Sukan

Wajar Atau Tidak Gaji Pemain Bola Sepak Malaysia Dipotong?

Terdapat beberapa pihak mencadangkan gaji pemain bola Malaysia dipotong kerana penundaan Liga-M.

Ini kerana pasukan tidak dapat menjana pendapatan akibat pembatalan perlawanan tersebut.

 

PFAM Tidak Bersetuju

Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) tidak bersetuju dengan tindakan terbabit kerana menganggap perkara ini tidak adil untuk pemain.

“Sebagai respon kepada kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan MFL (Liga Bolasepak Malaysia) yang meminta agar setiap pihak bertolak ansur demi menjaga kestabilan kewangan kelab, dengan hormatnya kami ingin mengemukakan pandangan yang berbeza.

“Kami berpendirian bahawa kontrak perlu dihormati dan dipatuhi sepertimana yang dipersetujui terutamanya berhubung isu pembayaran gaji,” kata PFAM.

 

AFC Nasihat Untuk Ikut Jejak Langkah Indonesia

Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John berkata, pasukan dan pemain Liga M perlu mendapatkan langkah penyelesaian yang boleh ‘menyelamatkan’ kedua-dua belah pihak.

AFC menggesa pasukan dan wakil pemain mencari model yang sesuai dalam mendepani kemungkinan ketidakstabilan kewangan seperti yang dilaksanakan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dalam menangani masalah kewangan kelab ketika penularan wabak COVID-19.

PSSI mengisytiharkan Mac hingga Jun 2020 sebagai ‘force majeure’ (darurat atau keadaan luar jangka) dan membenarkan pasukan membayar gaji pemain sebanyak 25 peratus daripada kontrak yang dipersetujui sepanjang tempoh empat bulan itu.

Windsor menasihatkan pemain untuk mengambil pendekatan yang realistik memandangkan situasi semasa ketika ini menyebabkan kantung sesetengah pasukan ‘sesak’.

 

Kebanyakan Kelab Eropah Juga Potong Gaji Pemain & Kakitangan

Pandemik Covid-19 ini sudah pasti menjejaskan setiap aktiviti sukan di dunia. Di Eropah ramai juga kelab bola sepak melakukan pemotongan gaji pemain serta kakitangan mereka akibat kerugian yang diterima.

Antara kelab yang melakukan pemotongan gaji ialah Bercelona di mana oemain terbaik dunia enam kali Lionel Messi, berdepan pemotongan gaji sepanjang perintah berkurung.

Pasukan Juventus turut melakukan sedemikian setelah mendapat persetujuan dicapai di antara pemain dan jurulatih dengan penjimatan sebanyak 90 juta euro (RM434.9 juta) kepada kelab bagi tahun kewangan 2019/2020.

 

Pemain Hebat Juga Dipotong Gaji

Antara pemain yang menerima gaji tertinggi di Juventus ialah pemenang anugerah Ballon d’Or sebanyak lima kali, Cristiano Ronaldo dan pemain tengah Wales, Aaron Ramsey.

Mesyuarat tergempar antara Persatuan Pemain Profesional (PFA), Liga Perdana Ingeris (EPL) dan Liga Bolasepak Inggeris (EFL) diadakan bagi membincangkan strategi untuk kelangsungan sukan itu selepas pandemik COVID-19 turut mengumumkan bintang-bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan potongan gaji 100 juta pound (RM539 juta) bagi memastikan kelangsungan kelab-kelab di liga bawahan.

Dengan pemotongan 20 peratus gaji setiap pemain untuk tiga bulan akan datang, sejumlah lebih 100 juta pound (RM539 juta) dapat dikumpul secara keseluruhan.

Bagi pemain-pemain bintang seperti Kevin De Bruyne, Paul Pogba, Mesut Ozil, Mo Salah dan kapten England Harry Kane, masing-masing akan menyaksikan pemotongan 750,000 pound (RM4.04 juta) seorang.

 

Lebih Dasyat Ada Yang Dipecat!

Sebuah kelab Switzerland, FC Sion bertindak lebih dahsyat apabila mereka memecat sembilan pemain yang menolak pemotongan gaji susulan wabak Covid-19.

Tindakan terbabit sudah pasti diselar oleh ketua Kesatuan Pemain Swizerland (SAFP) kerana tindakan melampau tersebut.

Sementara itu, presiden kelab, Christian Constantin berkata: “Tiada guna menyimpan pemain yang mahu berusaha ketika setiap orang perlu berusaha.”

“Saya beritahu pemotongan gaji mereka hampir sama dengan gaji dua atau tiga jururawat yang bekerja keras menyelamatkan pesakit hari ini,” katanya.

 

Kontrak Di Malaysia Tidak Seperti Di Eropah

Walau bagaimanapun, menurut peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid, menerusi ‘templete’ kontrak pemain yang dikeluarkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kepada semua pasukan Liga-M, tidak meletakkan klausa ‘Force Majeure’ berbanding kontrak-kontrak di Eropah.

Oleh itu kelompongan yang terkandung dalam kontrak pemain Liga Malaysia (Liga-M) menyaksikan hasrat pasukan dan kelab untuk memotong atau menstruktur semula gaji pemain tidak boleh dilakukan biarpun ketika ini negara sedang berdepan dengan isu Covid-19.

‘Force Majeure’ ialah perkara-perkara berkaitan bencana di luar kawalan manusia, membolehkan majikan diberi sumber kuasa untuk tidak membayar gaji pemain sepanjang tempoh musibah itu.

 

Perbincangan & Tawaran Terbaik Harus Dilakukan Antara Kedua Pihak

Kata Zhafri, apabila tiadanya klausa itu, majikan tidak boleh memotong atau menstruktur gaji pemain sewenang-wenangnya tanpa mendapatkan persetujuan pemain.

Jelasnya, disebabkan itu FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) meminta pasukan dan pemain agar duduk berbincang bagi menyelesaikan isu ini secara bersama.

Ia seperti yang dinasihatkan oleh Windsor kepada FAM dan MFL.

“Walaupun kita maklum kelab diwajibkan membayar gaji penuh kepada pemain, kita tidak boleh mengharapkan sedemikian seandainya mereka tidak ada pendapatan. Bincang dengan pasukan dan kaji tawaran yang mereka kemukakan,” katanya.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close