Isu SemasaTempatan

Kes Mabuk Ketika PKP Menjadi-Jadi. Suarakan Pendapat Anda Melalui Soal Selidik Kementerian Ini

Sejak kebelakangan ini rakyat Malaysia menyaksikan beberapa kejadian membabitkan pemandu mabuk.

Malah dalam keadaan Malaysia menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun ada juga berita pemandu mabuk melanggar sehingga orang yang tidak bersalah mengalami kecederaan malah meragut nyawa.

 

Kes Mabuk Sewaktu PKP

Terdapat beberapa insiden yang melibatkan pemandu mabuk sepanjang tempoh PKP iaitu:

(1) 3 April 2020 – Seorang lelaki yang memandu sebuah pacuan empat roda dalam keadaan mabuk, merempuh sekatan jalan raya dan khemah polis di Jalan Tun Hussein Onn, Bintulu pada jam 11.40 malam.

(2) 10 April 2020 – Seorang lelaki warga emas positif alkohol melebihi had yang dibenarkan memandu secara melulu sewaktu tiba di sekatan jalan raya (SJR) Op COVID-19 berhampiran Plaza Tol PJS 2 mengundang padah, apabila dia merempuh sebuah kereta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

(3) 19 April 2020 – Seorang pemandu lori berumur 34 tahun ditangkap kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan juga kerana memandu dalam keadaan mabuk di sekatan jalan raya Op COVID-19 di Jalan Tuaran Bypass, Kota Kinabalu.

(4) 24 April 2020 – Kedua-dua suspek berusia 21 dan 26 tahun di bawah pengaruh alkohol ditahan oleh anggota trafik yang menjalankan rondaan penguatkuasaan Ops COVID-19 sekitar jam 11.30 malam di Laluan Sungai Pari, Ipoh.

(5) 3 Mei 2020 – Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, meninggal dunia ketika bertugas di sekatan jalan raya (SJR) Op Covid-19 di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuh Raya LEKAS akibat dirempuh oleh sebuah kereta Toyota Hilux yang dipandu oleh seorang lelaki berusia 44 tahun dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol pada jam 3.12 pagi.

(6) 23 Mei 2020 – Seorang pemandu mabuk di Bukit Sentosa melanggar orang awam dan gerai jualan yang menyebabkan lima orang awam cedera dan dua khemah perniagaan dilaporkan mengalami kerosakan.

(7) 26 Mei 2020 – Seorang lelaki berusia 24 tahun ditangkap kerana merentas daerah dari Padawan ke Kuching tanpa kebenaran selain memandu dalam keadaan mabuk dan tidak mahu memberi kerjasama dan mengeluarkan perkataan ‘l%nc@u’ serta marah-marah kepada petugas sekatan jalan raya.

(8) 26 Mei 2020 – Seorang lelaki maut dalam nahas jalan raya ketika dalam perjalanan untuk bertugas syif malam di Jalan Pintasan Kuantan apabila seorang pemandu yang di bawah pengaruh alkohol serta memandu kereta jenis Toyota CHR dari arah Semambu memandu melawan arus pada kira-kira jam 9.38 malam.

 

Hukuman Mati Untuk Pemandu Mabuk?

Kejadian malam tadi ini telah menimbulkan kemarahan orang ramai dengan pemandu yang memandu kereta dalam keadaan mabuk.

Ada yang menyarankan hukuman mati diberikan kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian orang lain.

 

Kaji Semula Akta 333

Sebelum itu, Kementerian Pengangkutan melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD) menjalankan soal selidik dalam talian mengenai “Pengambilan Alkohol dan Penguatkuasaan Undang-Undang Yang Lebih Tegas Terhadap Kesalahan Memandu Dalam Keadaan Mabuk”.

Soal selidik itu bertujuan mendapatkan maklum balas dan pandangan orang awam berhubung kandungan alkohol yang perlu dibenarkan dalam undang-undang atau peraturan yang akan dipinda di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333].

“(Soal selidik itu juga) berdasarkan kepada keputusan jemaah menteri yang telah bersetuju supaya Kementerian Pengangkutan mengkaji semula Akta 333.

“(Ia untuk) menaikkan hukuman kesalahan memandu dalam keadaan mabuk termasuk menurunkan had kandungan alkohol yang dibenarkan dalam badan pemandu seperti mana standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” menurut kenyataan itu.

 

Suarakan Pendapat Anda Di Sini

Orang awam dijemput bersama-sama dalam menjawab soal-selidik berkenaan yang mula dilaksanakan pada 21 Mei 2020 sehingga 4 Jun ini di pautan: https://docs.google.com/forms/d/e/1FAIpQLSdFO_IIrh6otCgdFLcr9p1-cggYWWfirK6bQu90AWdBhxFVaA/viewform

Menurut seorang doktor di Pusat Perubatan UIAM Kuantan, Dr Nizam Zakaria, otak manusia dalam keadaan mabuk ini sangatlah berbahaya.

Otak manusia akan berhenti berfungsi tahap dem tahap mengikut aras alkohol dalam darah.

0.07-0.09 kemerosotan minor pada pertuturan, memori, keseimbangan, pendengaran dan tempoh reaksi

0.125 semua di atas akan merosot dengan lebih signifikan – makin teruk

0.13 0.15 peminum alkohol mula jadi tidak tenteram, hilang kemahiran motor, koordinasi dan pandangan kabur.

0.25 kemerosotan dalam semua kapasiti mental, bahasa mudahnya sudah hilang akal, termasuk deria dan kemampuan fizikal

0.3 ke atas stupor, koma dan kematian

 

Apa Kata Menteri

Menteri Pengangkutan Dr. Wee Ka Siong menyatakan bahawa pindaan untuk hukuman lebih berat terhadap mereka yang melakukan kesalahan tersebut perlu disegerakan dan menerusi laman facebook rasminya, beliau menyatakan bahawa pindaan berkenaan mestilah dimuktamadkan pada pertengahan Jun ini.

“Saya menggunakan kesempatan sempena cuti Hari Raya Aidilfitri dan dalam tempoh PKPB ini untuk berada di Pejabat Menteri Pengangkutan bagi meneliti semua cadangan berkaitan pindaan ke atas Akta Pengangkutan Jalan 1987 khususnya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol / dadah / memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kecederaan atau meragut nyawa pengguna jalan raya lain.

“Justeru itu, pada 1 Jun 2020, saya akan memanggil satu sesi taklimat di MOT bersama JPJ untuk segera meneliti dan menyemak cadangan pindaan Akta berkaitan. Pindaan Akta ini mestilah dimuktamadkan dalam pertengahan Jun ini dengan mengambilkira pandangan orang ramai melalui kajian soal selidik yang sedang dijalankan, sebelum ianya dibentangkan di dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” tulis beliau dalam kenyataan berkenaan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close