Gaya HidupPercutian

Adakah Anda Ketagih Melancong? Ketahui Cara Terbaik Untuk Mengatasi Masalah Ini Ketika PKP

Adakah anda tergolong orang yang merasakan melancong adalah lebih penting daripada rakan dan keluarga sejak wabak pandemik Covid-19 berlaku sehingga menyebabkan anda tidak boleh kemana-mana?

Jika ya, anda mungkin sedang mengalami keadaan yang dipanggil ‘dromomania’- keadaan di mana anda tidak dapat mengawal diri untuk berjalan atau mengembara.

Ia juga sering digunakan oleh ahli psikologi untuk menggambarkan ketagihan melancong seseorang.

Memandangkan kebanyakan pintu sempadan ditutup dan penerbangan dibatalkan, kebanyakan daripada kita akur dengan keputusan untuk duduk di rumah untuk mencegah diri daripada dijangkiti virus korona.

Namun jika anda seorang dromomania dan lebih parah lagi, sumber pendapatan anda adalah berpunca daripada melancong, sudah pasti ia akan memberi impak yang sangat mendalam.

 

Tiada Yang Bersimpati Dengan ‘Dromomania’ Di Kala Wabak Pandemik

Apatah lagi siapa yang mahu bersimpati dengan anda apabila sepanjang kehidupan anda sebelum ini adalah berjalan dan menjadi ‘influencer’ di media sosial dengan mendapatkan perjalanan mewah secara percuma.

“Simpati nampaknya bergantung pada bagaimana orang berfikir bahawa pekerjaan itu adalah ‘sah’,” kata Valerie Stimac, seorang wartawan pelancongan dan juga penulis Lonely Planet yang memiliki blog pelancongan Valerie & Valise (valisemag.com).

Lalulintas blognya dilihat telah jatuh 90% sejak pandemik Covid-19 berlaku.

Valerie juga berkata ramai ‘social media influencer’ telah mengalami perkara yang sama.

“Namun untuk orang yang secara peribadi ketagih untuk melancong sehingga ia menjadi satu tabiat untuknya, ramai akan berkata ‘jangan mengada-ngada’, kita harus duduk rumah dan selamatkan nyawa,” kata Valerie.

 

Orang Ketagih Melancong Melakukannya Kerana Beberapa Perkara Ini

Menurut pakar psikologi, Dr Michael Brein yang pakar dalam psikologi melancong ini, terdapat beberapa orang yang lebih mudah membina harga diri serta keyakinan diri melalui pengembaraan melancong.

“Mereka yang ketagih melancong ini kehidupan mereka didorong oleh kemahuan dan ia diduga untuk mendorong mereka menjadi lebih bahagia dan gembira apabila berada di suatu tempat baharu,” katanya.

Isi Masa Lapang Dengan Ini

Jika anda rasa anda seorang ‘dromomaniac’, terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk mengisi masa yang terluang melalui pandemik ini.

Bagi mereka yang hidup dengan menjana pendapatan melalui industri melancong ini, inilah waktu kritikal untuk anda mempelajari kemahiran baharu dan membina kepakaran anda.

Valerie turut menyokong pendapat ini dengan berkata inilah masanya untuk membina kemahiran yang diperlukan untuk membina kerjaya yang mampan dalam industri yang pantas bergerak menggunakan teknologi – dari pembinaan laman web, SEO dan promosi atas talian sehinggalah fotografi, videografi dan suntingan. Senarai kemahiran digital untuk menjadi seorang wartawan pelancongan atau blogger ini adalah sangat banyak.

Bagi blogger leonmccarron.com, dia cuba untuk melihat ini sebagai perkara positif. Penulis, pembuat filem dan pereka laluan pendaki dari Utara Ireland ini berkata,”saya telah berkata kepada semua orang sejak tiga tahun yang lalu bahawa saya akan menulis sebuah lagi buku. Saya rasa inilah masanya.”

Leon McCarron yang juga pernah menulis buku ‘The Land Beyond: A Thousand Miles on Foot through the Heart of the Middle East’ sedang mereka laluan pendaki di China apabila wabak ini menyerang.

Dia juga mengaku kewangannya sedang melalui keadaan yang perit dan tidak pernah merancang untuk melalui bulan-bulan tanpa sumber pendapatan dan masih perlu membayar sewa rumah dan beberapa perkara lain.

Salah seorang penulis blog ladieswhattravel.com, Keri Allan berkata untuk membantu seseorang yang memiliki keinginan untuk mengembara ialah dengan meneruskan impian tersebut dan merancang masa hadapan.

“Inspirasi untuk pengembaraan akan datang adalah sangat penting bagi kesihatan mental,” katanya yang kini berada di UK.

“Adalah sangat penting untuk kita merancang sesuatu yang positif untuk dinantikan pada masa depan yang lebih selamat untuk mengembara semula,” jelas Keri.

 

Orang Pertama Ke Lapangan Terbang Setalah Sekatan Ditarik Balik

Jika sekatan mula ditarik balik, ia sudah pasti akan mengambil masa untuk sektor pelancongan pulih sepenuhnya dan bagi mereka yang ketagih untuk melancong, ia akan menjadi perkara pertama mereka lakukan – meluru ke pintu keberangkatan lapangan terbang!

“Media pelancongan dan ‘influencers’ akan memimpin jalan setalah sekatan ditarik balik dan kemudiannya orang ramai akan mula rasa selamat lagi,” kata Valerie.

Dromomanics ini lebih tidak takut untuk mengambil risiko berbanding orang biasa, jelas Dr Michael.

 

Bagaimana Untuk Tahu Jika Anda Seorang ‘Dromomaniac’?

Ini merupakan 15 ciri-ciri orang yang akan melancong lebih banyak daripada orang lain mengikut pengalaman Dr Michael Brein.

1. Tidak takut dan bimbang
2. Sanggup mengambil risiko tinggi
3. Suka menjadi orang pertama untuk melakukannya
4. Lebih sosial dan ekstrovert
5. Sangat berdikari
6. Sangat bertenaga
7. Memiliki kekuatan peribadi yang mendorong melakukan sesuatu
8. Mudah didorong oleh keseronokan
9. Selalu bertindak
10. Bukan pencari keselesaan
11. Sudah berpengalaman melancong
12. Memiliki keyakinan diri yang tinggi dan tidak mudah terpengaruh dengan orang lain
13. Suka mencari pengalaman baharu
14. Bertindak spontan dan tidak berfikir panjang
15. Lebih beremosi daripada cuba memahami sesuatu

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close