Sukan

Garis Panduan Bersukan Ketika PKPB: Apa Yang Boleh & Tidak Boleh

Pada 1 Mei yang lepas, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan senarai aktiviti-aktiviti yang tidak dibenarkan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sukan Yang Tidak Dibenarkan Semasa PKPB

Sukan yang tidak dibenarkan oleh MKN ialah pertandingan sukan yang melibatkan perhimpunan penyokong / penonton yang ramai (stadium), segala aktiviti sukan dalaman (termasuk penggunaan gim) serta aktiviti sukan menggunakan kolam renang.

Ia tidak dibenarkan berdasarkan beberapa justifikasi yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) iaitu keadaan tersebut sukar di kawal akibat terdapat ramai orang pada satu-satu masa, kemungkinan pendedahan kepada titisan pernafasan, sukar mengawal perilaku, kemungkinan kontak rapat dalam masa panjang yang tidak dapat dielakkan serta keberadaan di dalam ruang rapat dan tertutup dalam masa yang lama.

Hari ini, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mengeluarkan garis panduan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan sukan-sukan yang dibenarkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, garis panduan yang diusahakan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) itu melibatkan sukan seperti golf, olahraga dan berbasikal yang dibenarkan sepanjang tempoh PKPB.

 

Aktiviti Apa Yang Dibenarkan & Mana Yang Tidak Dibenarkan?

Antara perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan rdasarkan soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Belia dan Sukan ialah:

Aktiviti Yang Dibenarkan

1. Bermain badminton atau sukan outdoor yang tidak melibatkan sentuhan badan di kawasan terbuka bermula jam 6.30 pagi hingga 7.00 petang dan mengamalkan penjarakan sosial dengan orang lain.

2. Menggunakan peralatan sukan/riadah yang disediakan di kawasan lapang, taman rekreasi awam untuk bersukan/ beriadah dengan memastikan peralatan dalam keadaan bersih dan selamat untuk digunakan.

3. Melakukan aktiviti berjoging dan senaman ringan bersama empat anggota keluarga yang tinggal bersama dan menaiki kereta yang sama.

4. Jika terdapat pengunjung yang ramai di situ adalah disarankan aktiviti senaman tersebut dapat dilakukan di mana-mana kawasan atau ruangan di taman tasik tersebut tanpa perkumpulan pengunjung yang ramai agar penjarakan sosial dapat dikekalkan.

5. Membawa anak-anak ke taman permainan yang terletak di taman perumahan dengan memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter dan kebersihan diri (personal hygiene)

6. Melakukan aktiviti senamrobik di kawasan lapang berhampiran balai raya di kampung yang tidak melebihi sepuluh (10) individu dalam satu-satu masa.

7. Melakukan kayuhan basikal bagi mengekalkan stamina saya namun hanya dibenarkan dalam lingkungan negeri sahaja.

8. Bermain skateboarding, inline skating di Skate Park yang terletak di taman permainan berhampiran dengan syarat ia dimainkan di fasiliti sukan dan kawasan terbuka dan tidak melebihi sepuluh (10) individu dalam satu-satu masa.

9. Bermain bola secara timangan sahaja bersama jiran tanpa melibatkan sentuhan antara pemain dan tidak melebihi sepuluh (10) individu dalam satu-satu masa.

10. Memancing di sungai berhampiran kediaman dan terhad di tepi pantai, tebing sungai, kuala, tasik atau mana-mana yang bersesuaian tanpa melibatkan penggunaan bot dan sampan.

11. Sukan bermotor dengan jentera dua (2) roda tanpa melibatkan perlumbaan adalah dibenarkan dan terhad di litar dan trek terbuka sahaja.

12. Latihan kecergasan di taman tasik awam menggunakan peralatan gimnasium luar (outdoor) seperti monkey bar, punching bag dan sebagainya dengan memastikan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu (1) meter dan kebersihan diri (personal hygiene).

 

Aktiviti Yang Tidak Dibenarkan

1. Mengadakan kursus-kursus berkaitan sukan sepanjang tempoh PKPB ini.

2. Melakukan aktiviti riadah di luar daripada lokasi tempat tinggal. Sebagai contoh A menetap di Putrajaya dan beriadah di sebuah taman terbuka di Kuala Lumpur. Pergerakan aktiviti sukan yang merentasi negeri adalah tidak dibenarkan.

3. Aktiviti memancing di kolam pancing ikan, udang komersial atau mana-mana yang berkaitan adalah dilarang.

4. Tidak dibenarkan guna dewan badminton di dalam kawasan kondominium kecuali jika bermain badminton di gelanggang terbuka.

5. Sukan mendaki tembok (wall climbing) dalam pusat beli-belah kerana penggunaan fasiliti sukan tertutup (indoor facility) adalah tidak dibenarkan. Ia hanya dibenarkan jika dimainkan di fasiliti sukan terbuka sahaja.

6. Dilarang main golf bersama rakan di salah sebuah kelab golf yang terletak di negeri lain kerana larangan perjalanan merentasi negeri tanpa alasan yang munasabah masih terpakai.

7. Dilarang menjemput rakan-rakan bermain permainan konsol (console games) di rumah.

8. Dilarang mengadakan aktiviti perkhemahan bermalam bersama rakan-rakan saya di hutan lipur berhampiran kerana aktiviti sukan dan riadah hanya terhad pada waktu siang daripada jam 6.30 pagi hingga 7.00 malam sahaja dalam tempoh PKPB.

 

Program Road To Tokyo (RTT) Boleh Mohon Akses Kemudahan Sukan

“Garis panduan sama juga dibuat untuk sukan yang masih tidak dibenarkan dalam tempoh PKPB tetapi boleh mengembangkan skop latihan di luar rumah seperti padang atau tempat terbuka dan seterusnya bagi cadangan latihan pusat khas bagi atlet program Road To Tokyo (RTT) yang akan menjalani latihan sepenuhnya dengan akses kepada fasaliti yang diperlukan dalam keadaan terkawal.

“Saya ada pesan persatuan-persatuan sukan kebangsaan agar merancang bersama atlet, jurulatih dengan MSN dan ISN untuk mengambil peluang mengembangkan skop dan program latihan sedia ada dengan mematuhi larangan dan arahan semasa pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Menurutnya lagi, latihan atlet RTT yang memerlukan fasiliti spesifik seperti gelanggang badminton, kolam renang, bilik gimnasium dan pelayaran pula dicadangkan untuk mengemukakan permohonan khas kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai pelaksanaan PKP tetapi ia harus melihat juga kepada kesesuaian keadaan pada ketika itu.

Antara perkara-perkara yang dikongsi dan dibincangkan bersama Reezal Merican adalah seperti proses kelayakan atlet terkini untuk Sukan Olimpik dan Paralimpik, perancangan program-program latihan dan juga program yang dijalankan persatuan termasuk program pembangunan di negeri.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close