Isu SemasaTempatan

PKP: Lesen Memandu Tamat Tempoh Dibenarkan Tetapi Dengan Syarat Ini

Esok bermulanya perjalanan mereka yang terkandas selama tempoh PKP berlangsung bagi membolehkan mereka kembali ke kediaman masing-masing dengan membuat perjalanan rentas negeri.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui aplikasi Gerak Malaysia telah menetapkan empat hari mulai esok (7 Mei 2020) sehingga Ahad (10 Mei 2020).

 

Perlu Isi Maklumat Di Aplikasi Gerak Malaysia

Orang ramai yang terkandas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya perlu mengisi maklumat di aplikasi Gerak Malaysia untuk membuat perjalanan rentas negeri dan tidak perlu menunggu kelulusan.

“Polis akan mendapat akses maklumat pemohon menerusi aplikasi Gerak Malaysia. Jika mereka ditahan di sekatan jalan raya, anggota polis mempunyai maklumat individu itu yang mahu pulang ke rumah masing-masing,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

 

Jadual Pergerakan Rentas Negeri

Tempoh empat hari kebenaran untuk rentas negeri ini telah ditetapkan mengikut jadual dan negeri.

Khamis 7 Mei ini dikhususkan untuk orang ramai terkandas di Kuala Lumpur pulang ke kediaman di negeri lain seluruh negara.

Pada 8 Mei (Jumaat) diperuntukkan untuk mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan menuju ke destinasi masing-masing, terutama di Kuala Lumpur.

Sementara 9 Mei (Sabtu) adalah pergerakan dikhususkan kepada mereka dari Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang.

Pergerakan pada 10 Mei (Ahad) pula untuk mereka yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu.

 

Tips Merentas Negeri

Pengguna digalak membuat pergerakan waktu malam pada tarikh yang ditetapkan berkenaan, khususnya selepas waktu berbuka puasa.

Beliau mengingatkan semua pengguna yang pada tarikh pergerakan ditetapkan, tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat sepanjang lebuh raya yang dilalui.

Surau sepanjang lebuh raya juga ditutup, selain orang ramai tidak dibenarkan bersolat di kawasan lapang atau bangunan sekitar R&R. Hanya kemudahan tandas awam beroperasi di lebuh raya.

Kawasan letak kereta hanya untuk tujuan rehat dan pengguna yang singgah tidak dibenarkan keluar dari kenderaan masing-masing, kecuali untuk menggunakan tandas awam.

Stesen minyak di lebuh raya hanya beroperasi jam 6 pagi hingga 12 tengah malam. Pengguna juga dilarang membuat pergerakan secara berkumpulan sepanjang lebuh raya.

 

Bagi Yang Tidak Boleh Muat Turun Aplikasi Gerak Malaysia

Sementara itu, bagi yang tidak mempunyai aplikasi Gerak Malaysia, mereka boleh mendapatkan borang rentas negeri menerusi Facebook dan Twitter Polis Diraja Malaysia (PDRM) mulai hari ini.

Orang ramai perlu mencetak dan mengisi borang berkenaan sebelum dibawa ke balai polis berdekatan bagi mendapatkan kelulusan.

“Ia bagaimanapun hanya tertakluk kepada orang awam yang berada di Semenanjung yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia untuk memohon membuat pergerakan (rentas negeri).

“Permohonan manual ini boleh dibuat bermula hari ini namun orang ramai selepas itu perlu membuat janji temu dengan balai berdekatan bagi urusan penghantaran borang bagi mengelakkan kesesakan,” katanya.

Beliau berkata kelulusan akan diberikan pada hari sama selepas borang berkenaan diserahkan.

 

Jika Lesen Tamat Tempoh Sewaktu PKP Boleh Memandu?.

Orang awam yang memiliki lesen memandu tamat tempoh ketika PKP ini dibenarkan memandu dengan syarat insurans kenderaan masih berkuat kuasa.

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam kenyataan hari ini memaklumkan kenderaan persendirian masih tertakluk terhadap pengecualian pembaharuan LKM dan lesen memandu dalam tempoh PKP seperti yang diumumkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong pada 24 Mac lalu.

Bagaimanapun, JPJ telah membenarkan Pos Malaysia untuk menjalankan urus niaga pembaharuan lesen memandu dan LKM bagi kenderaan persendirian.“JPJ memahami rungutan orang ramai berkenaan dengan pembukaan kaunter urus niaga di pejabat JPJ hanya untuk urusan kenderaan perdagangan dan beberapa jenis urus niaga sahaja,” menurut kenyataan itu.

Pembukaan urus niaga bagi kaunter JPJ dibuat secara berperingkat bagi mengurangkan risiko penyebaran wabak pandemik koronavirus (Covid-19).

“Bagi menyokong kelangsungan ekonomi, pembukaan urus niaga berperingkat ini adalah memfokuskan kepada kenderaan perdagangan ataupun komersial sahaja.

“Seterusnya, secara beransur-ansur JPJ akan membuka kaunter urus niaga bagi urusan lain termasuk berkaitan dengan kenderaan persendirian,” menurut JPJ.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close