Bisnes & Ekonomi

Rak Baju Hasil Tangan Kinjin Mendapat Sambutan Hangat Di FB

Di Penampang, Sabah terdapat seorang jejaka yang memiliki kemahiran membina barangan rumah yang diperbuat daripada paip PVC dan juga bahan-bahan lain.

Namun apa yang lebih menarik lagi, Francis Xavier Kinjin dilahirkan tanpa dua belah kaki.

Beliau yang berusia 36 tahun ini tidak percaya dengan simpati serta berharap dengan bantuan orang lain kecuali ianya tidak dapat dielakkan.

 

Pesan Ibu

“Ibu saya selalu berkata kepada saya sejak saya lahir lagi bahawa lahir tanpa kaki tidak bermakna saya berbeza dengan orang lain kerana saya masih memiliki tangan dan otak yang boleh berfungsi,” katanya.

Jika beliau harus membeli sesuatu di luar kemampuan, ibunya selalunya akan menasihatkannya untuk berfikir bagaimana caranya untuk mendapatkannya tanpa berharap kepada orang lain.

“Ibu saya kata kalau saya lapar, makanan berada di atas meja dan saya harus mengambilnya sendiri. Jika saya membantah untuk mencari jalan, saya harus berterusan lapar,” kenang Kinjin.

Perlahan-lahan beliau memperlajari bagaimana untuk melakukan pelbagai perkara dengan sendirinya dan tidak bergantung kepada orang lain.

Kinjin berkata sebelum ini selalunya orang akan meragui kebolehannya atau meremehkan keadaannya tetapi kini dia mempelajari cara untuk melawan dan memastikan ia tidak merosakkan kepercayaan terhadap diri sendiri.

 

Berhenti Sekolah Kerana Tidak Mahu Bebankan Orang

Kinjin berhenti sekolah di Tingkatan Dua kerana tidak mahu membebankan rakan-rakannya yang harus mengangkatnya naik turun tangga ke kelas.

“Walaupun saya berhenti sekolah, saya tidak berhenti belajar. Saya menggunakan internet untuk mempelajari tentang apa yang berlaku di dalam dan luar negara dan mencari informasi berguna yang boleh membantu kehidupan seharian,”katanya.

Beliau mula meningkatkan kesedaran tentang orang kurang upaya melalui media sosial dan bekerjasama dengan Sabah Cheshire Home untuk usahanya itu.

 

Mula Berniaga

Kinjin mula beralih ke perniagaan pada bulan Ogos 2013 dengan modal RM80 untuk membeli barangan runcit dan menjualnya dari rumah apabila dia tidak berada di tempat kerja.

“Setiap hari saya akan menggunakan keuntungan saya itu untuk menambahkan barangan sehinggalah tahun 2015, saya mampu mengoperasikan kedai runcit yang lebih sempurnah di rumah saya yang akhirnya saya berhenti kerja,” kata Kinjin kepada TheStar.

Pada satu hari di tahun 2016, beliau mahu membeli sebuah rak untuk gantung tuala dan pakaian tetapi melihat kepada harganya, ia berada di luar bajet.

“Jadi saya balik rumah dan berfikir bagaimana saya boleh dapat satu tanpa mengeluarkan wang yang banyak,”katanya.

Kinjin menemukan paip PVC dan bahan lain di dalam stor rumahnya dan mula bekerja.

 

Ramai Peminat Hasil Tangan Kinjin

Kinjin menghabiskan masa seharian membina rak tersebut dan memuat naik tentangnya di laman Facebook sehingga mendapat beribu komen dan pertanyaan serta lebih 10,000 likes dalam masa satu jam sahaja.

Francis Xavier Kinjin bersama sebahagian perabot yang beliau hasilkan sendiri yang diperbuat daripada paip PVC di Kampung Dabak, Penampang. NSTP/MALAI ROSMAH TUAH

Beliau yang terharu dengan sambutan yang didapatinya terpaksa menutup akaun selama dua hari sebelum sepupunya mencabar dirinya yang membuatkan dia mengambil pesanan pelanggan.

“Kini selain daripada rak pakaian, saya juga membuat rak kasut, sangkar kucing dan pelbagai lagi barangan rumah,”katanya yang juga melakukan sedikit kerja kontraktor.

Kinjin yang gemar memancing adakalanya terpaksa jujur dengan pelanggannya apabila mahu memenuhi minat memancing dan berehat dengan meminta izin untuk mengambil masa yang agak panjang bagi menyiapkan pesanan pelanggan.

“Namun mereka tetap menerima syarat dan memesan daripada saya. Saya sangat bersyukur dengan mereka,” kata Kinjin.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close