Isu SemasaTempatan

Covid-19: Bazar Ramadan ON Atau Tidak?

Umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan Ramadan dalam beberapa minggu lagi. Seperti biasa, bulan Ramadan di Malaysia tidak lengkap tanpa bazar Ramadan yang menjual pelbagai juadah. Tetapi dalam keadaan pandemik kini, adakah ia sesuai dijalankan?

Menurut pakar perubatan, gelombang ketiga jangkitan Covid-19 mungkin muncul jika bazar Ramadan dibenarkan kerana penjarakan sosial mustahil untuk dilaksanakan di bazar popular ini.

“Akademi Perubatan Malaysia (AMM) sangat tidak setuju dengan rancangan untuk mengadakan bazar Ramadan tahun ini, berdasarkan ancaman Covid-19 yang berterusan,” kata Profesor Dr Rosmawati Mohamed dalam satu kenyataan pada hari Rabu (1 April) yang ditandatangani oleh semua 11 Kolej AMM.

Akademi ini adalah badan berdaftar yang mewakili semua pakar perubatan di Malaysia, dengan 11 kolej pelbagai kepakaran perubatan.

Dr Rosmawati berkata akademi itu berpendapat bahawa penjarakan sosial yang mencukupi akan menjadi mustahil untuk dicapai kerana kesesakan yang sering dilihat di bazar Ramadan.

“Kontak rapat tidak dapat dielakkan berlaku di kawasan tempat letak kereta, lorong-lorong bazar serta antara pelanggan dan penjual. Ini berpotensi membawa kepada gelombang ketiga jangkitan,” katanya.

Dr Rosmawati menambah bahawa kadar harian kes-kes baru kini masih dalam angka tiga iaitu sekitar lebih daripada 120 sehari, menunjukkan bahawa terdapat penyebaran dalam komuniti melalui rantaian yang tidak diketahui.

“Gelombang ketiga akan menjadi satu kerugian kepada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (MCO) pada 18 Mac. Oleh itu, kami merayu kepada menteri untuk memastikan perniagaan itu tidak diteruskan seperti biasa,” katanya.

AMM mengeluarkan kenyataannya selepas Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata bazar tahunan mungkin diubahsuai dan pergerakan pengunjung akan dikawal bagi mengelakkan kesesakan.

Pada hari Selasa (31 Mac), Annuar berkata kementeriannya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih meneliti sama ada untuk meluluskan mana-mana bazar Ramadan berskala besar selepas berakhirnya MCO pada 14 April.

Berikutan pengumuman itu, ramai pengguna media sosial Malaysia menyatakan ketidaksetujuan mereka untuk bazar tahunan kerana takut gelombang ketiga kes Covid-19.

Seterusnya, Annuar berkata kementerian mungkin mempertimbangkan menggunakan format yang disemak semula untuk memasukkan amalan kebersihan yang baik dan mengurangkan sentuhan dengan makanan pra-pembungkusan.

Sebagai tindak balas kepada ini, Dr Rosmawati mencadangkan alternatif seperti bazar Ramadan dalam talian dengan perkhidmatan penghantaran kerana ini akan mengurangkan risiko jangkitan dan meminimumkan kesan ekonomi kepada peniaga kecil.

Beliau menambah bahawa banyak pengorbanan telah dibuat dan mesti terus dibuat pada tahun ini.

“Peperangan terhadap Covid-19 belum selesai dan kita perlu terus bertahan untuk menikmati lebih banyak Ramadan pada masa depan. Kita tidak boleh tewas dalam peperangan ini,” katanya.

Beberapa negeri seperti Terengganu, Melaka, Selangor dan Negeri Sembilan telah memutuskan untuk membatalkan bazar Ramadan sementara beberapa negeri masih lagi meneliti.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mempertimbangkan pelaksanaan bazar Ramadan pandu-lalu sebagai alternatif kepada bazar makanan tradisional.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia mengalu-alukan “idea-idea inovatif” yang boleh membantu mengelakkan perhimpunan besar yang mendedahkan orang ramai kepada ancaman coronavirus.

“Cadangan untuk menganjurkan bazar Ramadan pandu-lalu atau bazar dalam talian adalah idea baru dan inovatif yang boleh dipertimbangkan oleh kementerian.

“Apa yang kita mahu lakukan ialah menghalang perhimpunan besar dan terus melaksanakan penjarakan sosial di kalangan orang ramai.

“Jadi, ini adalah jenis idea yang kita terima. Kementerian bagaimanapun merujuk kepada prinsip panduan sebelum kita boleh membuat keputusan untuk meluluskan dan melaksanakan idea-idea baru ini,” kata Dr Noor Hisham pada sidang akhbar.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close