Sukan

Pemain Bola Sepak Malaysia Tukar Profesion Sewaktu PKP

Pemain bola sepak Malaysia pertama yang “menukar profesion” sejak penularan Covid-19 berlaku di Malaysia ialah bintang Harimau Malaya, Safawi Rasid.

 

1. Safawi Rasid – Hand Sanitizer

Safawi mengeluarkan produk ‘hand sanitizer‘ atau cecair basmi kuman jenamanya sendiri selepas melihat stok barangan itu yang semakin berkurangan di pasaran.

Safawi yang dikenali sebagai Pawi juga mengambil inisiatif dengan menyumbangkan 1,000 botol ‘hand sanitizer’ atau cecair basmi kuman untuk membantu barisan hadapan yang bertugas.

Sewaktu fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan dan ura-ura pemotongan gaji bakal dilakukan, semakin ramai pemain bola sepak tempaan tampil dengan produk masing-masing.

 

2. Jasmir Menhat – Mee Rebus

Antaranya ialah penyerang Liga Super skuad Melaka, Jasmir Menhat.

Jasmir menjual mee rebus secara dalam talian di sekitar bandaraya Melaka bagi mengisi masa terluang ketika lama di rumah di samping menjana pendapatan sampingan.

Selain mee rebus dia turut menyediakan mee rojak, rojak, nasi lemak telur dan rendang ayam sebagai pilihan.

Menurut BeritaHarian, mee rebus rojak dan mee rojak dijual pada harga RM5 manakala nasi lemak rendang ayam dijual pada harga RM7 dan nasi lemak telur pada harga RM4.

 

3. Azmeer Yusof – Jual Ikan

Bagi pemain pertahanan kiri Kedah, Azmeer Yusof, dia meraih pendapatan tambahan dengan menjual ikan.

Bermula daripada sekadar mengeluarkan modal bagi membantu sepupunya, Hazali Hamid, namun mereka sama sekali tidak menyangka perniagaan menjual ikan yang dilakukan sepanjang PKP mendapat sambutan hangat pelanggan.

“Bermula daripada 500 kilogram pengambilan ikan, kami boleh menjual dalam 1.2 ke 1.3 tan sehari di sekitar Kuala Lumpur.

“Memang sama sekali tidak sangka sambutan cukup baik dalam tempoh seminggu lebih ini dan syukurlah pulangannya begitu lumayan bagi kami berdua,” katanya.

 

4. Akhyar Rashid – Pakaian

Pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Akhyar Rashid pula menggunakan waktu PKP ini dengan berniaga dalam talian.

Pelbagai koleksi pakaian dengan logo sendiri menjadi taruhan pemain muda itu antaranya baju T, ‘hoodie’ dan kurta yang mendapat sambutan hangat daripada peminatnya.

 

5. Fakhrullah Rosli – Daging Kambing Perap

Penyerang Melaka, Fakhrullah Rosli pula mengambil inisiatif menjalankan perniagaan kambing perap sejak minggu lalu bagi menambah duit poket.

Katanya, idea terbabit timbul selepas mendapati situasi semasa yang terbatas untuk dirinya dan orang ramai keluar serta menikmati hidangan di restoran dan kedai makan.

“Berdasarkan resipi seorang rakan, saya cuba menyediakan kambing bakar berkenaan sebagai permulaan perniagaan sendiri.

“Alhamdulillah, sambutan amat baik selepas saya berkongsi dengannya untuk memasarkan kambing perap terbabit di sekitar bandaraya Melaka,” katanya.

Fakhrullah berkata, dia menawarkan harga mampu makan iaitu RM28 untuk 500 gram termasuk sos lada hitam percuma dengan kos penghantaran RM3 di Melaka Tengah dan RM4 seluruh Jasin.

 

6. Faisal Abdul Halim – Burger & Roti John

Pemain Pahang, Faisal Abdul Halim pula telah mengambil inisiatif berniaga burger dan roti john secara ‘cash on delivery’ (COD) selepas melakukan latihan kecergasan di rumah.

“Hasil jualan ini juga antara sumber yang membantu membeli barang keperluan untuk disedekahkan kepada golongan yang memerlukan,” kata pemain berumur 22 tahun yang telah mengambil inisiatif menyumbang barang keperluan kepada 20 penerima di Kampung Mengkuang Tili, Pulau Pinang bagi meringankan beban penduduk kampung sepanjang tempoh PKP.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close