Bisnes & Ekonomi

Ini Dia Kelebihan Perniagaan Sosial Berbanding Perniagaan Biasa Di Malaysia

Terdapat pelbagai kelebihan jika sesebuah syarikat itu mendapatkan status sebagai ‘perniagaan sosial’ di Malaysia ini termasuk kelebihan dalam mendapatkan tender awam kerajaan, mendapat bantuan mencari dana dan juga mendapat sokongan daripada Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).

 

Pelbagai Insentif Kerajaan

Walaupun perniagaan sosial digalakkan untuk menjadi syarikat yang memperoleh keuntungan, pihak kerajaan turut memberi insentif kepada beberapa organisasi yang membantu mereka melalui sumbangan.

Syarikat yang menyumbang layak untuk mendapatkan pemotongan cukai sehingga 10% daripada agregat pendapatan dan individu pula boleh mendapatkan 7% cukai pelepasan.

Pihak MaGIC mahu mewar-warkan kelebihan yang diberikan oleh pihak kerajaan ini supaya perniagaan sosial menjadi pilihan dalam bidang keusahawanan.

 

Kini Ramai Yang Ingin Melabur Ke Arah Kebaikan

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Dzuleira Abu Bakar mengaku bahawa arena perniagaan sosial ini kelihatan kurang berdaya saing kerana memiliki objektif lebih murni tidak seperti perniagaan tradisional.

Namun menurut Dzuleira, terdapat ramai pelabur moden dan juga pengguna yang lebih bertimbang rasa dan mahu mengubah dunia menjadi lebih baik. Mereka bukan hanya mahu tahu untung sahaja dan dengan itu timbullah konsep ‘pelaburan berimpak’ (impact investing).

Perubahan minda ini telah menggalakkan pelaburan dalam organisasi yang boleh mengukur impak yang dikeluarkan melalui kerja sosial ataupun impak terhadap alam sekitar dan pada masa yang sama mendapat untung.

 

Perbezaan Perniagaan Sosial Dengan Perniagaan Biasa

“Kami lihat bahawa melalui model perniagaan sosial, syarikat tersebut boleh memperoleh kewangan yang berdaya maju jika mereka menghasilkan impak sosial tetapi pada masa yang sama ia hanya boleh dilakukan apabila kewangan mereka dalam keadaan baik. Perkara ini menyebabkan ia lain dengan model perniagaan biasa,” kata Dzuleira kepada TheStar.

Panduan Akreditasi Perniagaan Sosial telah dilancarkan oleh pihak kementerian pada 12 April 2019 dan sejak daripada itu 22 syarikat telah menerima pengiktirafan tersebut manakala 202 yang lain belum memohon status itu.

Bagi yang ingin memohon, pengiktirafan atau akreditasi ini hanya bertahan untuk tiga tahun dan harus memohon semula untuk mengekalkan status tersebut.

“Sebuah perniagaan sosial yang baik ialah mereka yang memiliki misi dan jelas dan rekod yang baik serta boleh mengekalkan misi sosial serta kewangan mereka dalam jangka masa yang panjang,” tambah Dzuleira.

Pengukuran Impak Sosial dalam sesebuah perniagaan sosial selalunya mengukur bahagian pembangunan komuniti, alam sekitar, akses ekonomi, pengurangan kemiskinan serta pendidikan.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close