Isu SemasaSains

Covid-19 Di Perancis & Amerika Bukan Datang Dari China?

Sebuah kajian yang dilakukan oleh Institut Pasteur di Paris mendapati pandemik virus korona di Perancis tidak berpunca daripada kes import China tetapi ia telah beredar dalam strain yang tidak dikenali asal usulnya.

Analisis genetik yang dilakukan telah menunjukkan jenis dominan strain viral di Perancis telah tergolong dalam sebuah klad yang sama (atau asal usul yang sama) tetapi tidak datang daripada China mahupun Itali (negara pertama yang terjejas teruk akibat Covid-19 di Eropah).

“Wabak Perancis telah muncul akibat satu atau pelbagai varian daripada klad tersebut dan kami dapati virus tersebut sudah secara diam-diam berada di Perancis sejak bulan Februari,” kata para pengkaji yang diketuai oleh Dr Sylvie van der Werf dan Etienne Simon-Loriere dalam sebuah penulisan yang dikeluarkan di bioRxiv.org minggu lalu.

Covid-19 telah menjejaskan lebih daripada 128,000 rakyat Perancis dan menyebabkan lebih 23,000 kematian.

 

Setelah Kes Import, Kes Tempatan Muncul Tidak Ada Kaitan Dengan China?

Perancis telah mula mengesan virus tersebut di akhir bulan Januari sebelum negara Eropah lain.

Beberapa pesakit yang memiliki sejarah perjalanan termasuk pernah ke bandar Hubei, China telah disaring pada 24 Januari dan didapati positif.

Kerajaan Perancis telah mengambil langkah yang cepat untuk mengesan sesiapa yang menjalani kontak rapat dengan pesakit yang terjangkiti supaya orang lain tidak akan terjangkiti virus tersebut.

Walau bagaimanapun, strain ini tidak lagi dijumpai di pesakit yang terjangkiti melalui kes import.

Ini telah menunjukkan bahawa “kuarantin yang dilakukan ke atas kes Covid-19 di Perancis telah berjaya menghalang penyebaran tempatan,” kata para pengkaji.

Institut Pasteur telah mengambil sampel daripada lebih 90 pesakit di serata Perancis dan mendapati kesemua strain tersebut didapati daripada satu garis genetik yang sama.

 

Menurut Genetik Ia Dikesan Di Eropah & Amerika

Strain ini telah mengikuti sebuah jalan evolusi yang unik yang hanya dikesan di Eropah dan Amerika.

Sampel paling awal dikesan di klad Perancis telah diambil pada 19 Februari daripada pesakit yang tidak mempunyai sejarah perjalanan dan tidak memiliki kontak dengan mana-mana orang yang pulang daripada luar negara.

Beberapa pesakit pernah berkunjung ke beberapa negara Eropah, Emeriah Arab Bersatu, Madagascar dan Mesir tetapi tidak ada bukti secara langsung mereka mendapatkan jangkitan Covid-19 akibat melancong ke tempat-tempat itu.

 

Virus Sudah Ada Di Perancis Sebelum Orang Menyedarinya

Para pengkaji juga terkejut bahawa strain yang kemudiannya diambil ada yang lebih tua dan lebih dekat dengan akar nenek moyang berbanding sampel klad pertama yang diambil.

Menurut pengkaji, penerangan yang mungkin terjadi akibat penemuan ini ialah jangkitan tempatan telah berlaku pada jangka waktu yang tidak diketahui di dalam Perancis tanpa disedari oleh pihak perubatan tempatan.

Kerajaan Perancis mungkin telah terlepas daripada mengesan jangkitan tersebut dan menurut para pengkaji itu, sebahagian besar daripada pesakit ini berkemungkinan memiliki simptom sederhana ataupun tidak ada simptom sama sekali.

 

Wabak Covid-19 Di Afrika Datang Daripada Perancis?

Para pengkaji juga mendapati tiga jajaran yang kemudiannya diambil dari Algeria didapati memiliki hubungan yang rapat dengan yang ada di Perancis.

Ini berkemungkinan mencadangkan bahawa mereka yang telah melakukan perjalanan dari Perancis telah mendedahkan virus tersebut ke negara Afrika hingga terjadinya wabak di situ.

Benjamin Neuman, seorang Profesor dan Pengerusi Sains Biologi dari Texas A&M University-Texarkana berkata jajaran Perancis mungkin datangnya dari Belgium kerana terdapat jajaran yang berkait rapat dengan yang ada di kluster China.

“Memandangkan jajaran Eropah virus korona ini berkait dengan Belgium, idea bahawa virus ini telah disebarkan dari Belgium kepada Itali dan Perancis pada masa yang lebih kurang sama adalah munasabah seperti yang dicadangkan oleh kertas kajian ini,”katanya.

Perancis merupakan negara terkini yang memiliki pertumbuhan jumlah kes baharu dan tidak memiliki hubungan langsung dengan China serta kemungkinan wabak ini terdiri daripada jangkitan tempatan.

 

Bukan Hanya Strain Perancis Menunjukkan Ia Tidak Datang Dari China

Menurut beberapa kajian, strain dominan di Rusia dan Australia sebagai contoh datangnya daripada Eropah dan Amerika Syarikat.

Hasil penemuan sebegini telah menarik perhatian beberapa ahli politik yang telah berusaha untuk menangkis kemarahan dalam negeri kerana menangani krisis dengan menyalahkan China.

Presiden AS Donald Trump turut melahirkan perasaan tidak puas hati di media sosial setelah dua pasukan berasingan di AS mendapati strain yang menghancurkan New York berasal dari Eropah.

 

Negara Kurang Membangun Mungkin Sukar Mengenal Dari Mana Datangnya Virus Tersebut

Kajian juga mendapati kesukaran beberapa pihak kerajaan hadapi untuk mengetahui sumber wabak virus korona yang terjadi di negara mereka.

Ini berlaku di beberapa negara yang kurang membangun kerana mereka tidak memiliki alat ujian yang boleh mengesan perkara tersebut.

Manakala sebuah lagi kajian berkenaan asal usul Sars-CoV-2, virus yang bertanggungjawab terjadinya penyakit Covid-19 mendapati virus tersebut berkemungkinan telah meninggalkan kelawar sejak 50 hingga 70 tahun yang lalu.

Sebuah kajian yang dilakukan oleh pasukan genetik di Oxford University telah mencadangkan wabak ini mungkin telah bermula seawal bulan September tahun lalu.

Mereka juga mendapati strain dominan yang beredar di China dan Asia adalah lebih muda dari segi usia genetik mereka berbanding strain popular di Amerika Syarikat.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close