AntarabangsaIsu Semasa

COVID-19: Trump Tuduh WHO Berpihak Kepada China, Ugut Potong Dana

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Selasa (7 April) mengancam untuk memotong dana AS kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), menuduh badan kesihatan itu berat sebelah terhadap China semasa pandemik Covid-19.

Trump memberitahu pemberita bahawa AS “akan menyekat dana yang sangat besar” untuk membiayai WHO, badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sumber pembiayaan terbesarnya adalah Amerika Syarikat.

“Kami akan menyekat wang yang dibelanjakan untuk WHO,” kata Trump, yang melaungkan agenda “Utamakan Amerika” dan sebelum ini mengkritik PBB dan pelbagai agensi lain.

Beliau tidak memberi butiran berapa banyak wang yang akan disekat dan beberapa minit kemudian dalam sidang akhbar yang sama, katanya, “Saya tidak mengatakan bahawa saya akan melakukannya tapi kita mungkin melihat berakhirnya pembiayaan,” katanya.

Menurut Trump, WHO “nampaknya sangat berat sebelah ke arah China. Itu tidak betul.”

Komen-komennya disokong oleh kenyataan awalnya di Twitter di mana beliau menuduh WHO menjadi “berpihak kepada China.”

Trump juga bertanya mengapa WHO telah memberikan “saranan yang salah,” merujuk kepada nasihat badan PBB untuk tidak mengenakan sekatan perjalanan antarabangsa bagi menghentikan virus yang mula-mula merebak dari China.

“Nasib baik, saya menolak nasihat mereka dan segera menutup sempadan kita kepada China lebih awal,” tulis Trump, merujuk kepada keputusannya untuk menyekat perjalanan dari negara itu.

Ini bukan kali pertama Trump menimbulkan isu pemotongan pembiayaan agensi itu. Bajet cadangan White House untuk 2021 menyarankan AS untuk memotong sumbangan kepada organisasi itu dengan ketara, dari US$122 juta kepada kurang dari AS$58 juta, walaupun keputusan akhir akan ditetapkan oleh Kongres.

China menghadapi kritikan di Washington, terutamanya dari Republikan, dalam cara menangani pandemik dan Trump telah menyatakan keraguan mengenai ketepatan statistik China untuk kes-kes dan kematian.

Pada hari Isnin, Senator Rick Scott, Republikan Florida, berkata pada Fox News bahawa “WHO harus bertanggungjawab kerana membantu komunis China berbohong mengenai coronavirus”.

Minggu lalu, Senator Marco Rubio, juga seorang Republikan Florida, mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk “kepimpinan WHO yang telah menunjukkan kesetiaan mereka kepada Parti Komunis China”.

Rubio menyeru peletakan jawatan ketua pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, dengan mengatakan bahawa beliau “tidak cekap menjalankan tugas dan tidak ada peluang yang baik untuk masa depannya menerajui organisasi kritikal ini”.

Walau bagaimanapun, Trump sendiri telah dikritik secara meluas kerana awalnya meremehkan ancaman virus itu, yang disamakan dengan selesema biasa dan berkata berada di bawah kawalan di Amerika Syarikat, sebelum kemudian menerima bahawa ia adalah kecemasan kebangsaan. Lebih daripada 12,000 rakyat Amerika kini telah meninggal dunia dari Covid-19.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close