Sukan

Kenali Jurulatih-Jurulatih BAM Yang Distruktur Semula

Pada hari Ahad yang lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah mengumumkan penstrukturan semula jurulatih skuad badminton negara.

Penstrukturan semula ini berharap dapat memacu pasukan negara untuk jangka masa panjang dalam mempersiapkan diri ke Piala Thomas dan Uber yang akan berlangsung di Aarhus, Denmark dari 3 hingga 11 Oktober 2020 dan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021.

Berikut ialah senarai jurulatih yang diumumkan BAM:

Jurulatih Perseorangan lelaki

1. Hendrawan (Ketua)

2. Datuk Tey Seu Bock

Datuk Tey Seu Bock (kiri) Hendrawan (kanan). Sumber Imej: TheStar.

Kedua-dua mereka adalah individu yang bertanggungjawab membimbing Datuk Lee Chong Wei meraih gangsa ketika di Olimpik Rio 2020.

Menurut kenyataan, kepakaran kedua-dua bekas jurulatih Datuk Lee Chong Wei itu diperlukan bagi mempercepatkan proses peningkatan prestasi pemain perseorangan yang dibarisi pemain muda selain membantu persiapan Lee Zii Jia menghadapi Sukan Olimpik Tokyo tahun depan.

Malah, Seu Bock sendiri sebelum ini diberi peranan sebagai ketua jurulatih perseorangan wanita pada 2017 turut menjadi watak penting membantu Chong Wei meraih perak pada Olimpik Beijing 2008 dan London 2012.

Perseorangan wanita

1. Indra Wijaya (Ketua)

2. Loh Wei Sheng

Indra Wijaya. Sumber Imej: badminton planet

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan dikeluarkan menyatakan pemilihan Indra dilakukan kerana beliau mempunyai pengalaman dan pengetahuan luas yang mana beliau pernah melatih skuad Korea Selatan sebelum memulakan tugas di Malaysia pada 2016.

Indra sebelum ini merupakan pembantu kepada Hendrawan.

 

Beregu lelaki

1. Flandy Limpele (Ketua) – baharu

2. Rosman Razak

3. Hoon Thien How

Flandy Limpele (tengah) Sumber Imej: Badminton Planet

Pelantikan Flandy Limpele, 46 tahun mencuri tumpuan kerana nama beliau mungkin tidak besar berbanding jurulatih terkemuka dunia yang lain.

Flandy Limpele pernah memenangi pingat gangsa Olimpik Athens 2004 mengambil alih tempat Paulus Firman yang ditukarkan mengetuai skuad beregu campuran.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, berkata pemilihan Flandy dari Indonesia sebagai ketua jurulatih beregu lelaki dibuat berdasarkan kewibawaannya yang berjaya mentransformasikan pemain di bawah kendaliannya menjadi pasangan yang lebih baik.

“Kalau kita lihat ketika dia membimbing skuad India, kita boleh nampak peningkatan yang ditunjukkan beregu negara itu (Chirag Shetty-Satwiksairaj Rankireddy menempatkan diri dalam kelompok 10 terbaik dunia tahun lalu).

“Kalau orang mahu bandingkan siapa pemain yang mempunyai nama besar dia bawa, memang saya tidak boleh kata apa-apa. Namun, kami buat penilaian berdasarkan peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain bimbingannya sebelum ini dan itu adalah kriteria yang utama.

“Kami percaya dengan kehadirannya, kita mampu meningkatkan lagi prestasi pemain negara,” kata Choong Hann kepada BH Sukan.

 

Beregu wanita

1. Chan Chong Ming (Ketua) – baharu

2. Wong Pei Tty

3. Chin Eei Hui

Chan Chong Ming. Sumber Imej: The Star

Chan Chong Ming merupakan pemain kebangsaan yang pernah memenangai pingat gangsa di Kejohanan Dunia sebanyak dua kali.

Menurut Choong Hann, perlantikan Chan Chong Ming sebagai ketua jurulatih beregu wanita adalah bagi menyuntik nafas baharu dalam acara itu biarpun kurang pengalaman dalam kejurulatihan skuad kebangsaan.

“Dia pernah menjadi beregu lelaki nombor satu dunia dan mempunyai pencapaian yang baik ketika bergelar pemain. Saya percaya pengalamannya itu mampu membantu meningkatkan prestasi barisan pemain beregu wanita.

“Kami akan beri dia ruang dan peluang yang secukupnya untuk dia tampil dengan ideanya bagi merencana program latihan skuad beregu wanita. Saya percaya kehadiran Chong Ming mampu memperbaiki kelemahan yang ada dalam skuad beregu wanita,” katanya.

 

Beregu campuran

1. Paulus Firman (Ketua)

2. Teo Kok Siang

Paulus Firman. Sumber Imej: IndoSport

Selepas pencapaian yang dilakar ketika Kejohanan Berpasukan Asia Februari lalu yang menyaksikan skuad muda negara muncul naib juara, BAM berharap gandingan ini dapat meneruskan kecemerlangan yang dilakukan dalam skuad kebangsaan.

 

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria. Sumber Imej: TheSun

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, dua jurulatih yang baharu dilantik itu akan mula bertugas pada 15 Jun ini tetapi tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dilaksanakan ketika ini.

Show More

Related Articles

Back to top button