Gaya HidupKerjaya

Sebab Halus Mengapa Pemimpin Adakalanya Tidak Mematuhi Nasihat Mereka Sendiri

Di waktu satu dunia ini sedang mengalami perihnya wabak Covid-19, para pemimpin di setiap negara sudah pasti meminta dan berharap kerjasama semua rakyat mereka untuk melakukan pengorbanan kehidupan sehari-hari yang biasa dilakukan untuk menamatkan penyebaran wabak tersebut.

Kita semua ditegah dari menziarahi rakan dan keluarga, tidak boleh melakukan hal yang biasa dilakukan dan bagi yang bekerja di bidang yang memerlukannya untuk ke luar negara atau sebagainya semuanya harus diberhentikan buat seketika.

Walaupun perkara ini sudah pasti sukar untuk kebanyakan orang tetapi memandangkan pihak kerajaan menguatkuasakan perkara ini dan ianya harus dilakukan untuk kebaikan semua, kita tidak ada pilihan lain untuk mematuhinya.

 

Pihak Penggubal Undang-Undang & Penguatkuasa Harus Mematuhi Arahan Yang Dikeluarkan Oleh Mereka Sendiri

Oleh sebab itu jika terdapat sekumpulan orang dalam negara yang seharusnya mematuhi arahan kerajaan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di Malaysia, sudah pasti mereka yang melakukan penguatkuasaan ini harus mematuhinya juga.

Mereka yang merupakan ahli politik dan pegawai kerajaan sudah tentu tahu tentang situasi yang sedang kritikal ini daripada orang lain dalam negara.

Dengan itu adalah secara automatik bahawa rakyat lain mahu mereka menjadi contoh dan bertanggungjawab di atas arahan yang dikeluarkan oleh mereka.

 

Namun, mengapa terdapat segelintir daripada ahli politik dan pegawai kerajaan tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan sendiri oleh mereka?

Perkara ini tidak terjadi hanya di Malaysia namun di beberapa negara di seluruh dunia juga.

Mungkin ada yang tahu tentang kes Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang didakwa melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Terdapat beberapa keping gambarnya viral di media sosial yang melihat beliau berkumpul dengan beberapa orang masyarakat di Maahad Tahfiz di kawasan Lenggong yang diusahakan oleh YB Exco, Tuan Haji Razman yang turut hadir di majlis tersebut.

Sejurus selepas itu, satu majlis makan beramai-ramai diadakan tanpa penjarakan sosial yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan.

Turut tular di media sosial, tindakan Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Abdul Rahman Mohamad yang berkunjung ke rumah rakan politiknya bersama rombongan dan menikmati jamuan makan tengah hari.

Dan terdapat juga kes seorang doktor pakar jantung yang melanggar PKP dan menghalang penjawat awam menjalankan tugas sewaktu fasa pertama PKP.

 

Bukan Hanya Berlaku Di Malaysia

Di Scotland, Ketua Pegawai Perubatan, Dr Catherine Calderwood telah dipaksa untuk meletakkan jawatan apabila pihak media mendapati sewaktu perintah penutupan dan sekatan dijalankan, dia telah ke rumah keduanya sebanyak dua kali di Edinburgh yang mengambil masa satu jam perjalanan untuk sampai ke situ.

Di New Zealand pula, Menteri Kesihatan mereka, Dr David Clark telah diturunkan pangkat kerana beliau telah melanggar perintah penutupan dan sekatan dengan membawa keluarganya ke pantai.

Di Afrika Selatan, seorang menteri telah digantung tugas setelah dilihat dalam sebuah gambar yang tular, beliau makan tengahari bersama rakannya.

 

Tidak Hanya Berlaku Ketika Covid-19

Fenomena sebegini tidak hanya berlaku sewaktu krisis sebegini tetapi terdapat juga beberapa kes di mana pemimpin syarikat melanggar etika atau undang-undang syarikat mereka sendiri.

Contohnya Ketua Pegawai Eksekutif McDonald, Steve Easterbrook yang telah dipecat kerana mempunyai hubungan dengan pekerjanya. Walaupun hubungan tersebut adalah suka sama suka, hubungan tersebut sememangnya telah melanggar peraturan ketat syarikat – sebuah peraturan yang seharusnya dipatuhi oleh orang atasan syarikat.

Kewibawaan seorang pemimpin bergantung kepada bagaimana orang menganggap mereka sebagai orang yang berintegriti. Oleh itu apabila mereka menjadi munafik, pemimpin tersebut sudah pasti telah merosakkan kedudukan mereka sendiri.

Walhal kebanyakan pemimpin suka disukai, namun orang ramai tidak suka apabila pilih kasih berlaku.

Mengapa tingkah laku ini sering kali terjadi – dan apakah yang sebenarnya berlaku dibelakang tabir?

Daniel Effron, seorang seorang psikologi sosial dan Profesor Madya di London Business School yang mengkaji tingkah laku hipokrit ini berkata, “manusia boleh jadi tidak konsisten tanpa dikira hipokrit.”

“Jika seorang penagih dadah berkata kepada orang untuk tidak mengambil dadah, tidak ramai yang akan mengutuknya tetapi jika seseorang berdakwah ke pihak umum tanpa mengamalkannya secara peribadi, orang ramai pasti akan marah kerana merasakan individu tersebut mahu kelihatan seperti orang baik tetapi sebenarnya tidak layak,” kata Daniel yang menambah bahawa ketidak adilan dan keadaan tidak konsisten ini yang sering memakan diri.

Jika para pemimpin tahu bahawa sifat hipokrit ini akan menjadi sesuatu yang buruk, kenapa mereka melakukannya?

Penjelasan ringkas tentang ini ialah mereka rasa mereka boleh lari dari isu tersebut.

Walaupun ianya benar dalam beberapa kes tetapi Daniel kebanyakan orang suka melihat diri mereka adalah orang baik-baik.

Sebab yang lebih halus ialah mereka mengamalkan sesuatu perkara tetapi menonjolkan perkara lain dalam usaha untuk menyenangkan pelbagai pihak.

“Dalam pelbagai organisasi, orang akan terperangkap di antara konflik yang tuntuttannya datang daripada pihak berkepentingan yang berlainan,” kata Daniel.

Contohnya apabila sebuah kawasan DUN mahukan X, kawasannya lainnya tidak mahukan X, seorang pemimpin mahu memuaskan hati semua pihak dengan bertindak: berbincang dengan kelompok A, dan bereaksi pada kelompok B walaupun perbincangan serta reaksi tersebut berlawanan antara satu sama lain.”

 

Pemimpin Tidak Hanya Memimpin Orang Dibawahnya

Anda mungkin fikir dalam krisis sebegini, pemimpin sesebuah negara hanya mempunyai satu kelompok untuk berkhidmat iaitu orang awam. Namun jika anda lihat dari perspektif mereka, salah satu pihak berkepentingan yang harus mereka jaga ialah keluarga mereka sendiri.

“Mereka mungkin lihat diri mereka harus menyeimbangkan diri di antara keperluan keluarga dan tanggungjawab kepada orang awam,” kata Daniel.

Oleh itu untuk individu yag perlu memuaskan hati pelbagai pihak, ia mungkin perkara yang tidak betul di mata orang awam dan juga perkara yang salah untuk dilakukan tetapi ia mungkin adalah perkara yang seharusnya dilakukan olehnya dalam dua konteks berbeza.

 

Kajian Orang Tidak Konsisten: Ia Berlaku Di Serata Dunia

Daniel Effron juga telah melakukan kajian bagaimana orang dibelahan dunia ini fikir tentang tingkah laku tidak konsisten sebegini.

Daniel dapari bahawa negara yang memiliki kebudayaan hidup dalam berkelompok atau berkomuniti seperti di Asia dan negara Latin Amerika, sifat tidak konsisten tidak dikaitkan dengan sifat hipokrit.

Namun di negara yang lebih bersifatkan individu seperti di UK dan AS, mereka merasakan sifat tidak konsisten ini berkait dengan sifat hipokrit.

Di negara yang memiliki kebudayaan hidup dalam berkelompok atau berkomuniti (juga dikenali sebagai budaya kolektivistik), mereka menerima individu dengan peranan pelbagai yang perlu dipertanggungjawabkan dan lebih mengutamakan hubungan silaturrahim walaupun ia terpaksa “bercakap tak serupa bikin”.

Terdapat alasan lain mengapa para pemimpin ini bersifat hipokrit iaitu kemungkinan besar kerana mereka diberi tekanan.

 

Fenomena ‘Perlesenan Moral’

Perkara ini berkait dengan sebuah fenomena yang mana pakar psikologi panggil perlesenan moral (‘moral licensing’).

Di tahun 2008, sewaktu Barack Obama dilantik menjadi Presiden berketurunan Afrika pertama Amerika Syarikat, Daniel dan rakan sekerjanya telah melakukan eksperimen ke atas segolongan orang berkulit putih yang menyokong Obama.

Kesemuanya ditanya adakah sesuatu pekerjaan itu adalah lebih baik untuk orang berkulit putih atau hitam dan setengah daripada ahli kumpulan itu ditanya sama ada adakah mereka merupakan penyokong Obama (para peserta kajian tidak tahu bahawa orang yang bertanyakan soalan itu tahu mereka merupakan penyokong Obama).

Mereka yang menjawab soalan tambahan telah menggambarkan pekerjaan yang lebih sesuai dengan orang putih berbanding orang hitam.

Dalam perkataan lain, mereka tidak endah jika dikira prejudis kerana mereka telah menzahirkan sokongan mereka terhadap Obama yang membuat mereka rasa selesa dan tidak anti-perkauman.

 

Mungkin Anda Juga Memilik “Lesen Moral” Tanpa Disedari

Pakar psikologi telah mendapati perlesenan moral ini terjadi di pejabat dalam pelbagai konteks.

Sebagai contoh, mengingat kembali perilaku beretika mereka sendiri dapat mengurangkan niat orang untuk menderma, memberi darah dan menjadi sukarelawan.

Membeli produk yang mesra alam pula dapat membuat orang cenderung menipu dan mencuri.

Manakala melakukan atau mengatakan sesuatu yang baik membuat orang rasa mempunyai lesen untuk bertindak dengan cara yang sebaliknya.

Para pemimpin apabila berdepan dengan krisis seperti Covid-19 ini seringkali bekerja lebih keras daripada mereka fikir.

Mereka mungkin berusaha untuk menjaga kesihatan orang dalam pandemik atau menjamin masa depan organisasi mereka.

Secara psikologi, mereka mengumpulkan kredit moral di sebuah bank.

Itu membuat mereka cenderung menilai tingkah laku mereka sendiri lebih baik daripada yang mereka lakukan sebaliknya, walaupun ia mungkin tidak beretika.

“Kita boleh sentiasa mencari penjelasan untuk ‘mengapa saya boleh dikecualikan’ dan kita sangat baik dalam meyakinkan diri kita untuk memilih alasan yang terbaik,” jelas Daniel.

 

Kita Selalu Yakin Dengan Alasan Kita Sendiri Tanpa Mengira Pendapat Orang Lain

Bukan sahaja itu, orang selalu yakin bahawa orang lain akan melihat diri mereka berkelakuan seperti mana yang diri mereka fikirkan.

Namun apabila Daniel Effron melakukan kajian dengan meminta orang untuk merekodkan video diri mereka berbincang tentang kepentingan nilai seperti penjagaan alam sekitar, dan mereka diminta untuk menulis masa-masa mereka tidak dapat melakukan hal yang diperkatakan tersebut.

Sebelum pengakuan ini didedahkan, mereka juga perlu menganggarkan berapa kecaman yang akan mereka terima kerana tidak konsisten.

Menurut Daniel, ini mungkin dilihat sebagai sesuatu yang naif, tetapi kita semua mempunyai masalah untuk memahami apa yang berada dalam fikiran orang lain.

Para pemimpin yang tidak mengikuti undang-undang yang dibina oleh mereka sendiri mungkin akan melakukan perkara tersebut kerana merasakan ia adalah perkara yang harus dilakukan dan ianya masuk akal untukĀ  diri mereka.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close