Sukan

Para Peminat Mengambil Tempat Di ‘Virtual Stand’ Sepanjang 40 Meter Melalui Zoom

Khamis yang lalu, Denmark menjadi negara kedua di Eropah Barat untuk memulakan musim liga mereka setelah Jerman memulakannya terdahulu.

Dalam perlawanan pembukaan musim di antara pasukan AGF yang menyambut kehadiran pasukan Randers di rumah mereka, sebuah sejarah baharu tercipta apabila mereka menyediakan skrin besar sepanjang 40 meter dengan ketinggian 3 meter yang memaparkan para peminat menyaksikan perlawanan tersebut menerusi pautan video.

Sumber Imej: BBC

Para penyokong mendaftar diri untuk memperoleh tiket secara percuma dan mereka boleh memilih untuk mendapatkan bahagian yang diinginkan pada ‘virtual stand‘ (tempat duduk alam maya) tersebut.

Dua skrin kecil juga akan memaparkan peminat neutral dan peminat pasukan ‘away‘ untuk turut berada di “stadium”.

 

Kerjasama Dengan Zoom

Konsep ini telah direka dengan kerjasama Zoom yang memakan masa berminggu-minggu untuk persiapan.

“Saya tidak pernah sangat sibuk sebelum sebuah perlawanan berjalan dan ia sangat lucu kerana tidak ada penonton sebenar hadir di stadium,” kata ketua media AGF, Soren Carlsen.

Skrin tersebut merupakan perkara terakhir yang mereka lakukan sebelum perlawanan di Ceres Park diadakan.

Para penonton menjadi latar belakang digital di stadium tersebut tetapi apa yang menjadi cabaran utama mereka ialah apabila 10,000 orang menyaksikan perlawanan tersebut dengan mikrofon dinyalakan, ia sudah pasti akan menjadi keadaan dan suara yang huru-hara.

Oleh sebab itu peminat di bahagian yang berlainan akan digalakkan untuk bernyanyi bersama-sama.

“Kami cuba untuk mereka merasai atmosfera pada perlawanan tersebut. Para pemain juga boleh melihat penyokong mereka dan berharap mereka boleh mendengar laungan sokongan mereka. Semua orang merasakan ia adalah menarik apabila kita sedang mencuba sesuatu yang baharu,” kata Carlsen

 

Eksperimen Dilakukan Sebelum Perlawanan Sebenar

Sebelum perlawanan sebenar berjalan, mereka telah melakukan eksperimen terlebih dahulu dengan 50 peminat dipelawa untuk menonton perlawanan tersebut.

Walaupun inisiatif ini telah menarik minat global, namun peminat tempatan lebih diutamakan.

Sistem yang mereka ada membenarkan peminat yang memiliki tiket bermusim untuk menduduki bahagian yang sering mereka duduk dan menyapa orang yang sering mereka lihat di stadium.

“Apabila para peminat log masuk, mereka akan melihat muka-muka yang mereka kenali, para peminat yang sudah tiga bulan tidak bersua,” cerita Carlsen kepada The Guardian.

 

Idea Tercetus Sejak Perintah Berkurung

Kehidupan sejak perintah berkurung telah mencetuskan idea kepada Carlsen dan rakan sekerjanya untuk terus berhubung melalui Zoom telah membuat mereka berfikir jika teknologi tersebut boleh digunakan di stadium.

Kelab lain di seluruh Eropah juga telah mula bertanya cara untuk mereplikasi idea tersebut dan Carlsen melihat terdapat potensi untuk ia diperkenalkan kepada beberapa sukan yang lain.

“Ini adalah perlawanan yang penting. Ia adalah sukar untuk para pemain bermain tanpa peminat. Oleh itu bagaimana kami hendak pastikan stadium kosong itu boleh mengingatkan para pemain bahawa mereka sedang bermain untuk keseluruhan bandar?,” ujar Carlsen.

AGF bukan satu-satunya kelab Denmark yang sedang mencuba sesuatu kelainan tetapi pasukan teratas liga, Midtjylland juga akan mengadakan skrin gergasi di luar stadium untuk peminat mereka tonton pada perlawanan pertama mereka.

Inilah gambaran sewaktu perlawanan di antara AGF dan Randers diadakan di stadium minggu lalu:

Show More

Related Articles

Back to top button