Isu SemasaTempatan

Ini Mengapa Bil Elektrik Anda Belum Sampai Rumah

Ketika PKP berlangsung, semua operasi bacaan meter telah ditangguhkan dan hanya pada 15 Mei lalu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memulakan semula operasi bacaan meter secara berperingkat.

Di beberapa negeri seperti Kedah, Perlis, Kelantan, Pulau Pinang dan Perak (kecuali Sri Manjung), TNB telah menyambung semula operasi Kedai Tenaga serta operasi bacaan meter secara berperingkat sejak 12 Mei yang lalu.

Pada 18 Mei pula sejumlah 47 Kedai Tenaga di Putrajaya, Johor, Pahang, Terengganu dan Melaka serta di Perak sudah pun mula beroperasi.

 

Adakah Bil Sebenar Akan Lebih Tinggi?

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata disebabkan pembacaan meter turut ditangguhkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), syarikat sedar kebimbangan pelanggan kediaman mengenai kenaikan bil apabila pembacaan meter sebenar dilakukan.

“Pelan Bayaran Mudah (PBM) akan dilaksanakan secara automatik bagi semua pelanggan kediaman bermula daripada bil bulanan sebenar pertama yang diterima selepas TNB menyambung semula operasi pembacaan meter pada 15 Mei 2020.

“Seperti yang sedia maklum, TNB menangguhkan sementara pembacaan meter fizikal dan penyerahan bil di premis pengguna semasa PKP.

“Justeru, pengebilan dilakukan mengikut bil anggaran berdasarkan jumlah bil sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Bil anggaran boleh didapati menerusi saluran digital TNB seperti portal dan aplikasi myTNB serta perbankan Internet sekiranya bil TNB didaftar sebagai pembayar.

 

Boleh Bayar Bil Elektrik Ansuran?

Pelanggan akan beransur-ansur menerima bil sebenar yang diselaraskan mengikut bil anggaran lalu bagi mendapatkan penggunaan sebenar mereka.

Pelan Bayaran Mudah (PBM) yang diumumkan TNB ialah penangguhan surcaj lewat bayar (sehingga 30 September 2020) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan (sehingga 31 Julai 2020).

“Semua ini ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman kami,” kata Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

“Apabila pelanggan menerima bil bulanan sebenar pertama, mereka mempunyai pilihan untuk membuat pembayaran penuh atau mengikut jumlah Pelan Bayaran Mudah (PBM). Maklumat pembayaran akan dipaparkan di dalam kotak berwarna kuning pada sudut kanan bahagian atas bil yang diterima.

“Pakej itu adalah sebagai tambahan kepada diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus yang ditawarkan kepada pelanggan bagi penggunaan elektrik dari 1 April 2020 hingga 30 September 2020,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Selain pakej pasca PKP, TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah dua peratus hingga 50 peratus bagi penggunaan dari 1 April 2020 hingga 30 September.

Kaedah Pelarasan Bil Anggaran

Ketika PKP berlangsung, bil yang dikeluarkan adalah berdasarkan anggaran penggunaan bagi bulan sebelumnya.

Selepas memperoleh bacaan sebenar, TNB melakukan pelarasan terhadap bil anggaran yang diberikan terdahulu dengan menggunakan kaedah prorata.

“Sebagai contoh, ada pengguna yang menerima bil anggaran pada Mac, April dan Mei, serta akan menerima bil sebenar pada Jun. Ini bermakna bagi tempoh empat bulan, kita akan menyelaraskan bil terbabit.

“Katakan bil pengguna itu ialah 1,400 kilowatt per jam, jadi kita akan membahagikan jumlah penggunaan ini kepada empat bulan untuk mendapatkan penggunaan sebulan.

“Kemudian, jumlah bagi sebulan itu akan didarabkan dengan blok tarif sedia ada. Sebagai contoh, sebulan penggunaan berjumlah RM102.80 dan untuk empat bulan ialah RM411.20.

“Kaedah yang kita gunakan ini tidak akan menyebabkan pengguna dikenakan caj berlebihan dan sebagai perbandingan, jika kita tidak menggunakan kaedah prorata, penggunaan amaun yang tertera dalam bil ialah RM681,” kata Ketua Pegawai Retail Tenaga Nasional Berhad (TNB), Megat Jalaluddin Megat Hassan kepada Buletin Bernama TV.

Megat Jalaluddin menegaskan, kaedah itu sudah disemak serta disahkan Suruhanjaya Tenaga bagi memastikan jumlah bil adalah tepat.

Malah, beliau berkata, pihaknya juga sudah mengambil kira diskaun diberikan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang diumumkan kerajaan, sebelum mengeluarkan bil akhir kepada pengguna.

 

Bil Elektrik Boleh Dibayar Secara Ansuran

Beliau memaklumkan, bagi memastikan pengguna tidak terbeban dalam pembayaran bil, TNB memperkenalkan pelan bayaran mudah di mana mereka mempunyai pilihan menjelaskan bil tertunggak ketika PKP secara ansuran bulanan hingga Disember depan.

“Tiada sebarang surcaj tambahan dikenakan untuk ansuran itu dan pengguna boleh melihat pelan berkenaan dalam bil. Jika pengguna mahu menjelaskan bayaran penuh juga tidak ada masalah.

“Selain itu, TNB tidak akan mengenakan caj lewat bayar hingga September depan dan tidak akan melaksanakan pemotongan bekalan bulanan hingga Julai,” katanya.

Katanya, pembayaran bil boleh dilakukan di Kedai Tenaga, secara dalam talian atau cawangan disahkan TNB seperti ejen berdaftar Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Kedai Mesra PETRONAS.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close