Gaya HidupKerjaya

Dr Shalimar Kongsi 3 Perkara Utama Untuk Jadi Doktor Yang Ingin Mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan

Timbalan Presiden III Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (lebih dikenali sebagai MERCY Malaysia), Prof. Madya Dr Shalimar Abdullah merupakan seorang doktor yang memiliki semangat juang tinggi terhadap kesihatan orang awam.

Selain daripada kerja hariannya mengajar dan bekerja sebagai pakar bedah tangan di bahagian ortopedik Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Shalimar merupakan ketua kumpulan daripada pasukan kumpulan kecemasan Mercy Malaysia.

Sumber Imej: mercy Malaysia

Keperibadiannya yang mahu membantu orang setiap masa ini didorong oleh sokongan ahli keluarganya yang membuatnya terus mara ke hadapan.

 

Bermula Sejak Menjadi Pandu Puteri Di Sekolah

“Saya selalu rasa senang hati dapat membantu orang dan saya rasa saya memulakannya sewaktu saya menjadi Pandu Puteri yang juga telah memberikan saya pengalaman pengembaraan,” cerita Dr Shalimar yang mengenang kembali pengalaman perkhemahan dan tidur di dalam khemah sewaktu dia di bangku sekolah.

Dengan tidak hanya menyimpan perasaan simpati itu untuk dirinya sendiri, Dr Shalimar memutuskan untuk keluar dan bergiat aktif melakukan apa yang boleh dibuat dan sebagai seorang doktor, jawapan tersebut tertulis jelas.

Dia menjadi sukarelawan Mercy Malaysia pada tahun 1998 sewaktu bertugas sebagai doktor praktikal (Housemen/House Officer) yang mana ketua jabatannya sewaktu itu bertanyakan kepadanya adalah dia berminat untuk mengikuti misi ke Sabah untuk menubuhkan sebuah klinik mudah alih.

Akhirnya ia menjadi misi kemanusiaan pertama dalam kerjaya Dr Shalimar yang melihatnya berkeliling negara dan juga pelbagai belahan dunia untuk memberi bantuan perubatan.

 

Orang Malaysia Sangat Bertuah

“Saya rasa kami sangat bertuah dengan apa yang kami ada di sini (Malaysia). Saya tahu ramai yang suka merungut tentang Malaysia tetapi apabila anda ke tempat lain, anda akan sedar betapa bertuahnya dengan apa yang ada di Malaysia,” katanya kepada TheStar.

“Apabila orang bercerita tentang Mercy Malaysia, mereka selalu fikir ia sebuah misi antarabangsa tetapi ia sebuah salah tanggapan,” jelasnya.

Dr Shalimar berkata Mercy Malaysia juga menjalani pelbagai misi bantuan perubatan di Malaysia juga.

Antara projek yang dijalankan ialah Program klinik mudah alih di kawasan perumahan rakyat termiskin di Lembah Klang yang telah berjalan untuk tiga tahun.

Selain itu, Mercy Malaysia juga menjalankan program klinik dan imunisasi untuk pelarian di Malaysia yang disokong oleh Yayasan Qatar.

 

Bukan Sahaja NGO Bantuan Perubatan

Walaupun Mercy Malaysia secara umumnya berfungsi sebagai NGO bantuan perubatan, ia juga menjalankan projek untuk mengurangkan risiko kemusnahan dan adaptasi perubahan cuaca seperti program kesediaan di sekolah dan hospital untuk daerah yang lazim dilandar banjir dalam negara.

Sewaktu bersama Mercy Malaysia, Dr Shalimar telah memberi bantuan dan mengikuti misi kemanusiaan di dalam dan luar negara seperti Afghanistan, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Jepun, Pakistan dan Filipina.

Walau bagaimanapun, Mercy Malaysia tidak akan memasuki daerah yang berada dalam zon konflik aktif tetapi NGO tersebut akan bekerja di tempat pasca-konflik ataupun pasca-bencana.

Mereka juga memberi bantuan kepada komuniti yang memerlukan bantuan perubatan walaupun mereka tidak melalui konflik mahupun bencana.

 

Pengalaman Mengajar Diri

“Pada awalnya kami ke Afghanistan untuk sebuah misi, kami risau kerana keadaan politik di sana tidak stabil dan ia sebuah kawasan pasca perang. Tetapi setibanya di sana, ia sebenarnya sudah agak stabil. Terdapat orang yang berjalan memegang AK47 tetapi bagi saya mereka baik orangnya,” cerita Dr Shalimar sambil ketawa kecil.

Sewaktu menghabiskan masa sebagai sukarelawan, Dr Shalimar selalu terharu dengan sambutan yang diberikan oleh orang ramai terhadap pasukan bantuan.

“Sebagai contoh sewaktu di Pakistan, kami tidak memiliki infrastuktur yang mencukupi. Oleh itu kami tidak dapat menjalankan pembedahan yang besar serta tidak ada pembiusan dan perkara seperti itu.

“Saya meminta maaf kepada pesakit saya tidak dapat membantu banyak tetapi dia menjawab,’tidak mengapa, kehadiran anda lebih baik untuk melihat keadaan kami kerana sekurang-kurangnya dunia tahu kami wujud’,” kenang Dr Shalimar.

 

Pernah Merasakan Gempa Bumi Setiap Malam

Salah satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan ialah sewaktu Dr Shalimar mengikuti misi gempa bumi di Palu, Indonesia pada tahun 2018.

“Sewaktu itu terdapat banyak gempa susulan yang berlangsung sehingga tiga minit. Apabila ia terjadi, kami akan segera lari daripada kawasan kami. Setelah gempa susulan yang besar pada malam ketiga, saya tidur dengan berpakaian lengkap dan tidak akan mengunci pintu bilik untuk langkah berjaga-jaga,” cerita Dr Shalimar.

Walaupun melalui pengalaman seperti ini, ia tidak mematahkan semangat Dr Shalimar untuk meneruskan kerja-kerja sukarelawan.

 

Nasihat Kepada Doktor Yang Ingin Mengikuti Misi Bantuan Kemanusiaan

Dr Shalimar menasihati untuk sesiapa yang mahu mengikuti misi bantuan kemanusiaan, mereka perlu beradaptasi dengan situasi yang berubah dengan kadar cepat.

“Anda perlu lebih fleksibel, memahami budaya dan manusia. Jika anda menjadi sukarelawan untuk klinik mudah alih, anda harus ingat bahawa sentuhan kemanusiaan itu adalah lebih bermanfaat daripada perkara lain,” jelas Dr Shalimar.

“Mendengar percakapan mereka, bercakap dengan mereka dan memberi mereka harapan ialah apa yang mereka inginkan.”

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close