Isu SemasaSains

Betul Ke Kelawar Harus Dipersalahkan Dalam Penularan Covid-19 Ini?

Kebanyakan orang Malaysia sudah pasti amat mencintai durian. Tetapi tahukah anda bahawa kenikmatan buah-buahan yang ada di negara kita ini adalah hasil pertolongan kelawar?

Kolumnis di New Sunday Times, Rohiman Haroon pernah menperihalkan kenikmatan durian seperti ini: “Apabila ia menyentuh bahagian lidah, rasa lazat nektar tersebut diikuti rasa sedikit pahit akan membuat anda berada dalam keadaan ekstasi peringkat tinggi.”

Raja buah kita juga pernah dipaparkan di sebuah rancangan perbualan di Amerika Syarikat, Jimmy Kimmel Live!, mereka menggambarkan rasa durian seperti “keju bleu bersama puding berkrim yang mempunyai bawang putih dan bawang di dalamnya”.

Melangkaui pasaran domestik kita yang luas, terdapat pertambahan permintaan untuk durian Malaysia dari luar negara kebanyakan dari China yang menginginkan varieti Musang King.

Sebelum Covid-19 melanda negara, pihak berkuasa bahagian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan telah mensasarkan eksport durian Musang King sebesar RM50 juta ke negara China (walaupun sekarang kita tidak dapat memastikan perkara ini).

 

Betul Ke Covid-19 Berpunca Daripada Kelawar?

Ada yang telah cepat menuduh wujudnya Covid-19 akibat kelawar. Tetapi nanti dulu. Terdapat banyak kajian yang perlu dilakukan sebelum memastikan bahawa sumber virus koronavirus dan janganlah kita hasilkan bencana ekologi dengan pembasmian kelawar besar-besaran secara membuta tuli untuk mengelak daripada pandemik.

Kita harus mengelak melakukan hal tersebut seperti kata pepatah Melayu kita, “Marahkan nyamuk, kelambu dibakar”. Dalam kata lain, membuat masalah yang lebih besar hanya disebabkan perkara remeh.

Dalam penulisan dalam edisi terkini sebuah majalah atas talian bertajuk ‘The Conversation‘, ahli sejarah alam sekitar, Peter Alagona, yang juga seorang Profesor Madya di University of California, Santa Barbara, telah menekankan bahawa kelawar memberi perkhidmatan yang tidak ternilai terhadap manusia dan ia memerlukan perlindungan.

 

Kelawar Banyak Membantu Manusia

Sebagai contoh, kelawar membantu dalam pendebungaan lebih kurang 500 spesies tumbuhan termasuk mangga, pisang, jambu, durian dan pelbagai tumbuhan penting untuk manusia dan ekonomi dunia.

Pada setiap malam, kelawar akan memakan serangga seberat badan mereka sendiri. Serangga yang dimaksudkan ini termasuk nyamuk yang membawa penyakit seperti denggi, malaria dan Zika. Oleh itu secara tidak langsung kelawar juga merupakan haiwan yang sangat penting untuk memastikan kesihatan manusia terlindung.

Najis kelawar yang dikenali sebagai ‘guano’ memiliki bahan yang boleh menyuburkan seluruh ekosistem dan ia juga digunakan sejak berkurun lamanya sebagai baja serta berguna untuk menghasilkan sabun dan antibiotik.

 

Mengapa Kelawar Membawa Virus?

Terdapat banyak kajian terhadap kelawar yang perlu dijalankan lagi kata Alagona. Antara persoalan yang perlu dijawab ialah mengapa mereka membawa banyak virus dan mengapa virus ini boleh hadir pada manusia yang memburu kelawar dan menceroboh habitat mereka.

“Kelawar membawa pelbagai virus yang boleh membawa penyakit kepada haiwan mamalia lain apabila terjadinya hubungan rapat dengan spesies. Ini termasuk sekurang-kurangnya 200 virus korona yang menyebabkan manusia mengalami penyakit pernafasan seperti Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).”- Prof. Madya Peter Algona.

 

Bagaimana Virus Kelawar Boleh Menginfeksi Manusia?

Manusia berisiko tinggi untuk terjadinya transmisi di antara spesies apabila mereka membiak kelawar atau menceroboh habitat mereka.

Manusia menyimpan kelawar hidup dalam keadaan yang tidak bersih dan kecil bersama haiwan liar lain yang mungkin menjadi hos pertengahan.

Ini mungkin yang terjadi di pasar basah Wuhan di mana pakar mengesyaki lokasi pertama munculnya virus Covid-19.

Algona juga telah mendapati terdapat jurang pengetahuan yang mempersoalkan beberapa perkara.

Antaranya ialah mengapa kelawar tidak terancam daripada virus tersebut? Algona mencadangkan kemungkinan ia berlaku kerana mutasi genetik yang merangsang sistem imunisasi mereka atau kemungkinan sebagai salah satu mamalia yang boleh terbang, kelawar mungkin boleh menjana kehangatan internal sewaktu terbang sehingga tubuh mereka boleh melawan penyakit.

 

Kelawar Musuh Para Peladang Tetapi Sebenarnya..

Musuh lama para peladang, iaitu keluang dan kelawar buah telah menunjukkan penurunan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia diburu ataupun dihalau oleh peladang mangga dan durian.

Kini sebuah organisasi tanpa untung yang diasaskan oleh pasangan suami isteri, Dr Sheema Abdul Aziz dan Dr Reuben Clements, telah memberi sedikit sebanyak informasi penting tentang ekologi kelawar buah ini.

Antaranya ialah makanan utama mereka ialah buah pokok ara dan mereka memainkan peranan penting dalam ekologi sebagai penyebar benih.

Kamera perangkap telah menunjukkan bahawa kelawar buah ini hadir di pokok durian tetapi ia sebenarnya tidak memakan bunga durian. Mereka hanya mengambil nektar di dalam bunga pokok durian tanpa merosakkannya.

 

Kelawar Diancam Pupus Di Seluruh Dunia

Terdapat lebih kurang 70 spesies kelawar buah di dunia yang mana enam daripadanya telah pupus sejak kebelakangan ini.

Manakala lebih kurang setengah daripada spesies yang masih hidup ini terjejas untuk hampir pupus dan spesies yang ada di Malaysia turut berada dalam keadaan terancam.

Sheema yang melakukan kajiannya di Muséum National d’Histoire Naturelle yang terletak di Perancis telah memberi amaran kepada pihak kerajaan untuk memainkan peranan penting dalam pemuliharaan dengan memberi perlindungan undang-undang terhadap keluang serta kelawar dan habitat mereka.

“Untuk keluang, ini bermaksud melindungi hutan, bakau dan rawa,” katanya. “Kawasan bakau dan rawa adalah kawasan yang tertinggal untuk melindungi keluang daripada diburu. Oleh itu tapak ini perlulah dilindungi.”

 

Kita Harus Hormati & Jaga Jarak Dengan Haiwan Liar

Sepertinya ia adalah penting untuk kita manusia menghormati sempadan di antara haiwan liar. Kita perlu mewujudkan kawasan perlindungan yang boleh kekal selamanya.

Selain itu kita juga perlu mengambil kesempatan ini untuk memikirkan keseluruhan hubungan kita dengan alam sekitar. Untuk keselamatan dan kesihatan, kita perlu menjaga jarak kita di antara spesies dan juga orang lain.

 

*Artikel ini adalah penterjemahan daripada penulisan Prof. Emeritus Tan Sri Zakri Abdul Hamid yang diterbitkan oleh NST. Beliau  merupakan felo kanan di Akademi Sains Malaysia dan juga mantan Penasihat Sains kepada Perdana Menteri. 

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close