Bisnes & Ekonomi

Perniagaan Sosial Yang Bantu Hasil Kraftangan Mah Meri Menjadi Eksklusif & Berjenama

Membina sebuah syarikat ataupun perniagaan bukanlah sesuatu yang mudah. Ramai orang lihat hanya kejayaan yang dicapai tetapi tidak tahu kesusahan yang dilalui untuk mendapatkan kejayaan tersebut.

Begitu juga yang terjadi kepada Sasibai Kimis, pengasas Earth Heir yang meruapakan sebuah perniagaan sosial yang kini memiliki lebih daripada 100 perajin untuk menghasilkan kraftangan mewah dari mengkuang yang eksklusif.

“Saya melihat terdapat kelompongan dalam pasaran untuk produk artisan yang berkualiti, berjenama baik, beretika serta menginspirasikan rasa tanggungjawab,” kata wanita berusia 41 tahun ini.

Sumber Imej: myasiatatler.com

Meninggalkan Malaysia Pada Usia Muda

Sasibai meninggalkan Malaysia pada usia 13 tahun untuk melanjutkan pelajaran di Singapura dan kemudiannya menyambung pelajaran di Wharton, University of Pennsylvania.

Dia kemudiannya bekerja di Lehman Brothers di New York dan berjaya mendapatkan sarjana dalam bidang alam sekitar dan pembangunan dari Cambridge.

Walaupun kerjaya serta pendidikannya sangat hebat, tetapi Sasibai merasakan terdapat sesuatu yang kurang dalam kehidupannya.

 

Dapat Duit Untuk Apa Sebenarnya?

“Pada satu masa saya rasa kosong dan berfikir: ‘setelah mendapatkan wang, apa yang harus saya lakukan seterusnya’. Setelah rakan saya meninggal dunia akibat serangan 11 September di New York, saya mula mempersoalkan tujuan kehidupaan saya,” kongsi Sasibai kepada TheStar.

Sasibai memutuskan untuk berhenti kerja dan mencari jalan untuk melakukan perubahan terhadap kehidupan orang lain. Dia pun ke Kemboja dan mula menjadi sukarelawan dan mengajar Bahasa Inggeris.

“Saya bertemua ramai perajin Kemboja yang bergelut dengan kehidupan, jadi saya membeli hasil kraftangan mereka dan menjualnya kepda keluarga dan rakan.”

 

Melancarkan Perniagaan Sosial Untuk Melengkapkan Tujuan Hidup Tetapi…

Ini telah membuatnya melancarkan sebuah perniagaan sosialnya sendiri pada tahun 2014 untuk mempromosi serta memasarkan kraftangan etnik.

Misinya walau bagaimanapun sangat sukar kerana memiliki perniagaan sosial harus ada standard yang lebih tinggi untuk dipenuhi.

“Waktu itu saya sangat tertekan dan harus membina sebuah syarikat sendiri. Saya tidak ada gaji, tidak memiliki cukup duit untuk menggaji orang dan saya hampir mahu menutup perniagaan ini.”

Namun pada tahun 2015, Earth Heir memenangi Anugerah Perniagaan Sosial British Council di mana ia telah memberi Sasibai semangat yang baharu.

 

Suntikan Semangat Baharu Setelah Hampir Gagal

“Dengan wang yang saya dapat daripada anugerah tersebut, saya menyewa sebuah studio pada Mei 2016. Ia telah merubah banyak perkara dan syarikat ini mula berkembang.”

Memandangkan anugerah tersebut memerlukan Sasibai untuk mereka sebuah produk Malaysia, Sasibai mula berkerjasama dengan perajin tempatan, Maznak anak Unyan, 52 daripada kaum Mah Meri yang tinggal di Pulau Carey yang pandai menganyam mengkuang.

Earth Heir kini memiliki persijilan perdagangan adil oleh World Fair Trade Organisation (WFTO) dan telah diaudit.

“Kami harus mematuhi 10 prinsip Fair Trade dan membayar perajin kami pada kadar yang berpatutan.

 

Kalau Rasa Produk Kraftangan Harus Dijual Murah, Boleh Cuba Lakukannya Sendiri

“Saya sangat senang hati dapat membantu orang yang memerlukan terutamanya para wanita. Kami juga mengajar mereka tentang harga produk supaya mereka boleh mendapat wang yang mencukupi untuk berkembang,” kata Sasibai.

Jika ada orang yang fikir produk mengkuang harus dijual pada harga murah, mereka harus lihat proses untuk menumbuhkan tumbuhan tersebut serta menghasilkan produk yang sangat sukar, lama dan memerlukan kerja keras.

“Saya sangat senang Earth Heir menghargai kemahiran menganyam kami dan saya boleh menghasilkan wang melalui mereka,” kongsi Maznah.

Sumber Imej: hati.my

Menganyam Dalam Komuniti Mah Meri Hampir Mati Tetapi Untung Ada Perniagaan Sosial Ini

Dalam komuniti Maznah, menganyam mengkuang sudah menjadi kraftangan yang hampir mati apabila kebanyakan anak perempuan mereka yang sudah mendapatkan pendidikan tidak mahu meneruskannya.

Tetapi kini ramai wanita Mah Meri mahu belajar menganyam supaya mereka boleh mendapatkan wang dari hasil kerja mereka itu melalui perniagaan sosial seperti Earth Heir yang bantu menjalankan pemasaran serta memberi nilai yang baik terhadap hasil kerja mereka.

Melalui pendapatan mereka, Maznah dan ramai wanita yang melakukan kerja yang sama kini boleh membayar bil mereka.

 

Boleh Jana Pendapatan Sendiri

Maznah turut gembira kerana boleh membeli kosmetik sendiri dan belanja tiga cucunya.

“Saya bangga kerana boleh mampu menghasilkan pendapatan sendiri dan selain daripada kemahiran menganyam saya, saya juga menyanyi dan bermain muzik tradisional untuk mendapatkan pendapatan tambahan,” kata Maznah yang merupakan pemimpin yang dihormati yang juga membantu kehidupan wanita dalam komunitinya untuk menjadi lebih baik.

Sasibai masih mengaku bahawa sehingga kini beliau mempunyai cabaran untuk menambahkan penjualan. Tetapi beliau mahu itu terjadi supaya beliau boleh menyokong lebih ramai lagi perajin serta mengembangkan lagi produk ‘Made in Malaysia’ yang boleh dibanggakan negara.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close