AntarabangsaIsu Semasa

Rusuhan Terburuk Dalam Beberapa Dekad Melanda Amerika Syarikat Akibat Ketidakadilan Polis

Setelah pelbagai insiden ketidakadilan yang melibatkan orang berketurunan Afrika Amerika dan pihak polis di Amerika, insiden yang menyebabkan kematian ini adalah menjadi kemuncak sehingga banyak protes diadakan di Amerika.

 

Kematian George Floyd Titik Kemuncak Kemarahan Orang Awam

Kemarahan orang awam meledak dengan tersebarnya video menunjukkan George Floyd, 46 tahun merayu dilepaskan ketika dikasari pegawai polis terbabit apabila polis merebahkan badan mangsa ke jalan tar, dengan lutut salah seorang daripada mereka menekan tengkuknya.

Rakaman yang diambil oleh orang awam memperlihatkan jasadnya terkulai tanpa nyawa selepas lima minit, apabila polis mengarahkannya menaiki kereta peronda.

Tindakan itu disifatkan sebagai satu lagi kekejaman dan penindasan polis terhadap warga AS berketurunan Afrika.

Keluarga Floyd menuntut ketiga-tiga pegawai polis yang berada di tempat kejadian dipecat dan didakwa atas tuduhan membunuh.

 

Ada Yang Mengambil Kesempatan Di Atas Tragedi Ini

Ketua Polis St Paul, Todd Axtel, berkata pihak berkuasa sudah mengeluarkan arahan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang keganasan dan berjanji akan menyiasat punca kematian Floyd secara telus.

“Kami tahu ramai marah, ramai yang terkesan dan sedih, namun kita tidak akan bertolak ansur dengan individu yang menggunakan kesempatan ini untuk melakukan jenayah,” katanya.

Ratusan orang mula berarak di Minneapolis, sementara di St Paul, polis melaporkan berlaku beberapa rompakan.

Atas permintaan kedua-dua bandar, Gabenor Minnesota, Tim Walz, meminta bantuan pasukan Pengawal Kebangsaan dan polis negeri bagi mengembalikan keamanan.

“Kematian Floyd seharusnya membawa kepada keadilan dan perubahan sistematik, bukan lebih banyak kematian serta kemusnahan,” katanya.

Rusuhan terbabit juga menyebabkan sebuah balai polis di Minnesota terbakar.

Balai itu yang ditinggalkan polis, terbakar selepas sekumpulan penunjuk perasaan melepasi penghadang di sekitar bangunan terbabit, memecahkan tingkap dan melaungkan slogan.

Semakin ramai menyertai kumpulan penunjuk perasaan berkenaan ketika api marak menjilat bangunan terbabit.

 

Anggota Polis Telah Didakwa

Susulan insiden rusuhan itu, Derek Chaivin, anggota polis yang terbabit insiden kematian Floyd pada Isnin lalu akhirnya telah ditahan dan didakwa atas pertuduhan membunuh. 

Derek Chauvin ialah seorang daripada empat anggota polis dipecat selepas tersebar rakaman video menunjukkan Floyd yang digari terbaring di atas jalan raya sambil Chauvin menekankan lututnya pada leher lelaki itu selama sekurang-kurang lima minit.

Penahanan pegawai polis Minneapolis terbabit, Derek Chauvin yang didakwa atas pertuduhan membunuh, dilihat tidak meredakan kemarahan orang ramai.

Rusuhan oleh penunjuk perasaan selama tiga malam untuk membantah insiden kematian Floyd telah menyebabkan Datuk Bandar Minneapolis mengisytiharkan darurat di bandar itu.

 

Darurat Diisytiharkan

Menurut laporan AFP, dalam pelaksanaan perintah berkurung ketat itu, Datuk Bandar Jacob Frey mengarahkan tiada sesiapa dibenarkan berada di jalan raya mulai jam 8 malam hingga 6 pagi, kecuali pihak berkuasa, anggota bomba, petugas perubatan dan pasukan pengawal kebangsaan yang dikerahkan untuk menjaga keamanan.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan bahawa menurut laporan agensi berita Xinhua yang memetik CBS News, sesiapa mengingkari arahan perintah berkurung berkenaan boleh didenda AS$1,000 atau penjara hingga 90 hari.

Pada hari sama, Datuk Bandar St Paul, Melvin Carter, turut menandatangani perintah darurat tempatan.

Sebelum itu, Gabenor Minnesota, Tim Walz, juga mengisytiharkan darurat.

Namun penunjuk perasaan terus berkumpul di jalanan, sekali gus mengingkari perintah berkurung.

 

Protes Merebak Keseluruh Amerika

Protes juga telah berlangsung sehingga ke Rumah Putih apabila ratusan penunjuk perasaan berarak di luar Rumah Putih.

Presiden Donald Trump dilaporkan berada di dalam Rumah Putih ketika penunjuk perasaan berkenaan berkumpul di taman seberang jalan, dengan puluhan ejen ‘Secret Service’ melakukan kawalan rapi yang ketat.

Penunjuk perasaan antara lain membawa sepanduk tertera ‘Berhenti Membunuh Kami’ sambil menuntut keadilan atas kematian George Floyd.

Bagaimanapun, sebahagian besar pertempuran serius berjaya dihindari di luar Rumah Putih, dan penunjuk perasaan berarak memasuki jalan Washington menuju ke Capitol AS.

Bantahan turut merebak ke New York, Houston, Atlanta, Detroit, Las Vegas, San Jose dan Memphis.

 

Apa Kata Trump?

Trump dikritik hebat susulan komennya dalam Twitter yang menyifatkan penunjuk perasaan di Minneapolis sebagai ‘samseng’ dan memberi amaran bahawa ‘apabila keganasan bermula, tembakan akan dilepaskan.’

Namun dalam komen terbarunya, Trump berkata, beliau menyokong bantahan secara aman, namun ‘tidak boleh membenarkan situasi sebagaimana berlaku di Minneapolis untuk menjadi semakin buruk hingga mencetuskan huru-hara dan anarki’.

“Saya memahami perasaan sedih dan terluka itu.

“Keluarga George berhak mendapat keadilan dan penduduk di Minnesota berhak untuk hidup dalam keadaan selamat.

“Ramai orang keluar membantah kerana berasa sedih dan kemudian ada yang menjadi tidak terkawal. Itu tidak akan berlaku lagi, ia tidak boleh berulang,” katanya.

Presiden Donald Trump turut mengucapkan takziah kepada keluarga George Floyd.

“Saya telah bercakap dengan ahli keluarganya dan menzahirkan perasaan sedih saya. Ia adalah kejadian yang mengerikan.

“Mereka sedang meratapi pemergian insan tersayang,” katanya.

 

Pergolakan Terburuk Di Amerika Dalam Tempoh Beberapa Dekad

Letusan gelombang kemarahan atas layanan buruk polis terhadap golongan Afrika-Amerika itu merupakan antara pergolakan awam terburuk di AS dalam tempoh berdekad-dekad.

Gabenor Tim Walz berkata, beliau telah menggerakkan keseluruhan 13,000 anggota Pengawal Kebangsaan Minnesota untuk menangani perusuh yang merompak kedai dan membakar kawasan Minneapolis – St Paul.

Langkah sedemikian tidak pernah diambil lagi sejak Perang Dunia Kedua.

Walz berkata, beliau juga telah berbincang dengan Pentagon untuk memanfaatkan sumber ketenteraan AS bagi membantu menjaga keamanan.

The New York Times melaporkan bahawa atas arahan Trump, polis tentera diletakkan dalam keadaan bersiap siaga untuk digerakkan, iaitu satu langkah tidak diambil dalam tempoh berdekad-dekad.

 

Bantahan Aman Disokong Tetapi Melakukan Kemusnahan Adalah Dilarang

Walz mendakwa, beliau akan terus menyokong bantahan aman atas tragedi yang menimpa Floyd, namun tindakan penunjuk perasaan melanggar perintah berkurung dan melakukan kemusnahan di bandar ini adalah tiada kaitan dengan kematian mangsa.

“Harapan kami ialah perintah berkurung dipatuhi dan ketenteraman kembali pulih,” katanya.

Sambil mendakwa perusuh terbabit adalah anggota kumpulan anarki dan pelampau, beliau berkata: “Matlamat kami ialah menghapuskannya secepat mungkin.”

Bantahan dijangka berterusan walaupun pegawai polis yang terbabit insiden kematian Floyd telah dipecat, selain ditahan dan didakwa dengan pertuduhan membunuh.

Los Angeles, Philadelphia dan Atlanta turut mengisytiharkan darurat bagi mengekang rusuhan antipolis yang kian merebak ke seluruh Amerika Syarikat.

Perintah berkurung pada waktu malam juga dikuatkuasakan di Louisville, Kentucky.

Show More

Related Articles

Back to top button