Selepas Presiden AS, Donald Trump bercadang menuntut ganti rugi daripada China akibat penularan Covid-19, media melaporkan Trump mengarahkan perisik AS mencari maklumat berhubung asal usul virus berkenaan.
Sebelum ini virus korona dikatakan berasal daripada pasar basah di Wuhan, yang menjual haiwan eksotik seperti kelawar, namun kemudian terdapat ura-ura bahawa virus itu didakwa dicipta hasil uji kaji di makmal berhampiran.
Akan tetapi pasukan perisikan Amerika Syarikat (AS) membuat kesimpulan bahawa virus korona baharu yang menjadi pandemik global memang berasal dari China, namun bukan ciptaan manusia.
Penularan virus maut itu yang setakat ini menjangkiti 3.2 juta orang dan mengorbankan lebih 227,000 nyawa dan kini seluruh dunia sedang sibuk mencari penawar kerana ia bukan sahaja telah mengorbankan nyawa tetapi ekonomi dunia.
Coronavac China Didakwa Berjalan Dengan Sangat Baik
Baru-baru ini seorang penyelidik di Beijing sedang menjalankan eksperimen terhadap vaksin dihasilkannya iaitu ‘Coronavac’ bagi merawat wabak pandemik ini.
Vaksin yang dihasilkan oleh syarikat Sinovac Biotech itu adalah satu daripada ujian klinikal yang diluluskan di China dan mereka mendakwa perkembangan vaksin itu berjalan dengan sangat baik.
Ia memberikan keputusan sebagaimana diharapkan melalui eksperimen terhadap sekumpulan monyet.
Sementara itu, ujian terhadap manusia baru sahaja dimulakan dengan syarikat berkenaan bersedia untuk mengeluarkan 100 juta dos ‘Coronavac’ setahun bagi memerangi COVID-19.
Ribuan suntikan vaksin daripada patogen tidak aktif ini telah siap dihasilkan dan dibungkus dalam kotak berwarna putih dan oren dengan nama ‘Coronavac’.
Walaupun vaksin ini masih tidak boleh dipasarkan dan perlu melalui proses kelulusan yang panjang, pihak syarikat dikehendaki menghasilkannya dalam skala besar dan menghantarnya mengikut jumlah tertentu supaya ia dapat dikawal oleh pihak berkuasa.
Antiviral Remdesivir Dipercayai Mampu Rawat Pesakit Di Amerika
Di Amerika pula ubat antiviral Remdesivir dipercayai bukan sahaja dapat merawat pesakit COVID-19 yang mengalami simptom dalam jangka masa pendek, bahkan mampu memberi manfaat kepada mereka dalam fasa lebih kritikal.
Ketua Pegawai Perubatan Gilead, Merdad Parsey, berkata virus berkenaan lebih tertumpu kepada reaksi imun yang tidak normal dipangil ‘cytokine storm’ dan ia boleh mengakibatkan kecederaan pada paru-paru.
“Dengan cara mengehadkan replikasi virus, kita juga dapat mengurangkan keradangan sekali gus dapat mengelakkan lebih ramai lagi terdedah dengan masalah paru-paru,” katanya.
Remdesivir Mampu Serang Virus Secara Langsung
Sementara itu, menurut pakar virologi dari Texas A&M University, Benjamin Neuman, berkata Remdesivir termasuk dalam ubat anti viral yang menyerang virus secara langsung.
Ia dipanggil ‘nucleotide analog’ yang mampu meniru adenosine, iaitu salah satu daripada empat blok dinding asid deoksiribonukleik (DNA) dan asid ribonucleic (RNA).
“Virus ini tidak begitu berhati-hati terhadap apa yang bergabung dengannya.
“Ia selalunya akan cuba bergerak pantas,” katanya.
Semalam, saintis terkemuka di Amerika Syarikat (AS) turut memuji manfaat ubat berkenaan yang dikatakan terbukti berkesan untuk merawat COVID-19.
Walaupun Remdesivir belum disahkan khusus bagi merawat COVID-19, ia adalah ubat yang kali pertama menunjukkan kesan positif terhadap penyakit itu meragut lebih 200,000 nyawa di seluruh dunia dan menyebabkan lumpuhnya sektor ekonomi.
Malaysia Guna 3 Jenis Ubatan
Di Malaysia, penggunaan tiga jenis ubatan, Chloroquine’, Hydroxychloroquine dan kombinasi ‘Lopinavir/ Ritonavir’, dilihat memberikan kesan kepada rawatan pesakit COVID-19.
Menurut Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Chloroquine’ dan Hydroxychloroquine, yang sebelum ini digunakan untuk rawatan pesakit malaria, diberikan kepada pesakit COVID-19 kerana ia bersifat anti radang.
Pakar China Cadangkan Gabungan Ubat Tradisional & Moden
Bagi pakar perubatan COVID-19 dari China, mereka mencadangkan untuk menggunakan ubat tradisional Cina sebagai sebahagian rawatan pesakit COVID-19.
Mereka mengambil pendekatan rawatan dengan menggabungkan ubat tradisional Cina serta ubat dari Barat untuk pesakit di negara itu dan didapati gabungan tersebut menyebabkan pesakit cepat sembuh.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa proses membangunkan vaksin mengambil masa kira-kira 12 hingga 18 bulan.
Siapa Yang Bakal Menghasilkan Vaksin Yang Berkesan?
Malah lebih daripada 100 makmal di seluruh dunia cuba tampil dengan vaksin bagi melawan COVID-19, bagaimanapun cuma tujuh daripadanya termasuk Sinovac yang berada dalam senarai saringan ujian klinikal, menurut London School of Hygiene and Tropical Medicine.
Moderna Inc dan syarikat penghasil ubatan iaitu Lonza Group AG di Switzerland pula memaklumkan mereka akan mempercepatkan penghasilan vaksin coronavirus untuk pembangunan ubat Amerika Syarikat (AS).
Kajian eksperimen vaksin, mRNA-1273 diuji pada peringkat awal percubaan oleh Institut Kesihatan Kebangsaan AS dengan Moderna Inc apabila menjangkakan untuk memulakan percubaan peringkat pertengahan pada penggal kedua.
Di bawah perjanjian kerjasama selama 10 tahun, syarikat berkenaan menyasarkan untuk menghasilkan sehingga satu bilion dos setiap tahun seiring perpindahan teknologi yang dijangka bermula Jun dan kumpulan pertama vaksin berkenaan juga dijangka dihasilkan oleh Lonza AS pada Julai.