Daerah Tampin yang terletak di Negeri Sembilan bersepadan denga Melaka mungkin tidak sepopular Port Dickson tetapi kini ia tampil dengan menawarkan ekopelancongan yang menarik untuk mereka yang sukakan sukan lasak serta aktiviti beriadah.
Dekat Gunung Tampin
Terletak 46km dari Seremban dan 44km dari Melaka, Tampin mempunyai dua tarikan yang menarik iaitu Tampin Extreme Park dan Tampin Water Park. Kedua-dua taman ini terletak berdekatan Gunung Tampin.
Pengurus Taman Extreme Park, Muhammad Uzair Abdul Malek berkata selalunya pengunjung datang dan mencuba panjat batu (rock climbing), abseiling, flying fox dan juga memanjat pokok (tree climbing).

“Di Semenanjung Malaysia, Tampin Extreme Park memiliki lokasi panjat batu yang sangat popular kerana memiliki batu granit.
Abseiling Air Terjun Terbaik!
“Pengunjung juga boleh melakukan trekking hutan dan abseilling di air terjun kerana terletak berdekatan dengan hutan simpan Gunung Tampin,” kongsi Uzair yang mencadangkan pengunjung mencuba abseling ait terjun ini.
Bagi pengunjung yang ingin ke taman ini yang meliputi 0.81ha, kadar bayarannya ialah RM30.
Kolam Renang Luas Di Tampin Water Park
Pengunjung juga boleh datang dan berekreasi di Water Park yang terletak 3.8km daripada Tampin Extreme Park. Di situ terdapat empat kolam renang dengan kedalaman 0.3m hingga 2.1m.

“Airnya dirawat dan ianya selamat untuk berenang. Pengunjung juga boleh mencuba trekking hutan, paintball serta memanah di sini,”katanya Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nasir Rahim.
Kadar bayaran untuk masuk ke sini ialah RM10 untuk dewasa manakala RM5 untuk warga emas, orang kurang upaya serta kanak-kanak yang berusia di antara tiga hingga 12 tahun.