Isu SemasaTempatan

Ke Ibu Kota Cari Rezeki, Tak Sangka Sambut Aidilfitri Pertama Kali Sebagai Gelandangan Tahun Ini

Mohd Farid yang berasal dari Muar, Johor, tiba ke Kuala Lumpur sekitar November tahun lalu dengan harapan mencari pekerjaan tetap selepas setahun berkahwin.

Ketika tiba di ibu negara, Mohd Farid bekerja di kedai mencuci kenderaan, sebelum wabak COVID-19 menyerang negara dan memaksa kerajaan mengisytihar pelaksanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau yang ketika itu menetap di Cheras, hilang pekerjaan dan tidak lagi mampu membayar sewa rumah hingga akhirnya ditendang keluar daripada rumah itu, dan terpaksa menjadi gelandangan sejak April lalu.

Farid di Pusat Komuniti Sentul Perdana. Sumber Imej: Berita Harian.

“Waktu itu saya sudah tidak tahu apa nak buat kerana saya tiada kenalan atau keluarga di Kuala Lumpur, hingga terpaksa tidur di tepi jalan di Kota Raya.

“Selepas dua hari menjadi gelandangan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang dan membawa saya ke Pusat Komuniti Sentul Perdana untuk menjalani ujian saringan COVID-19 dan ditempatkan secara sementara di sini,” katanya ketika ditemui BH di Pusat Komuniti Sentul Perdana.

 

Hidup Bab Roda Yang Berputar

Buat pertama kalinya Mohd Farid Razali, 34, terpaksa  menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai gelandangan.

Mohd Farid mengakui rindu isteri dan keluarganya dan tidak menyangka akan menyambut Aidilfitri di Kuala Lumpur sebagai gelandangan, namun menganggapnya sebagai satu pengalaman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya.

“Sudah tentu saya sedih dan rindu untuk bersalaman dan memohon maaf pada keluarga pada Aidilfitri seperti sebelum ini, namun hakikatnya orang lain, sama ada gelandangan atau tidak, juga tidak dapat pulang beraya ketika ini,” katanya.

Tuah kini menyebelahi Mohd Farid yang mendapat pekerjaan baharu di Tanjung Malim, Perak selepas menghadiri temu duga pekerjaan yang diatur Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) minggu lalu, dan akan mula bekerja Selasa ini.

“Saya tidak sabar untuk memulakan hidup baharu di Tanjung Malim dan selepas PKP berakhir, saya mahu membawa isteri tinggal bersama saya di sana,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close