AntarabangsaIsu Semasa

Indonesia Rancang Jadikan Ibu Negara Baru Sebagai Tuan Rumah Olimpik 2032

Presiden Indonesia, Joko Widodo, sedang mempertimbangkan cadangan untuk membida Sukan Olimpik 2032 diadakan di ibu negara baru yang belum dibangunkan di negara itu dan sedang dalam perbincangan awal dengan ketua eksekutif SoftBank, Masayoshi Son dan para pelabur lain untuk sokongan, kata sumber.

Negara keempat paling ramai penduduk di dunia itu, mengumumkan pada bulan Ogos untuk membina ibu negara baru yang “pintar dan hijau” bernilai US$34 bilion di pulau hutan Borneo untuk menggantikan Jakarta yang penuh sesak dan tercemar serta perlahan-lahan semakin tenggelam ke laut.

Menurut ketua dewan investasi Indonesia (BKPM), pemerintah sedang menilai bagaimana untuk menjadikan ibu negara baru yang belum dinamakan, sebagai calon tuan rumah untuk Olimpik 2032.

Indonesia telah mengemukakan bidaan untuk Jakarta sebagai tuan rumah Olimpik 2032 dan tidak jelas sama ada pelan baru itu akan merangkumi sebarang acara di sana.

Ketua BKPM, Bahlil Lahadalia memberitahu Reuters bahawa rancangan awal telah disampaikan kepada beberapa pelabur.

Dua orang yang mengetahui perkara itu memberitahu Reuters bahawa para pegawai tertinggi Indonesia telah menerima sokongan daripada SoftBank mengenai rancangan Olimpik di Jakarta pada akhir Februari.

Widodo pada tahun ini menyenaraikan pengasas SoftBank bersama-sama bekas Perdana Menteri Britain Tony Blair dan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Mohammed Bin Zayed al Nahyan, untuk bertindak sebagai penasihat dan membantu menarik dana.

Masayoshi Son bertemu dengan Widodo dan Blair tentang ibu negara baru pada 28 Februari, dan perbincangan itu termasuk kemudahan sukan tetapi bukan Sukan Olimpik, menurut seorang jurucakap presiden, yang tidak menjawab pertanyaan lanjut.

Menurut sumber, Son terbuka kepada cadangan Sukan Olimpik yang akan menyaksikan SoftBank memberikan bantuan kepada Sukan terbabit dan Grab, syarikat e-hailing Asia Tenggara yang bekerjasama dengan SoftBank akan bertindak sebagai “rakan pengangkutan”.

Lahadalia memberitahu Reuters bahawa beliau tidak mengetahui perbincangan tertentu dengan Son. Wakil untuk SoftBank dan Grab enggan mengulas.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) akan memilih bandar tuan rumah pada tahun 2025.

Son memberitahu pemberita pada bulan Januari bahawa beliau berharap dapat melabur lebih banyak di Indonesia, dengan komitmen sekarang termasuk pelaburan $2 bilion di Grab, firma e-hailing terbesar di Asia Tenggara, Julai lalu.

Sumber yang berasingan memberitahu Reuters bahawa walaupun Son masih menilai rancangan untuk ibu negara baru, pengumuman pelaburan kemungkinan akan diberitahu pada bulan April dan melibatkan Grab.

Ketua Pegawai Eksekutif Grab, Anthony Tan menulis pada LinkedIn minggu lalu bahawa beliau “sangat tertarik untuk menyertai perbincangan mengenai ibu negara baru di Indonesia” dan ingin bekerja dengan SoftBank “untuk membangunkan infrastruktur kritikal untuk ibu kota itu.”

Sukan Olimpik, yang meletakkan beban kewangan yang berat di bandar-bandar tuan rumah, menghadapi tahun yang mencabar kerana wabak koronavirus menimbulkan prospek bahawa Sukan Olimpik Tokyo 2020 mungkin dibatalkan atau ditangguhkan walaupun IOC dan Jepun menafikan kemungkinan itu.

Tags
Show More

Related Articles

Back to top button
Close