Bisnes & Ekonomi

Pendapatan Tetap Serta Latihan Berterusan Untuk Pekerja Tempatan Memajukan Diri Ialah Misi Perniagaan Sosial Ini

13 tahun yang lalu, Amy Blair pindah ke Kuala Lumpur daripada Texas dan bekerja dalam bidang pelancongan serta latihan lalu jatuh cinta dengan budaya serta orang Malaysia.

Pengasas Batik Boutique. Sumber Imej: NST

Cintanya terhadap rumah baharunya ini membuat Amy berkongsi dengan ahli keluarga dan rakan sehingga tercetusnya idea untuk membangunkan perniagaan sosial bernama Batik Boutique.

Semuanya terjadi apabila Amy berkawan dengan seorang ibu tunggal 10 tahun lalu yang berjuang untuk memberi makan kepada dua orang anaknya.

“Idea saya ialah untuk memberi nafas baharu kepada industri batik di Malaysia sebagai rumah fesyen kontemporari dan jenama gaya hidup serta mewujudkan perniagaan sosial yang boleh melatih dan memperkasakan wanita terpinggir seperti Ana.

 

Mahu Memberi Peluang Kepada Pejuang Wanita Membesarkan Keluarga

“Saya mahu menjadi sebahagian daripada perjuangan wanita dan membantu mereka mendapatkan peluang yang lebih baik.

“Ana dan saya memikirkan pelbagai perkara untuk dirinya menjana pendapatan. Dengan kemahiran menjahit Ana, kami membeli fabrik batik yang Ana ubahsuai menjadi buah tangan yang unik untuk saya berikan kepada keluarga dan rakan-rakan. Setelah itu, mulalah tersebar hasil karya itu dan terdapat permintaan terhadap hasilnya itu,” kenang Blair, 39 tahun yang tinggal di Malaysia bersama suami dan tiga orang anaknya.

Amy mendirikan sebuah pusat menjahit berdekatan flat di mana para wanita tinggal dan ia merupakan langkah yang baik bagi para wanita ini kerana mereka memerlukan wang tetapi terdapat kekangan dari segi pengangkutan dan pusat jagaan kanak-kanak.

 

Hasil Perniagaan Sosial Ini Juga Memastikan Jagaan Kanak-Kanak Terurus

“Batik Boutique merupakan sebuah perniagaan sosial kerana hasil pendapatan kami menopang impak sosial dengan memberi peluang pekerjaan, pendapatan dan juga jagaan kanak-kanak bagi para penjahit kami dan juga pendapatan bagi pelukis batik tempatan kami.”

Amy menggaji wanita daripada komuniti berpendapatan rendah sebagai penjahit.

Mereka mendapat latihan secara percuma dan menerima gaji setiap minggu.

 

Latihan Kewangan Turut Diberikan

Mereka yang ingin bekerja untuk syarikat Amy, mereka dijamin untuk mendapat pendapatan yang tetap dan latihan berterusan supaya mereka juga boleh memulakan perniagaan mereka sendiri.

“Kesemua penjahit kami telah membuka akaun bank dan mempelajari tentang kewangan dan salah satu daripada mereka juga telah menghasilkan tutorialnya sendiri untuk menghasilkan selimut daripada fabrik Batik Boutique.”

Sehingga kini, Batik Boutique telah mengambil lebih 200 pekerja termasuk ahli keluarga pelukis batik dan ini telah memberi impak kepada 1,400 orang tempatan.

“Apabila wanita mula mendapat pendapatan tetap, mereka kurang risau tentang masa depan dan keluarga. Untuk menyaksikan peningkatan kemahiran para wanita ini untuk mendapat kehidupan yang lebih, ia membuat saya sangat bangga,” ujar Amy kepada TheStar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close