang melanda dunia.

 

5. Pasukan Liverpool

Pemain Liverpool menunjukkan solidariti kepada pergerakan ‘Black Lives Matter’ berikutan kematian George Floyd di Amerika Syarikat dengan berlutut dalam kawasan bulatan tengah padang di Anfield sebagai tanda solidariti terhadap trajedi yang menimpa George Floyd.

Bintang The Reds termasuk Virgil van Dijk dan Trent Alexander-Arnold juga memuatnaik gambar sama bersertakan perkataan ‘Unity is strength’, sebelum dilengkapkan dengan hashtag #BlackLivesMatter.

 

6. Jadon Sancho, pemain Dortmund

Selepas menjaringkan gol dalam kemenangan Dortmund di Paderborn pada Ahad, pemain sayap England, Sancho memaparkan jersi bertulis ‘Keadilan buat George Floyd’.

Rakan sepasukannya, Hakimi dan McKennie meluahkan perkara sama untuk keadilan, sementara pemain Perancis dan juga anak kepada pemain legenda Perancis yang memenangi Piala Dunia, Lilian Thuram, Marcus Thuram bertindak melutut selepas menjaringkan gol buat Gladbach bagi memperingati kematian Floyd.

Tindakan para pemain ini bagaimanapun sedang disiasat oleh Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB).

Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa), Gianni Infantino bagaimanapun berkata, pemain bola sepak di Jerman yang menunjukkan solidariti terhadap George Floyd pada perlawanan hujung minggu lalu layak mendapat tepukan bukannya hukuman.

“Kita semua harus mengatakan tidak terhadap perkauman dan segala bentuk diskriminasi. Kita semua mesti mengatakan tidak terhadap kekerasan dan segala bentuk kekerasan,” katanya.

Terdahulu, Fifa mengatakan penganjur kejohanan perlu mempertimbangkan konteks di sebalik insiden itu sebelum memutuskan untuk menghukum sebarang insiden yang berlaku di atas padang.

“Fifa sangat memahami secara mendalam sentimen dan keprihatinan yang diluahkan oleh ramai pemain bola sepak dalam insiden tragik membabitkan kes George Floyd,” menurut kenyataan badan induk bola sepak itu lagi.

Terdapat pelbagai lagi luahan perasaan yang diberikan oleh para pemain seluruh dunia.

 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close