Sukan

Kronologi Bagaimana Atlet Kebangsaan Kita Terkena Jangkitan COVID-19

Semalam atlet pertama Malaysia telah disahkan positif Covid-19 dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Jackie Wong Siew Cheer merupakan pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi dengan jarak 68.22 meter.

Tahun lalu beliau berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak empat kali, iaitu dua kali ketika beraksi di Kejohanan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Terbuka Korea Selatan dan Kejuaraan Olahraga Asia.

Beliau juga berjaya meraih pingat perak ketika di Sukan SEA Filipina tahun lalu, manakala ketika temasya yang sama di Kuala Lumpur beliau berjaya menggondol emas.

 

Dijangkiti Setelah Pulang Ke Kampung Halaman

Atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong itu dipercayai dijangkiti virus tersebut daripada ayah beliau setelah pulang ke Sarawak yang juga didapati positif Covid-19 sebelum ini.

Menurut kronologi inforgrafik yang dikeluarkan oleh Harian Metro, ayah Jackie pernah ke Kuala Lumpur pada 1 Mac 2020 untuk bertemu beliau dan pulang ke Sarikei, Sarawak menaiki penerbangan Air Asia dari KLIA 2 pada 2 Mac 2020.

Pada 4 Mac 2020, ayah beliau mendapati badannya lemah dan segera ke klinik tetapi doktor hanya mendiagnos dirinya sakit biasa dan beliau hanya memakan ubat yang diberikan oleh klinik.

Setelah lima hari, badan ayah Jackie masih tidak beransur pulih dan beliau ke Sibu Specialist Centre untuk mendapatkan rawatan susulan pada 9 Mac 2020. Pihak hospital mengesyaki beliau mengalami jangkitan kuman pada paru-paru.

Jackie tiba di Sarikei untuk melawat ibu dan ayahnya pada 11 Mac 2020 setelah pembatalan pertandingan kerana wabak Covid-19.

 

Dijangkiti Di Kapal Terbang?

Pada 13 Mac, ayah Jackie ke Hospital Sibu untuk mendapatkan rawatan lanjut tentang jangkitan kuman pada paru-paru setelah keadaannya masih belum sihat.

Pihak hospital melakukan ujian Covid-19 dan mendapati beliau positif Covid-19 selepas keputusan ujian dikeluarkan.

Pihak hospital mengesyaki ayahnya dijangkiti ketika menaiki kapal terbang bersama peserta Perhimpunan Tabligh pada 2 Mac 2020 dan kini ayah beliau dikuarantin di Hospital Sibu.

Mengetahui bapanya telah positif Covid-19, Jackie turut membuat saringan dan ujian Covid-19 di Hospital Sarikei walaupun tidak mempunyai sebarang simptom jangkitan.

Pagi 16 Mac 2020, keputusan ujian dikeluarkan dan Jackie Wong didapati positif Covid-19 dan kini dikuarantin di Hospital Sibu. Setelah mengetahui hasil keputusan tersebut, Jackie terus menghubungi MSN untuk memberitahu keadaannya.

 

Fasiliti MSN dan ISN Dikunjungi Jackie Ditutup

“Sebagai langkah segera untuk keselamatan dan kesihatan atlet- atlet pelbagai acara sukan, saya mengarahkan agar fasiliti MSN dan ISN yang telah dikunjungi atlet itu untuk ditutup sementara untuk tujuan proses pembasmian / sanitasi yang sepenuhnya. “Proses ini dijangka selesai dalam masa dua hingga tiga hari,” kata Reezal dalam satu kenyataan pada Isnin.

Walau bagaimanapun, ketua jurulatih negara, Mohd Manshahar Abdul Jalil optimis kesihatan Jackie yang berusia 27 tahun itu akan segera pulih.

“Walaupun kami terkejut Jackie terkena virus tersebut, tapi kami tahu beliau seorang pejuang dan tidak akan mudah putus asa. Beliau akan segera sembuh dan kembali berlatih serta melakar rekod kebangsaan baharu dalam pertandingan tahun ini,” kata Manshahar.

Show More

Related Articles

Back to top button