Gaya HidupKesihatan

Pakar Beri Amaran Proses Nyah Kuman Besar-Besaran. Kenapa?

Proses nyah kuman besar-besaran, selalunya dilakukan oleh pekerja dalam sut perlindungan dari dron, telah menjadi suatu kebiasaan di bandar-bandar besar seperti Turki, Mexico dan India untuk mengawal penyebaran pandemik coronavirus Covid-19.

Tetapi langkah drastik untuk membendung virus yang telah membunuh lebih 37,000 orang di seluruh dunia itu, telah dikritik oleh pakar kesihatan kerana merisikokan kesihatan serta membuang masa dan sumber.

“Ia adalah langkah yang tidak masuk akal yang dilaksanakan di banyak negara,” kata Dale Fisher, pakar penyakit berjangkit di Singapura yang mengetuai Global Outbreak Alert and Response Network yang diselaraskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

“Saya tidak percaya ia memberi kesan positif, malah boleh menjadi toksik pada orang ramai. Virus ini tidak bertahan lama di alam sekitar dan orang ramai tidak menyentuh tanah.”

Jurucakap datuk Bandar Surabaya berkata penggunaan dron untuk pembasmian kuman diperlukan di kawasan dengan kes yang disahkan kerana virus itu “boleh berada di mana-mana”.

Febriadhitya Prajatara membandingkan disinfektan benzalkonium klorida, yang boleh menyebabkan kerengsaan kulit dalam kepekatan tinggi, seperti “sabun” dan berkata ia akan membantu “melemahkan virus supaya tidak memasuki badan kita”.

Coronavirus adalah penyakit pernafasan berjangkit yang merebak melalui titisan dari hidung atau mulut melalui batuk atau bersin.

Orang juga boleh dijangkiti apabila bersentuhan dengan sesuatu yang tercemar sebelum menyentuh hidung, mulut atau mata mereka sendiri.

Paul Tambyah dari Persatuan Mikrobiologi dan Jangkitan Klinikal Asia Pasifik berkata pembasuhan tangan dan pembersihan yang disasarkan terhadap permukaan yang biasa disentuh seperti butang lif menawarkan perlindungan yang lebih baik berbanding pembasmian kuman besar-besaran.

“Penyemburan mungkin cara yang murah dan mudah dilakukan, tetapi perhatian yang teliti terhadap kebersihan diri dan alam sekitar mungkin lebih berkesan,” kata Tambyah.

Pekerja kesihatan India pula menyebabkan kemarahan orang ramai pada hari Isnin ketika mereka menggunakan paip hos untuk mengusir pekerja asing di negeri utara Utter Pradesh, di tengah-tengah kebimbangan pergerakan orang dari bandar ke pedalaman yang berisiko menyebarkan virus.

SATU PEMBAZIRAN

Di Malaysia, pihak berkuasa telah melakukan pembasmian kuman di kawasan yang mempunyai bilangan kes yang tinggi untuk mengurangkan risiko penyebaran selanjutnya.

Tetapi gambar-gambar semburan disinfektan yang dikeluarkan dari trak ke udara atau dari senapang semburan ke jalan telah mengejutkan pakar kesihatan.

“Membasmi jalan raya jelas tidak akan memberi kesan. Ini satu pembaziran sumber dan tenaga,” kata Christopher Lee, bekas timbalan ketua pengarah di kementerian kesihatan Malaysia dan pakar penyakit berjangkit.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Noor Hisham Abdullah berkata pada Selasa, kerajaan akan mengeluarkan garis panduan kepada pihak berkuasa tempatan untuk memastikan operasi pembasmian kuman dilakukan dengan betul.

Di Indonesia, bilik-bilik pembasmian kuman seperti pos telefon awam, sedang dibina di seluruh ibu kota Jakarta bagi membersihkan pakaian dan badan yang berpotensi mempunyai kuman.

“Saya fikir ia bagus … saya rasa bersih selepas menyentuh banyak tempat… Saya rasa selamat,” kata penduduk Jakarta Fany Anisa selepas keluar dari satu bilik di luar hentian bas di Jakarta.

Inisiatif swasta yang dilancarkan dengan sokongan pihak berkuasa tempatan telah dikritik oleh seorang pakar yang menasihati pasukan petugas kerajaan yang memerangi virus.

“Ia tidak baik untuk kulit, mulut dan mata, ia akan menyebabkan kerengsaan,” kata Profesor kesihatan awam di Universiti Indonesia, Wiku Adisasmito.

Leong Hoe Nam, pakar penyakit berjangkit di hospital Mount Elizabeth, Singapura berkata, pembasmian  besar-besaran adalah menarik dan boleh meningkatkan kesedaran awam tetapi tidak berkesan untuk kawalan virus.

“Ia akan mempunyai kesan yang lebih baik jika gunakan meriam air untuk menyuraikan orang awam dan meminta mereka pulang,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close