Sukan

China Kembali Membina Stadium Bola Sepak Terbesar Di Dunia

Setelah perintah berkurung di China mula ditarik balik setelah pandemik virus korona semakin berkurangan di negara tersebut, China telah menyasarkan untuk mula membina semula stadium bola sepak yang bernilai $USD1.7bilion.

Stadium yang disasarkan untuk siap pada tahun 2022 ini akan dilengkapi dengan kemudahan tempat duduk 100,000 bakal menjadi stadium bola sepak terbesar di dunia!

 

Kerja Pembinaan Sudah Bermula

Kerja-kerja telah mula dilakukan pada Khamis lalu dengan sasaran membina mercu tanda bertaraf dunia setanding dengan Sydney Opera House dan Burj Khalifa di Dubai.

“Ia juga akan menjadi simbol penting buat bola sepak China kepada dunia,” kata Presiden Konglomerat Hartanah Evergrande, Xia Haijun.

Kapasiti stadium ini akan melepasi kapasiti stadium Camp Nou Barcelona yang boleh menampung 99,354 yang kini merupakan stadium bola sepak yang terbesar di dunia tetapi menurut BeritaHarian, skuad Catalan itu akan melakukan pengubahsuaian bagi meningkatkan kapasiti kepada 105,000.

Antara stadium yang besar yang lain ialah Stadium FNB di Johannesburg, Afrika Selatan memiliki 94,700 kapasiti sementara Stadium Wembley dengan 90,000 tempat duduk.

 

Rekaan Bunga Teratau Kerana Julukan Bandar Bunga China

Rekaan stadium ‘Bunga Teratai’ merupakan hasil sentuhan pereka yang berpangkalan di Shanghai tetapi merupakan warga Amerika, Hasan Syed dengan konsep asal oleh Pengerusi Kumpulan Evergrande, Xu Jiayin.

Reka bentuk itu diinspirasikan daripada Guangzhou sendiri yang terkenal dengan julukan ‘Bandar Bunga China.’

Sumber Imej: TheSunUK

Menerusi gambar terbaharu yang disebarkan, reka bentuk luaran memaparkan warna jingga manakala bahagian dalam pula menunjukkan gambar dan keputusan perlawanan yang dipancarkan ke bahagian siling dalaman.

Namun, susun atur tempat duduk tampak tidak begitu jauh berbeza kerana ia seakan stadium baharu Tottenham dan Stadium Emirates.

CNN melaporkan bahawa stadium ini bakal memiliki 16 bilik VVIP, 152 bilik VIP, kawasan FIFA, kawasan atlet, kawasan media dan juga balai berita.

 

Evergrande Akan Juga Bina Lima Lagi Stadium Lain

Menurut ESPN, Xia berkata kepada para pemberita bahawa Evergrande sedang merancang di antara tiga hingga lima stadium dengan kapasiti 80,000 hingga 100,000 di seluruh China untuk memenuhi kemudahan yang kurang di negara tersebut dengan harapan mereka akan menjadi tuan rumah untuk ‘World Cup’ pada satu hari nanti.

Pasukan Guangzhou Evergrande adalah antara pasukan paling berjaya di China dan Asia.

Kelab ini telah memenangi Liga Super China sebanyak lapan kali dan juga dua Liga Juara-Juara Asian yang mana mereka merupakan satu-satunya kelab China untuk memenangi kejuaraan tersebut sebanyak dua kali.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close