Isu SemasaTempatan

Banduan Penjara Yang Berjaya Kini Menjadi Mentor Kepada Yang Lain

Di Pusat Koreksional Puncak Alam, sebuah Kelas Care dijalankan oleh Malaysian CARE selalunya agak sukar untuk para pelajar yang berada di sini memberi sepenuh tumpuan.

Namun sesuatu perubahan berlaku apabila mereka membawa masuk seorang mentor yang merupakan bekas pesalah juvana.

“Saya sangat terkejut apabila dia berjaya menarik perhatian pelajar dan mereka benar-benar melihat dan mendengar kata-katanya,” kata Joseph Wong, seorang guru yang mengajar pesalah juvana sejak lima tahun yang lalu.

 

Banduan Menjadi Fasilitator

Sejak tahun lalu, tujuh bekas banduan telah bekerja sebagai fasilitator dalam sebuah program pra-pelepasan yang dijalankan di penjara lelaki Kajang serta program lama di Puncak Alam.

Namun kehadiran Ajib (bukan nama sebenar) yang memberi tunjuk ajar tentang bahayanya dadah serta merokok telah membuat semua banduan juvana mendengar dan memberi fokus.

Ini kerana Ajib juga kongsikan pengalamannya di Sekolah Integriti selama tiga tahun bermula dari usia 18 tahun dan kehidupan setelah dibebaskan.

 

Kongsi Pengalaman Di Penjara

“Saya berkongsi dengan mereka kesukaran yang saya lalui dan bagaimana saya membina peluang kedua yang diberikan dengan lebih baik,”katanya kepada TheStar.

“Saya mahu fokus kepada masa depan saya kerana ia bukan pengakhiran hidup,”kongsi Ajib.

Di Sekolah Integriti, Ajib menduduki peperiksaan STPM dan mendapat 4 A. Ajib juga mengambil kelas pra-pembebasan dan belajar kemahiran berkomputer.

Ajib berjaya mendapat tempat di Universiti Malaysia Sabah dan Malaysian CARE membantunya mendapat penajaan untuk tahun pertamanya di sana dan ‘Discharged Prisoners’ Aid Society‘ telah menaja tahun seterusnya.

 

Aktif Di Universiti

Di antara kesibukan di kelas, Ajib juga mewakili universiti dalam pengucapan awam dan juga sukan. Selain itu Ajib juga memberi tuisyen secara percuma untuk pelajar yang kurang berkemampuan serta membantu Persatuan Autism Sabah.

Ajib juga sering memberi ceramah motivasi kepada pelajar sekolah Henry Gurney di Keningan dan Penjara Wanita Kota Kinabalu.

“Pekerja kes dari Malaysian CARE saya, Fred Foo selalu mengingatkan saya untuk mengimbangi pelajaran serta semua program yang saya ikuti,” kenang Ajib.

Dengan pelbagai aktiviti sampingan yang dijalankan oleh Ajib, dia berjaya memperoleh sarjana muda kelas kedua teratas dengan kepujian dan kini menjadi pensyarah sambilan di UMS serta menjadi duta jenama beberapa NGO tempatan serta antarabangsa.

Ajib juga bekerja sebagai pengumpul dana untuk sebuah NGO antarabangsa di Kuala Lumpur.

 

Nasihat Mantan Banduan Didengari Oleh Pesalah Juvana

Pada penghujung kelas di Sekolah Integriti, beberapa pelajar bertanyakan soalan kepada Ajib sama ada mereka juga boleh melanjutkan pelajaran dan adakah kehidupan untuk mereka setelah keluar penjara.

“Saya jawab ya, kerana sayalah testimoninya,” kata Ajib.

“Saya keluar daripada penjara dan kini saya mahu memberi semula kepada masyarakat kerana mereka telah banyak membantu saya. Ramai yang tahu tentang latar belakang saya tetapi masih menyokong saya,” luah Ajib.

Wong yang sebelum ini mengajar di sebuah sekolah juvana di Selangor berkata,”Kami boleh nasihat perkara yang sama kepada mereka sebanyak 10 kali bahawa mereka perlu berubah tetapi ia tidak boleh dibandingkan dengan apa yang Ajib nasihat kepada mereka walaupun hanya sekali.”

 

Tindakan Bijak Untuk Membenarkan Mantan Pesalah Menjadi Mentor

Pada bulan Disember yang lalu, seorang lagi pesalah juvana telah turut serta dalam program Hope (Harapan) di Puncak Alam.

Nilesh (bukan nama sebenar), 21 tahun telah menulis sebuah lagu tentang kesukaran yang dia hadapi serta kasih sayang terhadap ibunya.

Para penghuni sekolah tersebut semua boleh menjiwai lagu tersebut dan kebanyakan daripada mereka akan menangis apabila mendengar serta menghayati lagu tersebut.

Nilesh mendapatkan kemahiran mencat kereta sewaktu dalam tahanan dan kini tinggal bersama pakciknya.

Membenarkan bekas banduan menjadi mentor merupakan tindakan yang sangat bijak, kata Sam Lim, seorang koordinator bersama Malaysian CARE.

“Kata-kata yang dikeluarkan daripada mereka yang pernah melalui kehidupan di penjara dan berjaya di kemudian hari telah memberi impak yang cukup besar bagi mereka yang mahukan kehidupan yang lebih baik setelah keluar daripada penjara,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close