Isu SemasaTempatan

Hukuman Penjara Terhadap Pesalah PKP Tidak Wajar dan Berat Sebelah?

Peguam Malaysia dan kumpulan hak asasi antarabangsa telah menyuarakan keprihatinan mereka atas hukuman yang berlebihan terhadap pelanggaran peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malaysia yang telah mengesahkan 5,851 kes dan 100 kematian akibat COVID-19, telah menahan lebih daripada 21,000 orang sejak PKP bermula pada 8 Mac lalu. Rakyat yang melanggar peraturan berdepan hukuman denda atau hukuman penjara sehingga enam bulan.

Tidak jelas berapa ramai orang yang telah dipenjarakan tetapi sejumlah orang awam telah dijatuhi hukuman penjara antara beberapa hari hingga beberapa bulan.

Majlis Peguam yang mewakili sekitar 15,000 peguam, mendesak mahkamah untuk merendahkan hukuman dengan belas kasihan kerana kesalahan itu tidak melibatkan jenayah ganas.

Presiden Majlis Peguam, Salim Bashir mengatakan dalam satu kenyataan bahawa hukuman penjara meningkatkan risiko penularan virus di mahkamah dan penjara yang sudah sesak.

Walaupun perbuatan melanggar peraturan PKP tidak boleh dianggap enteng, Bashir berkata, “Menghantar pesalah ke penjara adalah penawar yang lebih buruk daripada penyakit ini.”

Majlis Peguam juga mengatakan pihaknya terganggu kerana kes-kes perbezaan hukuman antara orang biasa dan mereka yang mempunyai pengaruh. Timbalan menteri kesihatan Malaysia pada hari Selasa dibebaskan dengan denda RM1,000 kerana mengadakan perjumpaan makan tengah hari di sebuah sekolah agama.

Sebaliknya, seorang pelajar universiti dijatuhi hukuman tujuh hari penjara dan denda RM1,000 kerana meninggalkan rumahnya untuk menghantar kek kepada teman lelakinya. Dia akan menghadapi dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Human Rights Watch mengatakan Malaysia harus menghentikan hukuman penjara kepada pesalah kerana ia tidak produktif untuk mengurangkan penyebaran virus. Mereka juga mengatakan bahawa fasiliti penahanan sementara yang digunakan seharusnya dimanfaatkan untuk mengurangkan kesesakan di penjara-penjara yang ada di Malaysia.

Menurut Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pihak berkuasa telah menahan 21,106 individu kerana melanggar perintah kawalan pergerakan.

Menteri Pertahanan mengatakan polis menahan 489 individu pada hari Isnin, berbanding 606 individu pada hari Ahad; dengan 465 individu direman dan 24 diberi jaminan polis.

Sebanyak 741 individu telah didakwa di mahkamah kerana melanggar PKP, katanya dalam taklimat akhbar hariannya semalam.

“Sekiranya semua orang mematuhi PKP dan jumlah kes Covid-19 positif menurun, maka kita akan dapat mengakhiri PKP lebih awal dan meredakan beberapa peraturan.

“Beberapa negara telah mengurangkan peraturan sekatan pergerakan mereka kerana jumlah kes positif yang berkurang. Namun, mereka mengalami lonjakan kes secara tiba-tiba dan terpaksa memanjangkan tempoh sekatan.

“Kita tidak mahu perkara itu terjadi. Kita ingin memastikan bahawa setelah PKP berakhir dan peraturan diangkat, kes tidak akan melonjak semula.

“Tidak ada gunanya jika kita menamatkan PKP selama dua minggu dan tiba-tiba kita melihat lonjakan kes, menyebabkan kita terpaksa melaksanakan PKP semula, mungkin untuk suatu tempoh yang lebih lama,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close