AntarabangsaIsu Semasa

Tuala Wanita Adalah Perkara Baharu Untuk Mereka Yang Tinggal Di Pedalaman Pakistan

Pakistan dikenali sebagai negara konservatif dengan kesamarataan jantina yang sangat tidak seimbang. Menurut Forum Ekonomi Dunia, Pakistan berada di tangga 148 daripada 149 negara dari segi kesamarataan jantina.

Mereka masih menghadapi stereotaip terhadap wanita dan akses kepada produk kebersihan wanita adalah sangat sukar.

 

Krisis Wanita Di Pakistan

“Saya sedang merespon kepada sebuah krisis,” kata seorang ibu berusia 35 tahun yang menjahit tuala wanita untuk wanita yang berada di perkampungannya yang terletak di pergunungan barat laut Pakisan.

Hajra Bibi memegang tuala wanita yang dijahitnya di Kampung Booni. Sumber Imej: Newsweek Pakistan

“Sebelum ini wanita di perkampungan Booni tidak pernah dengar tentang tuala wanita,” kata Hajra Bobo yang tinggal di kampung Booni yang terletak di sempadan Afghanistan.

Mengikut tradisi, wanita menggunakan guni dan kain sewaktu datang haid tetapi stigma yang dihadapi oleh para wanita ini serta kurangnya pendidikan tentang sistem reproduktif manusia bermakna tahap kebersihan masyarakat adalah sangat rendah dan ramai yang mengalami jangkitan.

Di kawasan pedalaman Pakistan, wanita yang datang haid dilihat sebagai tidak bersih dan tidak boleh melakukan banyak perkara.

 

Menjahit Tuala Wanita Untuk Warga Pedalaman

Bibi mendapatkan latihan untuk menjahit tuala wanita daripada kapas, plastik dan kain daripada Aga Khan, sebuah program sokongan pedalaman (AKRSP) yang dianjurkan oleh NGO dengan kerjasama Unicef.

Program ini adalah untuk mengubah sikap terhadap kesihatan wanita.

Bibi mengambil kerja tersebut untuk menyara keluarganya kerana suaminya adalah kurang upaya dan penghasilannya adalah sangat sedikit.

Setiap tuala wanita yang dihasilkan Bibi mengambil masa 20 minit untuk siap dan ia dijual pada harga RM1.17.

Pada awalnya, kerja yang dilakukan Bibi tidak disukai oleh penduduk tempatan dan ada yang menghinanya tetapi kini gadis di kampung boleh bercakap tentang haid mereka.

 

Informasi Tentang Haid Di Pakistan Tidak Disebarkan

Di Pakistan, Unicef memberi amaran bahawa informasi tentang haid di negara tersebut tidak disebarkan dengan baik kepada wanita sehingga ia telah memberi impak yang negatif kepada kesihatan fizikal serta emosi mereka.

Menurut Bushra Ansari dari AKRSP, orang di pedalaman Pakistan mempunyai taboo tentang haid sehingga mereka malu untuk mengeringkan kain haid tersebut di luar rumah dan tidak sedar bahawa kain lembab itu menjadi tempat yang baik untuk bakteria membiak.

Yang lebih merisaukan ialah ahli keluarga perempuan dalam sesebuah keluarga akan berkongsi kain tersebut dan ini telah meningkatkan risiko mengalami penyakit urinari serta jangkitan organ pembiakan.

“Jika terdapat tiga gadis di dalam sesebuah keluarga, mereka akan menggunakan kain yang sama,” kata Wassaf Sayed Kakakhail, seorang doktor yang menambah bahawa kebanyakan daripada mereka tidak dibenarkan mencuci ketika mereka datang haid.

 

Setengah Populasi Wanita Tidak Tahu Fakta Tentang Haid

Topik haid serta pendidikan seks jarang sekali dibincangkan di sekolah walaupun di antara wanita terutamanya di bahagian utara Pakistan yang merupakan daerah paling konservatif di Pakistan.

Menurut sebuah kajian yang dijalankan oleh Unicef pada tahun 2017, setengah daripada orang muda Pakistan tidak mempunyai sebarang ilmu pengetahuan tentang haid sebelum mereka mendapatnya.

“Remaja perempuan fikir mereka dapat kanser atau penyakit serious sehingga mereka berdarah,” kata Kakakhail kepada AFP.

Namun pangarah kesihatan awam di Bahagian Chitral di tempat Booni tinggal berkata masalah tersebut masih dalam keadaan terkawal.

“Terdapat banyak kelompongan tetapi kami cuba untuk mengatasinya,” kata Mohammad Haidar Ulmulk yang menambah bahawa terdapat ratusan pekerja perubatan yang sedang membantu wanita muda ini.

 

Ramai Masih Malu Untuk Beli Tuala Wanita

Situasi ini berbeza di kawasan bandar terutamanya dikalangan orang berada yang tinggal di Karachi.

Namun ramai wanita masih tidak selesa untuk membeli tuala wanita sendiri dan meminta bantuan para suami untuk membelikannya.

“Ada yang membelinya di tengah malam dan ada yang lebih selesa untuk membelinya di kejiranan yang lain,” kata Sajjad Ali, 32 tahun, pemilik kedai runcit.

Di kedai runcit, tuala wanita akan dibungkus dalam kertas dan bukannya dalam plastik lutsinar yang biasa.

Ia masih menjadi taboo dikalangan masyarakat Pakistan dan ia menjadi salah satu sebab mengapa ramai gadis berhenti sekolah akibatnya.

Kajin Unicef 2017 mendapati 28% wanita tidak akan hadir ke sekolah mahupun di tempat kerja kerana masalah sakit perut ataupun risau akan ada kesan darah pada pakaian mereka.

Walau bagaimanapun, Booni dan 80 lagi wanita yang menghasilkan tuala wanita untuk daerah pedalaman Pakistan yakin bahawa satu hari nanti ‘taboo’ ini akan berubah.

“Dengan projek ini, saya telah membuat orang ramai lebih sedar,” ujar Booni.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close