Dalam bidang tugasnya sebagai Ketua Penolong Pengarah Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ACP Choo Lily selalu terdedah dengan keadaan sedih, mengerikan dan mungkin meruntunkan hati seseorang.
Walau bagaimanapun, ACP Choo yang telah bertugas dengan PDRM hampir empat dekad ini mengambil tugasannya itu dengan matlamat untuk melindungi orang memerlukannya.
Bukan Hanya Mengendalikan Kes
Unit ACP Choo tidak hanya mengendalikan, memantau dan membantu dalam kes yang melibatkan kes D11 tetapi beliau juga melakukan kempen kesedaran orang ramai dan memberi latihan khusus kepada pegawai polis.
“Kita harus menjadi proaktif kerana kerja-kerja kami melibatkan kanak-kanak. Kami perlu mendekati kanak-kanak ini supaya mereka faham tentang bahaya dan kebimbangan yang mereka hadapi,”katanya sambil menjelaskan Unit D11 sedang mengambil langkah tambahan untuk menangani masalah eksploitasi siber kanak-kanak.
“Ia merupakan sesuatu yang kami bimbangkan sekarang kerana internet sangat mudah untuk diperoleh untuk kenak-kanak dan ia sangat bahaya,”katanya kepada Sunday Star.
Sifat Sebenar Seorang Pegawai Polis Ialah..
Menurut ACP Choo, sifat yang sebenarnya penting untuk seorang pegawai polis ada ialah empati (memahami perasaan atau emosi orang lain).
“Orang datang ke balai polis kerana mereka berdepan dengan masalah dan ingin meminta bantuan. Oleh itu pegawai polis perlu memahami situasi orang tersebut dan tahu apa perasaan yang sedang mereka alami supaya boleh memberikan perkhidmatan yang terbaik,” jelas ACP Choo.
Bagaimana ACP Choo Boleh Menjadi Pegawai Polis?
ACP Choo memasuki pasukan polis sejak tahun 1981 dan telah memegang pelbagai jawatan yang menjadikannya berpengalaman. Beliau pernah mengetuai Unit Perhubungan Antarabangsa yang perlu menangani masalah yang dihadapai oleh komuniti asing di Malaysia dan juga menjadi ahli dalam bahagian narkotik sehinggalah memegang jawatan Timbalan OCPD Subang Jaya.
“Ayah saya juga merupakan seorang pegawai polis ketika kami tinggal di Pulau Pinang. Beliaulah yang menggalakkan saya untuk menjadi inspektor,” cerita ACP Choo.
Pada awalnya ACP Choo tidak tahu apa yang diharapkan dengan menjadi pegawai polis tetapi beliau meneruskannya dan akhirnya merasakan pekerjaan ini sangat sesuai dengan personaliti diri yang tidak boleh duduk di pejabat sahaja.
“Saya suka melakukan siasatan. Saya rasa seronok apabila berjaya menemukan bukti kes dan memastikan orang yang bersalah dihukum. Terutamanya apabila berada di unit D11, saya rasa sangat berpuas hati apabila berjaya menangkap penjenayah yang telah mencederakan wanita dan kanak-kanak,” katanya.
Cabaran Menjadi Polis Wanita
Walau bagaimanapun, ACP Choo mengakui terdapat keadaan berat sebelah jika melibatkan pegawai polis wanita tetapi kini terdapat banyak perubahan positif yang sedang berlaku dalam PDRM.
Sebagai wanita, salah satu cara untuk menangani masalah jantina di dalam sesuatu pekerjaan ialah untuk menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya.
“Saya tidak mahu menggunakan kewanitaan saya sebagai alasan untuk tidak melakukan sesuatu tugasan. Salah satu cara untuk menangani masalah orang yang meragui kebolehan wanita ialah dengan melakukan tugasan dengan baik dan buktikan kepada mereka bahawa kita lebih daripada mampu melakukan sesuatu hal,” kongsinya.
Pentingnya Sebuah Keluarga Kepada Semua
Salah satu pembelajaran penting yang dilalui oleh ACP Choo dalam tugasannya di dalam pasukan polis ialah kepentingan kekeluargaan.
“Saya pernah mengendalikan pelbagai kes – dari kes dadah hinggalah kes serangan seksual dan penderaan kanak-kanak. Apa kes-kes ini telah mengajar saya ialah kita harus membahagi masa untuk keluarga dan menyedari kepentingan keluarga,” katanya.
“Kebanyakan daripada isu-isu berlaku kerana masalah keluarga. Kanak-kanak tidak mendapatkan perhatian yang diperlukan dan apabila dibiarkan, mereka terdedah kepada aktiviti yang buruk. Ia sangatlah penting untuk ibubapa membahagikan masa bersama anak anda untuk tahu apa yang mereka lakukan serta berbincang dengan mereka,” jelas ACP Choo.