Isu SemasaTempatan

Bila Sesi Persekolahan Di Malaysia Akan Bermula?

Berita Palsu Sesi Persekolahan Malaysia Mula 2021

Terdapat berita di media sosial yang tular mendakwa murid sekolah rendah dan pelajar tingkatan 1 hingga 4 hanya akan memulakan sesi persekolahan pada 2021.

KPM menafikan kenyataan sekolah akan dibuka hanya bagi pelajar Tingkatan Lima dan Enam pada 2020, manakala pelajar dan murid lain akan memulakan sesi persekolahan pada 2021 seperti yang tular di media sosial.

 

Guru Terkandas Hanya Perlu Jalani PdP Di Tempat Mereka Berada

Dalam sebuah kenyataan lain pula Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya berkata, guru yang terkandas di kampung atau berada di luar stesen bertugas dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak perlu bimbang selagi proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) boleh dijalankan dari lokasi mereka.

“Kehadiran guru ke sekolah pula hanya apabila mereka diperlukan memandangkan institusi itu masih ditutup akibat penularan wabak Covid-19,” tambah Muslimin.

Menurutnya, walaupun pelaksanaan PKPB ketika ini membenarkan penjawat awam kembali bekerja di stesen masing-masing, namun Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempunyai solusi terbaik untuk warga pendidik terus melaksanakan tugas mereka dari rumah seperti disarankan kerajaan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

 

Kementerian Beri Fokus Kepada Pelajar Bakal Hadapi Peperiksaan Awam

Ditanya mengenai perancangan terkini KPM berkaitan pembukaan semula sesi persekolahan, Muslimin berkata, setakat ini kementerian mungkin memberi fokus untuk tujuan itu bagi pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan awam.

“Selain kelas peperiksaan awam, kita belum ada sebarang perancangan untuk membuka semula sekolah terutamanya sekolah rendah dan sebagainya.

“Dan bagi tujuan ini (pembukaan sekolah untuk kelas peperiksaan), kita meneliti garis panduan serta melihat susun atur malah telah menjalankan simulasinya.

“Semua berjalan lancar dan kita akan menggunakan kaedah terbaik untuk memastikan keselamatan pelajar kelas peperiksaan ini terjamin apabila sekolah dibuka semula kelak,” katanya.

 

Pembukaan Sekolah Di Pelbagai Negara

Usai penurunan kes Covid-19 di beberapa negara, mereka telah membuka semula persekolahan dan pusat penjagaan walaupun terdapat rungutan serta kekhuatiran ramai ia menjadi sarang untuk Covid-19 muncul semula.

Di Denmark, guru sekolah diberi arahan ketat untuk memastikan penjarakan sosial di antara satu sama lain berlaku dan kebanyakan bangunan sekolah ditutup.

Terdapat juga guru yang membawa anak murih mereka di kawasan terbuka dan mengajar mereka di taman permainan dan bukan di bilik darjah yang tertutup.

Di Switzerland, ibubapa perlu beradaptasi dengan norma baharu di mana mereka perlu menurunkan anak mereka daripada kejauhan dan bilik darjah hanya separuh penuh dengan meja dijarakkan dua meter antara satu sama lain.

Di Netherlands pula sebuah sekolah telah memasang pelindung plastik dikeliling meja mereka dan terdapat cecair pembasmi kuman di laluan koridor untuk para pelajar menggunakannya.

Sekolah di New South Wales, Australia juga telah dibuka secara berperingkat tetapi hanya sehari dalam seminggu.

Di Victoria, Australia pula pembelajaran di sekolah hanya akan bermula 27 Mei manakala di Melbourne, sekolah menengah akan memulakan pembelajaran terlebih dahulu sebelum mereka yang berada di sekolah rendah bermula 9 Jun.

Di Israel pula beberapa sekolah telah mula dibuka tetapi langkah tersebut telah diboikot oleh beberapa majlis pembandaran dan ibubapa kerana mereka merasakan pihak kerajaan belum menunjukkan langkah persiapan yang baik.

Di Perancis, sekolah rendah telah mula dibuka dengan pelajar duduk dengan jarak 1 meter di antara satu sama lain manakala guru-guru dikehendaki memakai pelitup muka.

Manakala di Cyprus, pekerja perubatan memakai pakaian pelindung diri (PPE) memeriksa kesihatan pelajar di sebuah sekolah sebelum mereka dibenarkan meneruskan pembelajaran di sekolah pada 11 Mei yang lalu.

Di Shanghai pula, pelajar dan pekerja sekolah perlu melalui mesin pengimbas suhu terlebih dahulu sebelum memasuki perkarangan sekolah. Peringatan tentang kebersihan dan langkah-langkah pencegahan Covid-19 turut dipasang di dinding sekolah.

Kantin mereka dibersihkan dengan teliti dan terdapat dinding kaca untuk memisahkan meja di mana hanya dua orang pelajar boleh duduk bersama pada satu masa.

Menurut ChannelNewsAsia, walaupun ia kelihatan seperti sebuah hospital berbanding sekolah, tetapi pelajar Shanghai teruja untuk kembali bersekolah setelah lebih tiga bulan berada dalam perintah berkurung.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close