Sukan

Liga M: Teruskan Atau Batal?

Pada hari Selasa yang lalu, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sudah bersedia sepenuhnya untuk meneruskan saingan Liga Malaysia (Liga M) sebaik pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

 

FAM Sudah Mempunyai Rancangan Teliti

Menurut Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam, FAM dan MFL sudah mempunyai perancangan teliti termasuk untuk kesemua pertandingan di bawah kelolaan FAM antaranya saingan Piala Belia dan Piala Presiden yang ditangguhkan berkuat kuasa 16 Mac lepas.

FAM dan MFL juga akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi pasukan iaitu pemain serta pegawai pasukan wajib menjalani ujian saringan COVID-19 dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti wabak penyakit berjangkit itu.

 

Disambung Semula Pada Jun, Julai Atau Ogos?

“Berdasarkan perbincangan, kami juga telah sedia dengan jadual perjalanan liga jika ia disambung pada Jun, Julai ataupun Ogos. Tetapi perincian mengenai itu lebih baik MFL yang komen,” katanya.

FAM dan MFL memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan Liga-M dan aktiviti bola sepak di negara ini berkuat kuasa 16 Mac, susulan penularan pandemik COVID-19, malah pasukan juga tidak dibenarkan mengadakan sesi latihan atau perlawanan persahabatan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Dalam pada itu, Stuart berkata FAM sebagai badan induk bola sepak negara tidak mengambil pendekatan terburu-buru dalam memuktamadkan sesuatu keputusan terutama apabila ia melibatkan soal kesihatan dan keselamatan negara.

“Kami faham sekarang bukan masa yang tepat untuk berbincang dengan kementerian (Kementerian Belia dan Sukan) mengenai bola sepak, pada masa ini mereka mempunyai masalah negara untuk ditangani (COVID-19). Jadi bila saatnya tiba untuk kami berbincang kami bersedia dan saya pasti mereka akan lebih mengetahuinya pada masa itu untuk memaklumkan kepada kami apakah SOP yang betul,” jelas Stuart.

 

Penyokong Sokong Liga M Dibatalkan

Walau bagaimanapun, menurut Berita Harian, kebanyakan penyokong bola sepak menyokong Liga M pada musim ini dibatalkan dan menegaskan faktor keselamatan perlu menjadi keutamaan dengan pembatalan saingan mampu membantu memutuskan rangkaian penyebaran COVID-19.

 

Tengku Abdul Rahman Turut Sokong Liga M Dibatalkan

Semalam, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP), Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menyeru pihak yang bertanggungjawab mengendalikan bola sepak negara untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

Menurutnya, secara peribadi beliau akan merindui suasana kemeriahan di dalam stadium, sorakan penyokong, paluan gendang sehingga bunyian tipuan wisel pengadil tetapi penangguhan semua acara bola sepak untuk musim ini adalah jalan terbaik bagi mereka yang terbabit di dalam industri itu termasuk ahli gabungan yang bernaung dengan badan induk bola sepak negara.

“Insya-Allah kita boleh kembali semula pada tahun hadapan dengan semangat dan iltizam yang baru untuk terus memeriah dan memartabatkan sukan bola sepak negara.

“Bersama-samalah kita meningkatkan kesabaran dan sentiasa berdoa kehadrat Allah SWT supaya kita terus diberi kekuatan serta perlindungan olehNya di dalam mengharungi ujian yang luar biasa ini.

“Justeru, dengan mengambil kira semua pandangan dan keadaan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, termasuk negara ini, saya berharap supaya pihak yang mengendalikan bola sepak negara ini dapat membuat keputusan segera mengenai semua kalendar acara bola sepak,” kata Tengku Abdul Rahman.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close