Isu SemasaKesihatanSains

Betul Ke Plasma Darah Boleh Rawat Pesakit Covid-19?

Pada awal bulan April yang lalu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan mereka akan menjalankan kajian ke atas plasma darah bekas pesakit Covid-19 yang telah pulih untuk melihat sama ada ia boleh digunakan untuk merawat pesakit lain.

“Jika mereka mempunyai jumlah antibodi yang tinggi, ada kemungkinan yang besar untuk kita menggunakan plasma mereka untuk merawat pesakit lain,” kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah yang juga mengucapkan terima kasih kepada beberapa pesakit yang tampil menderma darah mereka untuk penyelidikan perubatan.

Menurut beliau, penyelidikan tersebut akan dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

 

Bagaimana Plasma Darah Boleh Merawat Covid-19?

Plasma darah merangkumi kira-kira 55 peratus daripada keseluruhan komponen darah.

Ia berfungsi membawa air, nutrien, garam mineral dan protein enzim dan antibodi.

Peranan utama plasma adalah untuk membawa bahan-bahan ini kepada bahagian-bahagian badan yang memerlukannya.

Pada masa sama, sel-sel badan juga meletakkan produk sisa mereka ke dalam plasma dan dibawa untuk disingkirkan daripada badan antaranya oleh buah pinggang dan hati.

Memandangkan plasma darah berperanan mengangkut nutrien, hormon dan protein di dalam darah ke seluruh badan, konsep imuniti pasif boleh digunakan.

Plasma darah mampu menjadi elemen paling penting untuk membantu mempercepatkan penyembuhan pesakit yang dijangkiti COVID-19.

 

Antibodi Pesakit Sembuh Boleh Bantu Merawat Yang Lain

Ideanya, individu yang telah sembuh daripada jangkitan COVID-19 telah berjaya menghasilkan sistem imun yang memberi tindak balas yang kuat hingga mampu menghapuskan virus SARS-CoV-2 daripada badannya.

Sebahagian besar daripada tindak balas ini, adalah mereka berjaya menghasilkan antibodi (membabitkan mikrobial dan sel khusus dalam badan) untuk mensasarkan dan membunuh virus SARS-CoV-2 yang menjangkiti mereka.

Jadi, antibodi yang terhasil ini diambil daripada plasma pesakit COVID-19 yang telah pulih.

Menurut Ketua Pegawai Perubatan New York Blood Center Enterprises, Dr Bruce Sachais, menerusi transfusi (pemindahan) plasma daripada individu yang telah sihat kepada mereka yang kritikal, antibodi yang ada akan membantu pesakit berkenaan untuk melawan jangkitan dengan lebih efisyen buat sementara.

“Tindakan ini membolehkan proses penyembuhan pesakit berkenaan lebih cepat,” katanya menerusi laporan Times.com pada 26 Mac 2020.

 

Adakah rawatan ini mampu menyembuhkan pesakit COVID-19?

Menurut laporak AstroAwani, rawatan ini masih dalam kajian mendalam saintis seluruh dunia termasuk di Malaysia.

Biarpun masih dalam peringkat kajian, rawatan ini dilihat efisien dalam membantu merawat pesakit COVID-19 yang kritikal.

Februari lalu, Pengarah Hospital Jinyintan di Wuhan, China, Dr Zhang Dingyu mengesahkan bahawa penggunaan rawatan ini telah banyak membantu pesakit kritikal di sana untuk pulih.

Beliau percaya,melalui kaedah ini ia akan mempercepatkan proses rawatan pesakit dan menggesa mereka yang telah sembuh untuk turut mendermakan plasma mereka.

Di Amerika Syarikat, US Food and Drug Administration (FDA) pada 24 Mac 2020 membenarkan doktor untuk menggunakan plasma daripada pesakit yang telah sembuh untuk merawat mereka yang kritikal jangkitan COVID-19 di bawah sistem kelulusan kecemasan.

 

Penggunaan plasma darah untuk rawat wabak bukan perkara baru

Penggunaan plasma darah pesakit untuk merawat jangkitan bukanlah satu prosedur baru.

Ia pernah digunakan ketika wabak pandemik selesema Sepanyol pada tahun 1918.

Konsep yang dipegang, darah pesakit yang sembuh mempunyai antibodi pemusnah yang mampu memusnahkan virus wabak.

Proses transfusi plasma darah kepada pesakit yang sedang mengalami jangkitan atau berisiko untuk mendapat jangkitan dapat memberikan pelindungan tambahan.

Berdasarkan kepada kejayaan doktor di Wuhan menggunakan kaedah ini, doktor di Amerika Syarikat bakal menerapkan protokol yang sama.

Di Britain, Perkhidmatan Darah Nasional sudah membuat ujian saringan darah bagi mengesan plasma darah yang kaya dengan antibodi pemusnah.

Ia bakal digunakan dalam ujian klinikal kelak.

 

Doktor Beri Amaran Tentang Penipuan Darah Plasma

Walau bagaimanapun, Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar menyarankan orang awam untuk tidak terus mempercayai sesetengah pihak yang menipu dengan menjual plasma darah pesakit yang sembuh daripada Covid-19.

Menurutnya, darah plasma ini bukannya ubat penawar Covid-19 dan rawatan menggunakannya masih dalam ujian.

Oleh sebab itu orang ramai jangan pula berpusu-pusu membeli plasma tersebut ataupun produk yang dikatakan mampu mengatasi virus Covid-19.

“Tidak ada bukti yang kukuh untuk menyatakan bahawa plasma boleh merawat atau menghalang seseorang daripada mendapat Covid-19. Walaupun terdapat beberapa pusat kajian di luar negara sedang meneliti sama ada plasma boleh digunakan sebagai rawatan yang efektif, tetapi ia belum lagi dibukti berkesan,” jelasnya.

 

“Vaksin Pasif” Di Pasaran Gelap Atas Talian

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia juga ambil maklum terdapat laporan kejahatan siber yang menjual plasma darah ini di “dark web” atau pasaran gelap atas talian yang dikenali sebagai “vaksin pasif”.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menegaskan untuk jangan sesekali membelinya di atas talian kerana tidak tahu apakah kandungan asli di dalam plasma tersebut.

“Pengambilan darah, saringan dan prosesnya tidak dikawal dan tidak mematuhi prosedur biasa. Ini akan menyebabkan pelbagai reaksi seperti pencemaran darah termasuk jangkitan viral dan sepsis bakteria yang boleh membawa maut,” katanya kepada TheStar.

Menurut laporan, “vaksin pasif” ini dijual pada harga sehingga A$25,000 (RM87,500) di pasaran gelap. The New York Times turut melaporkan bahawa plasma ini dijual ke makmal percubaan pada harga yang sangat luar biasa – di antara RM1,470 to RM168,000.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close