Isu SemasaTempatan

Tidak Ada PKPB Untuk 9 Negeri Ini

Hari ini kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membolehkan sebahagian sektor ekonomi dan sosial dibuka semula.

 

Jangan Terlalu Ghairah Keluar Rumah

Selepas 47 hari Malaysia dikekang keluar dari rumah kecuali dengan alasan yang kukuh, kita perlu diingatkan bahawa PKP kali ini hanyalah dilonggarkan dan tarikh tamat sebenar perintah ini yang kini masuk fasa keempat adalah pada 12 Mei ini.

Dalam keghairahan meraikan ‘kebebasan’ ini, perlu diingat juga kes positif baharu COVID-19, kembali mencecah angka tiga digit dua hari berturut sejak dua hari lepas selepas 16 hari kita berjaya merekodkan angka dua digit.

Semalam, sebanyak 122 kes positif COVID-19 direkodkan, meningkat dari hari sebelumnya sebanyak 105 kes.

 

Ramai Tidak Bersetuju PKPB

Ini telah mendorong hampir 500,000 orang menandatangani petisyen dalam talian bagi membantah keputusan kerajaan melonggarkan sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan meminta Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibatalkan kerana bimbang dengan penularan Covid-19 akan kembali meningkat.

Bagaimanapun, keputusan melonggarkan PKP kepada PKPB yang diumum Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lepas masih kekal dan hanya kawasan yang mencatatkan kenaikan mendadak kes COVID-19 akan ditutup selepas ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Noor Hisham Abdullah pula dilaporkan mempertahankan PKPB dengan mengatakan perlu ada keseimbangan antara menjalani kehidupan dan mata pencarian.

Beliau berkata, matlamat utama PKP adalah melandaikan lengkungan jangkitan dan kerajaan sudah berjaya melakukannya dan menjadi tanggungjawab masyarakat mematuhi langkah-langkah penjarakkan sosial untuk memastikan tiada lagi jangkitan baharu Covid-19.

 

9 Negeri Tidak Melaksanakan PKPB

Namun begitu, sembilan negeri tidak akan mengikuti PKPB kerajaan persekutuan secara menyeluruh. Antaranya ialah:

1. Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dalam sebuah kenyataan berkata beliau faham mengapa kerajaan persekutuan melaksanakan PKPB tetapi pada masa yang sama dengan bilangan kes Covid-19 yang kembali meningkat, beliau merasakan nyawa manusia adalah lebih penting.

Beliau akan mengadakan mesyuarat untuk melihat PKPB yang sesuai untuk Kedah sambil menambah bahawa syarat dan garis panduan yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan juga akan diteliti.

2. Negeri Sembilan

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun telah memutuskan untuk tidak membenarkan pelanggan duduk di dalam kedai makan untuk menjamu selera serta melarang aktiviti sukan dan sosial kerana bilangan kes Covid-19 masih tinggi.

Beliau berkata keputusan ini dibuat berdasarkan saranan orang awam serta pemilik restoran yang masih risau jika mereka membenarkan orang ramai makan di premis mereka.

“Oleh sebab itu kami akan meneruskan syarat untuk hanya membenarkan makanan dibawa pulang sahaja dan ini termasuk trak makanan,”katanya.

3. Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor masih melihat sama ada pihak berkuasa tempatan bersedia untuk syarikat beroperasi semula.

Difahamkan bahawa kerajaan negeri sedang meminta pandangan dari pelbagai dewan tempatan tentang kesediaan mereka untuk melakukan penguatkuasaan dan pemantauan di negara paling padat penduduk dan industri.

4. Pulau Pinang

Chow Kon Yeow, Menteri Besar negeri ini akan melakukan PKPB dalam tiga fasa dan mereka masih dalam persiapan untuk menyediakan syarat-syarat tersebut sehingga 8 Mei ini.

Beliau berkata akan memberi intipatinya dalam waktu terdekat.

5. Pahang

Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri Besar Pahang berkata beliau harus mengkaji keadaan yang berlaku di Pahang serta situasi pandemik Covid-19 yang sedang berlaku di negeri tersebut.

“Ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut dengan suruhanjaya keselamatn pada mesyuarat mingguan kami pada hari Jumaat,” katanya.

6. Perak

Perak masih mengekalkan peraturan tidak boleh makan di premis makanan dan taman awam masih kekal tutup untuk aktiviti berekreasi.

Bagaimanapun, Setiausaha negeri, Datuk Ahmad Suadi Abdul Rahim berkata mereka yang telah bermesyuarat dengan Menteri Besar telah bersetuju dengan pihak Kerajaan Persekutuan untuk membuka beberapa sektor perekonomian bermula hari ini.

“Untuk memastikan perkhidmatan awam kepada orang ramai berjalan lancar, semua pejabat kerajaan dibuka bermula hari ini,” katanya kepada TheStar.

7. Kelantan

Kelantan juga akan melanjutkan perlaksanaan PKPB sehingga mesyuarat suruhanjaya keselamatan akan diadakan pada hari Khamis ini.

8. Sabah

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata negeri tersebut akan meneruskan PKP sehinggalah ia dijadualkan tamat pada 12 Mei ini.

9. Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah pula berkata mereka tidak akan mengikuti langkah Kerajaan Persekutuan sebelum mereka mengkaji implikasi yang akan terjadi pada negeri tersebut.

 

Pusat Membeli-Belah Yang Sudah Dibuka Semula

Di Lembah Klang, beberapa pusat membeli-belah akan beroperasi bermula hari ini ialah

1 AEON Retail Malaysia

2 Subang Parade

3 MidValley Megamall

4 1 Utama

5 Citta Mall

6 Melawati Mall

7 IPC Shopping Centre

8 Alamanda Shopping Centre

9 IOI City Mall

10 Tropicana Gardens Mall

11 Suria KLCC

12 Lot 10 Kuala Lumpur

13 Berjaya Times Square Kuala Lumpur

14 Pavilion KL

15 Fahrenheit88 Kuala Lumpur

16 Quill City Mall Kuala Lumpur

17 Setia City Mall

18 Sogo

19 Sunway Pyramid

20 Sunway Velocity Mall

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close