Amerika SyarikatPolitik

Jumlah Kematian Semakin Meningkat, Kepimpinan Donald Trump Dipersoal

Rumah Putih pimpinan Presiden Donald Trump kelihatan tidak berkuasa untuk menghentikan trajektori yang semakin tragis dalam pandemik coronavirus apabila angka kematian meningkat hampir 1,000 setiap hari.

Naib Presiden Mike Pence memberi amaran dalam wawancara CNN bahawa contoh terdekat untuk apa yang akan berlaku adalah Itali yang telah mengalami beberapa minggu yang cemas seperti pusat krisis di Wuhan, China.

Trump dan pegawai tertingginya di Rumah Putih perlu menggesa rakyat Amerika untuk tinggal di rumah bagi mengurangkan bebanan yang dahsyat kepada kakitangan perubatan di hospital-hospital di kawasan-kawasan zon merah yang penuh dengan pesakit dan hampir kehabisan bekalan asas. Malapetaka yang dahsyat semakin menghampiri dengan kerajaan meramalkan kemuncak pandemik pada bulan depan.

“Ia menyayat hati apabila kita berfikir tentang nyawa yang bakal melayang, jadi mesej kami semalam, mesej kami dalam tempoh 30 hari akan datang, adalah masa depan di tangan kita,” kata Pence kepada CNN.

Pence bercakap selepas pentadbiran memberi amaran bahawa antara 100,000 dan 240,000 orang Amerika boleh mati akibat virus itu walaupun usaha mitigasi seperti perintah tinggal di rumah yang kini mempengaruhi 9 dalam 10 orang Amerika, dilaksanakan dengan betul.

Dalam kemelut menghadapi virus Covid-19, timbul perdebatan mengenai langkah tidak proaktif Presiden Trump, yang membazirkan beberapa minggu dalam meremehkan kesan coronavirus itu.

Jurucakap Parti Demokrat, Nancy Pelosi memberitahu Jake Tapper dari CNN bahawa “penafian Trump pada mulanya adalah langkah berbahaya,” mengatakan bahawa ketika Presiden “menafikan, rakyat mati.”

Kemudian Demokrat menggesa Presiden untuk mengarahkan penutupan di seluruh negara kerana beberapa negeri masih enggan mengeluarkan perintah berkurung walaupun keadaan semakin memburuk. Johns Hopkins University melaporkan 216,515 kes di Amerika Syarikat dan 5,119 kematian, angka yang menunjukkan bahawa tiada tempat dalam negara yang tidak akan terjejas.

Menambah kepada keterangan bahawa kerajaan persekutuan tidak bertindak proaktif, pegawai mengesahkan bahawa stok alat bantuan pernafasan dan peralatan perlindungan yang sangat diperlukan oleh pekerja kesihatan di barisan hadapan, semuanya habis.

Trump kemudiannya mengakui keseriusan wabak itu dan menjelaskan bagaimana perkara-perkara buruk mungkin berlaku dan menjejaskan ekonomi negara.

“Amerika akan terus berperang untuk mengalahkan virus yang dahsyat ini,” kata Trump pada Rabu (1 April). Trump telah meluaskan garis panduan penjarakan sosial ke seluruh negara sehingga 30 April.

Trump tidak serius mengendalikan pandemik                                 

Setelah krisis semakin buruk dengan kerajaan persekutuan kini meramalkan antara 100,000 dan 240,000 rakyat Amerika boleh mati, keadaan mungkin tidak dapat dikawal.

Rumah Putih mendakwa bahawa kepimpinan Trump adalah sempurna, walaupun Presiden meremehkan kesan kritikal virus itu dan kegagalan untuk memerintahkan usaha kesiapsiagaan ketika virus mula merebak di China.

Tetapi penasihat Trump yang bekerjasama dengan pasukan petugas memberitahu Jim Acosta dari CNN bahawa Trump berharap cuaca panas pada musim bunga akan menyebabkan virus itu hilang.

“Trump memperjudikan nyawa rakyat dan keputusannya salah. Beliau menganalisis data dan pendapat pakar dan berpihak kepada yang mengatakan cuaca panas mungkin akan melambatkan penyebaran virus,” kata penasihat tersebut.

Keputusan sedemikian boleh menjadi salah satu detik yang paling tepat bagi respon AS terhadap pandemik. Cara Trump mengendalikan pandemik mengakibatkan rakyat AS kehilangan nyawa kerana tidak bertindak dengan lebih cepat, dakwa parti Demokrat.

Presiden juga cuba menafikan kesalahannya pada hari Rabu, menegaskan tiada siapa yang boleh meramalkan bahawa AS boleh dilanda penyakit yang menular dengan cepat di kalangan penduduk.

“Virus ini merebak dengan cepat. Tidak pernah ada yang menyaksikan perkara seperti ini, di mana sekumpulan besar orang boleh dijangkiti hanya dengan kehadiran seorang yang positif,” katanya dalam taklimat itu.

Hujah itu tidak benar. Ketika China menghadapi cabaran penularan yang semakin meningkat dari virus itu dan menjalankan perintah kuarantin ke seluruh bandar Wuhan, keseriusan pandemik adalah jelas dan boleh dilihat dari berita global.

Pada akhir bulan Februari, seorang pegawai kanan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, Nancy Messonnier, memberi amaran kepada umum bahawa “gangguan kepada kehidupan seharian mungkin teruk.”

Trump juga mengesahkan bahawa stok barangan seperti peralatan peribadi pelindung dan ventilator sedang kehabisan.

Pegawai berkata stok simpanan kerajaan tidak pernah menjadi sumber bekalan tunggal untuk barangan seperti peralatan perlindungan dan pihak berkuasa tempatan perlu berusaha memenuhi keperluan mereka di pasaran terbuka.

Itu akan menjadi berita yang mengerikan kepada gabenor negeri dan pekerja penjagaan kesihatan barisan depan yang merayu untuk peralatan yang lebih banyak.

Bencana Covid-19 menguji pentadbiran semua negara dan pastinya akan mengetengahkan kelemahan dalam tadbir urus di peringkat tempatan dan negeri.

Tetapi Trump dikritik kerana beliau pada mulanya menolak ancaman virus itu selama beberapa minggu. Kerajaannya juga mengambil masa yang lama untuk sepenuhnya menerima amaran penasihat saintifiknya mengenai keperluan untuk langkah-langkah penjarakan sosial di seluruh negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close