Sukan

Tidak Mahu Wanita Hanya Sekadar Gadis Litar Di Sukan Permotoran

Sukan permotoran merupakan antara sukan yang didominasi lelaki yang memandu kenderaan laju dan wanita hanya sebagai “penyeri” dengan memakai skirt pendek dan memegang payung besar.

Namun Siti Shahkirah Shaharul mahu mengubah perspektif tersebut di Malaysia.

Dia tidak mahu kalah dengan kaum Adam apabila berada di atas trek perlumbaan.

 

Permulaan Kerjaya Di Sukan Permotoran

Siti mula jatuh cinta dengan sukan permotoran sejak berusia enam tahun dan setelah 18 tahun, perasaan cinta tersebut tidak pernah pudar.

Siti yang pernah berlawan di Sepang 1000km dan juga Super Siri Malaysia ini bagaimanapun mengaku bahawa ia tidak pernah mudah untuknya.

“Persaingan selalunya sangat tinggi terutamanya sewaktu saya usia muda. Orang ramai selalunya telah menetapkan fikiran bahawa lelaki tidak boleh kalah dengan perempuan. Namun perkara ini tidak pernah mematahkan semangat saya dan ia juga membuatkan saya lebih bersemangat untuk berusaha menjadi lebih baik daripada mereka,” kata Siti.

 

Tidak Mahu Wanita Hanya Sekadar ‘Gadis Litar’ Tetapi Harus Bersaing Dalam Sukan Permotoran

“Semakin meningkat usia, saya melihat bagaimana orang selalu menjadikan wanita sebagai objek dalam sukan permotoran. Seperti yang anda tahu, wanita selalunya hanyalah gadis payung dalam kebanyakan sukan permotoran. Apabila saya berada di situ, orang selalunya sukar mempercayai bahawa saya sebenarnya bertanding melawan para lelaki,” tambah Siri kepada TheStar.

“Ia sangat sedih apabila sesetengah produk sponsor lebih memilih ke arah penampilan seseorang wanita berbanding bakat yang ada memandangkan sasaran pasaran mereka adalah lelaki,” kata Siti yang berharap lebih ramai wanita boleh diberikan peluang dalam sukan permotoran.

“Di Eropah, wanita diberi peluang yang sama dalam perlumbaan dan ia bukanlah satu kejutan apabila melihat ramai pelumba wanita yang juga berdaya saing. Saya berharap sukan permotoran di Malaysia boleh mendapat sokongan dan pengiktirafan daripada pihak kerajaan dan syarikat untuk membantu membangunkan lebih ramai lagi wanita dalam sukan ini,” ujar Siti.

Show More

Related Articles

Back to top button