Sukan

Bekas Gimnas Negara Kini Bergelar Profesor Madya

Dr Farrah-Hani Imran merupakan bekas pemain gimrama berirama yang pertama menerima pangkat Profesor Madya dalam sebuah institusi awam negara.

 

Dari Seorang Atlet Menjadi Doktor Perubatan

Beliau yang bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Ketua Pembedahan Plastik, Unit Kebakaran dan Penjagaan Luka, Fakulti Perubatan UKM telah menerima penganugerahan itu setelah menjalani temuduga selama berminggu-minggu daripada ahli panel universiti.

Dr. Farrah, 43 tahun merupakan gimnas pertama beraksi di Kejohanan Dunia 1993 di Sepanyol merupakan seorang graduan Royal College of Surgeons, Ireland (RCSI) pada tahun 2002 bersama Persatuan Piala Graduan di mana beliau memperoleh keahliannya dari Royal College of Surgeons (MRCS) pada tahun 2005.

Dr. Farrah telah menyambung pembelajarannya dalam Sarjana Pembedahan Plastik di Universiti Sains Malaysia (USM) yang selesai di tahun 2010.

Kemudiannya beliau mengambil doktor falsafah dalam kesihatan mental di University College Dublin.

“Pengiktirafan ini diterima bersama rakan seperjuangan yang lain selepas berusaha bertahun-tahun dan setia berkhidmat demi negara di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Ini kali pertama bekas atlet negara menerima pengiktirafan sebagai Profesor Madya pembedahan, dan bekas gimnas negara pertama sebagai Profesor Madya dalam apa-apa bidang,” katanya kepada BH Sukan.

 

Nasihat Dr. Farrah Kepada Atlet Muda Negara

“Walaupun berdepan rintangan yang tidak berasas, teruskan usaha gigih, rajin kerja, ikhlas dan buktikan kewibawaan jati diri dengan jujur dan berpegang kukuh kepada amanah yang diberikan,” katanya yang juga Naib Presiden Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF).

Beliau turut menitipkan nasihat kepada atlet lain supaya memasang impian bagi melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi.

“Jangan takut bila orang ‘target’ anda. Sebagai atlet negara, ada yang salah anggap jalan hidup kita senang.

“Justeru, kita perlu lipat gandakan usaha dan elak jalan pintas. Usahakan yang terbaik dan hasilkan keputusan ‘personal best’ anda sebagai profesional. Jadi, versi juara terbaik diri anda,” katanya.

Pada tahun 2017 beliau juga pernah mengambil cuti daripada pengajian PhD dalam bidang kesihatan mental di Dublin, Ireland semata-mata untuk memastikan pasukan gimnastik berirama negara cemerlang di Sukan SEA 2017.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close